Dahulunya, pelukan itu hangat dan nyaman. Setelah berpenat kesana-sini, aku hanya mahu lelap dalam pelukanmu. Kamu juga tahu, pelukanmu mengusir segala mimpi-mimpi jahat. Ia sungguh nyaman dan menyenangkan.
Kini, aku berada dalam pelukanmu. Aneh, Tuan. Aku tidak lagi merasakan pelukan yang hangat dan nyaman itu. Ada getar dalam pelukanmu, kau cuba menyatakan sesuatu tapi aku sudah hanyut dalam pelukanmu. Hanyut aku tidak senyaman dahulu, aku diekori oleh setan dan mimpi jahat itu kembali lagi. Aku tidak lagi merasa nyaman.
Kita menjadi dua orang dewasa yang sudah berubah. Berubah kerana masa dan kesakitan. Kau tidak mampu lagi melindungi aku.
Kau melepaskan pelukan itu, untuk kali terakhir kau mencium dahi aku. Kau mengatakan "Maaf, aku tidak bisa melindungimu lagi, berlalulah."
Kau meninggalkan aku.Mimpi jahat mula kembali memeluk aku, mengisi setiap ruang kosong.