Sebaik kakiku jejak di Malaysia, hatiku dilanda gusar. Bagaimana keadaan dia. Terukkah dia? Bagaimana kalau aku dihalau lagi kali ini?
"Ya dik, nak ke mana?" soal lelaki yang membawa teksi. Umurnya lingkungan 50-an
Aku mengeluarkan sekeping kertas, "Boleh bawa saya pergi alamat ni?"
Dia meneliti alamat itu lalu dia mengangguk, "Boleh,"
Terus dia memasukkan dua bagasiku di dalam booth kereta. Aku memandang lapangan terbang ini. Patut ke aku berpatah balik? Atau patut aku teruskan perjalanan?
"Dik, marilah masuk," ajak dia.
Aku mengangguk dan senyum nipis sambil aku membuka pintu kereta. Tak lama kemudian, dia pun memandu keretanya menuju ke jalan besar. Harapnya tidak tersalah jalan.
"Adik ni dari mana?" soal dia.
"Dubai,"
"Jauhnya. Orang Malaysia ya? Kerja dekat Dubai ke?"
Aku mengangguk, "Dah lima tahun saya duduk sana,"
"Nama siapa?"
"Adriana,"
Sedikit rasa tidak selesa. Aku lebih gemar diam jika berada di dalam kereta. Tambah-tambah lagi jika itu kereta asing.
"Pak cik dulu pun ada anak duduk di Dubai,"
Dia menarik perhatian aku apabila berkata begitu, "Ya? Sekarang dia ada dekat mana?"
Dia menggeleng, "Pak cik tak tahu. Lepas dua tahun dia berkerja di sana, dia terus berkahwin. Selepas setahun dia kahwin, pak cik langsung tak jumpa dia dah. Sampai sekarang,"
"Dah berapa lama dia tak jumpa pak cik?"
"Hampir lapan tahun. Sebab tu pak cik ambil keputusan untuk bawa semula teksi. Untuk sara hidup pak cik dengan isteri,"
"Pak cik tak ada anak lain?" soal aku.
Pak cik itu menggeleng sambil dia senyum nipis, "Pak cik cuma ada anak seorang. Itupun pak cik ambil anak angkat. Sebab mak cik tak mampu nak mengandung dulu,"
Hatiku sedikit terasa sedih.
Dalam dunia ini, ada pelbagai jenis keluarga, jenis manusia. Ada yang bertuah kerana hidup penuh dengan kemewahan dan kebahagiaan. Ada pula yang ada kemewahan sahaja tetapi tiada kebahagiaan dan begitulah sebaliknya.
Ada juga ibu bapa yang amat menyayangi anak tetapi anak mengabaikan mereka. Begitu juga sebaliknya. Dan pakcik ini tergolong dalam golongan pertama.
"Kamu? Masih ada mak ayah?" soal pakcik itu.
Aku mengangguk, "Mak ada. Ayah dah tak ada. Meninggal tiga tahun lepas,"
Pak cik itu tersenyum, "Alhamdulillah. Kamu kena jaga yang mana ada ni. Ibu kamu tu amanah dan tanggungjawab kamu," ujar pak cik.
Aku mengangguk kecil, "Tapi... macam mana pula kalau dia tak suka kita?"
"Apa maksud kamu?"
Aku menelan air liur. Patut ke aku cerita pada pak cik ini. Kalau aku tidak cerita, aku makin sakit. Pak cik ini bukan siapa-siapa, jadi aku rasa tidak akan ada apa-apa yang berlaku. Seorang pak cik tua je pun.
"Sebenarnya dah tiga tahun saya tak balik Malaysia. Lepas arwah ayah meninggal, mak tiba-tiba terus membenci saya," ujar aku untuk memulakan bicara.
"Kenapa mak kamu benci kamu?"
Aku memandang ke luar tingkap. Peristiwa itu, masih lagi segar dalam memori. Tidak sikit pun aku lupa.
###
YOU ARE READING
#Cerpen By Ciktembam
Short StoryKoleksi-koleksi cerpen dari Ciktembam yang mempunyai pelbagai genre