Enam

811 82 6
                                    

Suatu petang Jumaat, aku ditugaskan untuk menguruskan program usrah gabungan di Cyberjaya. Cuaca hari itu memang sangat panas. Aku bermandi peluh ketika memunggah dua kotak barang teknikal dari kereta ke dewan di tingkat dua bangunan wisma tersebut, walaupun waktu sudah pun menunjukkan jam 6.30 petang.

"Hish, kenapa kabel ni berselirat sangat," leterku. Peluh sudah macam mahu melimpah dari kulit kepala tapi diempang tudung.

Kakak menolongku mengangkat beg komputer riba dari bonet kereta. Tiba-tiba dia hilang keseimbangan kerana beg itu berat. Tangan kanannya pula lumpuh, maka dia tidak mampu berpaut. Lalu kakak terjatuh di atas beg komputer riba yang terlebih dahulu mendarat di atas jalan tar.

"Astaghfirullahal 'azim kakak!" Jeritku cemas.

"Kakak okay. Kakak okay." Dia bingkas bangun sendiri. Beg yang jatuh aku angkat dan galas di belakang. Aku membersihkan batu-batu kecil yang melekat di kain kakak.

"Maaf, adik. Laptop terjatuh pula," kata kakak.

"Kakak tak payahlah bawa apa-apa! Biar adik saja yang bawa." Balasku kasar.

Aku rasa sangat jengkel pada waktu itu. Kakak langsung tidak mahu berhati-hati. Tidak mahu sedar diri yang tangan dia tu sudah lumpuh. Semakin banyak dia cuba membantu, semakin banyak dia menyusahkan orang lain.

Dahlah komputer riba tu aku pinjam daripada Farah. Kalau rosak, argh, entah apa katanya nanti.

Aku memanjat tangga dengan susah payah kerana ada beg galas dan kotak besar di badan.

"Adik, tolong bawa buku kakak ni. Kakak lenguhlah naik tangga ni."

Aku mengambil buku daripada tangannya dengan separuh rentap. Tanpa memandang wajahnya, aku terus naik ke atas.

Setengah jam kemudian, aku duduk bersandar di bahagian dewan sambil menghirup udara sejuk pendingin hawa. Saat itu barulah aku memandang kakak, sedang khusyuk membuat persediaan terakhir sebelum menyampaikan ceramah malam nanti.

Aku menghampirinya, membantu menyemat mikrofon di tudungnya. Sekarang dia perlu menyampaikan sesi ringkas sementara menunggu masuknya waktu Maghrib.

"Terima kasih, adik." Aku melihat senyuman di wajah kakak. Dan demi Allah, aku sungguh terhimpit dengan rasa malu bercampur sesal kerana sikapku terhadapnya tadi.

Kakak meninggal dunia malam itu.

Bersambung....

Cerpen: Mencari Mus'abWhere stories live. Discover now