"Awak ni kenapa? Tak habis-habis lagi ke nak mengungkit benda lama?"
Baru sahaja aku ingin menarik selimut untuk tidur, terdengar suara papa yang sedang menengking mama. Bergaduh lagi ke mereka?
"Saya mengungkit sebab awak tu tak kenang budi! Saya dah tolong awak masa awak muflis dulu, awak sikit pun tak hargai! Malah awak boleh pula ada hubungan dengan PA awak sendiri!" Kini giliran suara mama pula kedengaran.
"Saya dah cakap banyak kali dengan awak, saya tak ada apa-apa hubungan dengan dia!"
"Awak tak payah nak membohong!"
Terus aku mengambil bantal lalu aku tekup di tepi telinga. Penat asyik mendengar pergaduhan antara mereka. Biarlah apa sekali pun punca pergaduhan mereka, tetap akan ada yang mengungkit perihal lalu. Semua itu sebab duit.
Hati aku runtum mendengar pertelingkahan antara mereka. Mahu sahaja aku lari dari rumah, namun mahu kemana aku pergi? Bukannya aku mempunyai sesiapapun selain mereka. Kesudahannya, aku hanya mampu menutup mata dan menganggap suara mereka seolah-olah sedang mendodoiku. Biarlah bilik dan katil ini sentiasa menjadi saksi air mata aku.
###
"Hayfa!"
Aku terkejut apabila aku membuka mata, aku sedang terbaring di atas tikar dekat sebuah taman. Taman yang luas, tasik yang damai suasana yang aman. Yang cuma ada aku dan dia serta beberapa lagi masyarakat yang lain. Tapi siapa dia?
"Awak jangan terkejut, nama saya Uqasha," Ujar dia dengan senyuman manis di bibir.
"Awak siapa? Uqasha?" Aku masih keliru, dimana aku berada sekarang ini.
Dia angguk, "Awak hanya boleh berjumpa dengan saya bila awak tidur je. Saya hanya ada dalam mimpi awak. Sekarang awak berada di Syurga Mimpi. Mimpi awak, Hayfa"
Lagi aku bertambah bingung. Syurga mimpi? Mimpi aku?
"Awak tak perlu fikir apa-apa. Tak perlu risaukan apa-apa. Dekat sini awak tenang. Awak tak akan dengar suara tengking-menengking, awak tak akan nampak orang sedang bergaduh. Awak akan bahagia dekat sini," Ujar Uqasha lagi.
Tiba-tiba, aku tersenyum sendiri, "Betul tak ada semua tu?"
Uqasha mengangguk. "Saya boleh jadi pendengar setia awak. Kalau awak sedih, awak tidur je. Nanti saya datang dalam mimpi awak dan awak boleh cerita semua pada saya,"
Dengar Uqasha berkata begitu, terus aku memeluk dia erat. "Terima kasih Uqasha,"
"Sama-sama Hayfa. Sekarang awak kena bangun. Tak elok tidur pada waktu tengahari," Ujar Uqasha.
YOU ARE READING
#Cerpen By Ciktembam
Short StoryKoleksi-koleksi cerpen dari Ciktembam yang mempunyai pelbagai genre