Tiga

1K 89 1
                                        

"Helo. Adik. Kakak kemalangan, dik. Sekarang ada di Hospital Putrajaya."

Berderau darahku saat mendapat panggilan telefon daripada mama.

Mendengar suara mama yang panik dan serak itu, aku dah dapat meneka bahawa sesuatu yang buruk telah terjadi. Cuma aku tidak sangka orang itu ialah kakak.

Beberapa jam kemudian barulah aku tiba di hospital. Aku bergegas memandu dari Melaka. Papa dan mama belum sampai kerana mereka bertolak dari Kuala Kangsar.

Aku tidak pasti bagaimana situasi kakak sekarang ini.

"Assalamualaikum. Adik ni Afifah, adik Atikah kan?" Seorang perempuan bertudung labuh warna pink menegurku. Entah bila dia muncul di kaunter ini, aku pun tidak perasan.

Dia membawaku ke wad kakak. Aku terkesima sebentar di muka pintu wad tersebut. Kakak terbaring pucat di atas katil, masih belum bangun selepas pembedahan tadi. Ada tompokan merah di dahi dan pipi kanannya. Mata kanannya lebam dan bahagian kanan wajahnya bengkak. Pasti disebabkan kesan hentaman sewaktu kemalangan. Tangannya calar-balar dan terluka.

Aku duduk di samping kakak dan meraih jari-jemarinya ke dalam genggaman tanganku.

"Kakak awak ada mengadu rasa kebas-kebas kaki dan tangan. Tak sangka pula sampai tak boleh kawal stereng. Mungkin penat sangat sebab semalaman dia tak tidur, siapkan tesis."

Di sebelah katil yang berselirat dengan wayar dan tiub itu, seorang lagi perempuan bertudung labuh sedang duduk sambil membaca al-quran.

Aku kenal perempuan itu. Dia kawan kakak yang aku gelarkan 'Nenek-emo'. Sebab dia beremosi tak tentu pasal bila bercakap pasal ketinggian dengan aku. Nenek-emo dan aku berkenalan tahun lepas di dalam satu-satunya program kakak yang pernah aku pergi.

"Tingginya awak ni. Macam model," tegurnya dengan ramah.

Dia berdiri rapat di sebelahku. Bahu bertemu lengan. Tangannya mengukur ketinggiannya sendiri. Ternyata hujung kepalanya hanya mampu mencecah bahu aku.

"Alaa.. Pendeknya akak," katanya.

"Tak apa kak... Susah bila tinggi ni. Kepala asyik terhantuk saja," gurauku.

Tak semena-mena wajah Nenek-emo bertukar masam dan kelat. Dia berjalan meninggalkanku dan menuju ke dapur.

"Bersyukurlah. Allah dah bagi tinggi elok macam itu. Syukur." Sinis.

Dan masa itu aku menyumpah-nyumpah dalam hati. Apa masalah perempuan ni? Dia ada masalah rendah diri ke? Dia tak tahukah yang aku punyalah berusaha nak jaga hati dia tadi? Kenapa nak emo sangat? Cemburu sebab dia pendek!

Dan tadi pula di luar wad, aku menghulurkan biskut lemak berperisa coklat kepadanya. Tanda perdamaian bagi diri aku. Dia pula menolaknya.

"Biskut ni kita kena boikot kan? Bukan ke jenama ni sokong musuh Islam?" Nada sinis kuasa dua.

Waktu tu aku rasa macam nak sumbat biskut tu masuk ke dalam mulut dia. Manalah aku tahu, nenek! Macam ni ke cara nak berdakwah?

Kakak akhirnya terjaga pada jam dua pagi. Ketika itu, hanya ada aku di wad. Papa dan mama pergi berehat di surau barangkali.

Kakak nampak lemah. Tangan kanannya langsung longlai. Tidak berupaya diangkat.

Doktor mengesahkan kakak lumpuh tangan kanan dan perlu mengikuti rawatan lanjut.

Bersambung....

Cerpen: Mencari Mus'abTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang