"SELAMAT PAGI," tegur Nelly, sambil tersenyum manis.
Weh, mimpi apa malam tadi, tiba-tiba tegur aku mesra sangat ni? Berkerut dahi Khaira Wilda memandang Nelly. Manis wajah Nelly ditempek solekan. Rambut lurus panjang hingga ke pinggang, warna perang gelap menghurai cantik.
Dia nak apa pula ni? bisik hati Khaira Wilda.
Senyum Nelly dibalasnya dalam paksa. Senyum senget macam biasa. Kalau hatinya gundah, senyum itulah yang dia hadiahkan.
Nelly membelai rambut sambil mata mengawasi gerak-geri Khaira Wilda dari sebalik cermin. Dia tersenyum lagi dan berkata: "Senang tak tengah hari ni?"
Hah, kenapa tanya macam tu pula dah? Macam nak atur janji temu aje? Jangan-jangan Encik Hayden Daniel yang suruh? Atur janji temu dengan aku? Pasal malam itu dia puas hati dengan kerja-kerja aku... Manalah tahu, kan? Nak ajak aku dating ke?
Hesy! Khaira Wilda tampar pipi sendiri. Jangan beranganlah! Kenapa aku berangan yang bukan-bukan pula?
"Hurmmm, ya free. Kenapa?"
"Bagus... Bagus." Nelly tersenyum meleret.
"Kita pergi makan makanan laut kat Kampung Buntal, nak tak?"
"Kita?"
Terkejut betul Khaira Wilda. Ingatkan dia nak atur janji temu untuk bosnya Hayden Daniel dengan aku. Aku tolak aje mentah-mentah. Jangan ingat aku nak sangatlah Encik Hayden Daniel oi! Aku tak hairan pun. Eh-eh... Kenapa ke situ pula fikiran aku? Macam mengharap pula Encik Hayden Daniel ajak dating. Kau jangan, Khaira! Jangan mencampuradukkan kerja dengan perasaan. Ingat tujuan kau datang sini, monolog sang hati yang waras lagi sihat.
Mulanya Khaira Wilda dah nak menari hula-hula Hawaiian lagi, tapi terus jadi kaku dan canggung.
"Keluar makan dengan awak?" Dia ulang soalan yang sudah jelas.
"Ya, saya nak kenal awak dengan lebih rapat. Kita jadi kawan nak?"
Khaira Wilda renung wajah Nelly yang sedang tersenyum.
Hmmm... Aku tahu, mesti bos dia Si Haydan Daniel yang suruh Nelly siasat latar belakang aku. Kalau tak, takkan tiba-tiba sahaja Nelly nak berbaik-baik dengan aku. Apa motif kau, beb? Nak kawan dengan aku... Bagi mereka aku ni tukang sapu bongok. Bukan taraflah nak dibuat kawan.
"Seganlah saya. Saya ni tukang sapu aje... Awak tu setiausaha Encik Hayden. Awak tak malu berkawan dengan saya?" Sengaja Khaira Wilda menguji.
"Taklah! Nak malu apa?" jawab Nelly.
"Kita sama ajelah. Manusia biasa."
Khaira Wilda mengulum senyum.
"Saya sukalah rambut awak. Cantik!" katanya spontan mengusap rambut Khaira Wilda yang masih berdiri tidak berganjak di hadapannya.
Belum pulih lagi rasa hairan dalam hati Khaira Wilda. Nelly terlalu mesra dalam waktu yang singkat. Sebelum ini bercakap pun tak pernah. Mesti ada sesuatu ni, tak boleh percaya dia seratus peratus... Hatinya berdialog lagi.
"Saya pun suka rambut awak. Saya tak pernah berambut panjang. Sejak sekolah rendah, menengah dan..." Dia hampir-hampir menyebut perkataan universiti tetapi terhenti. Menarik nafas dalam-dalam dan menyambung. "Inilah fesyen rambut saya."
"Awak juga tak pernah pakai high heel?"
Khaira Wilda menggeleng. Sekarang sahaja dia tidak boleh pakai kasut tumit tinggi. Padahal di Kuala Lumpur, dia ada koleksi Jimmy Choo lagi. Ha... Siapa nak jawab tu?
Spontan mata Khaira Wilda memerhati kaki Nelly yang cantik, terserlah betisnya yang berbentuk bunting padi. Kasut tumit tinggi tiga inci. Kasut itu buat dia kelihatan lebih tinggi.
YOU ARE READING
MISS CLEANER UNDERCOVER
RomanceTajuk: Miss Cleaner Undercover Penulis: Fateen Najwa Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-53-2 Harga: RM26.00 (Semenanjung) // RM29.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Februari 2017 ****************** Saat mengetahui kebenaran yang hakiki, Hayden Da...