Epilog

233 29 5
                                        


"Jadi macam tulah macam mana appa boleh kenal omma kamu." Bibir Kyungsoo melakar senyuman tenang sambil dia mengusap rambut si anak kecil yang khusyuk mendengar cerita lama. Perbuatan si ayah turut menghadirkan senyuman sama pada si pemerhati yang duduk bersila bersama di ruang tamu; Luhan dan Chanyeol.

"Appa, hujan dah turun!" Si anak kecil memeluk leher si ayah sambil menunjuk ke arah pintu kaca. Bunyi hujan menyirami bumi kedengaran memenuhi isi rumah itu. "Mesti omma pun rindukan appa kan?"

Luhan menunduk seketika dengan baki senyuman sebelum kembali memandang si anak kecil.

"Mestilah.. Sebab appa selalu rindukan omma."

"Haesoo pun rindukan omma jugak!" Makin erat dia memeluk leher si ayah yang juga mendakap tubuh genitnya.

"Habis, Lu-ge dan Pakcik Chanyeol ni Haesoo tak rindu ke?" Luhan mula mengusik, enggan suasana berubah menjadi sugul. Hanya ingin biarkan ia menjadi malam yang tenang.

"Pakcik?" Suara menyoal Chanyeol Luhan endahkan.

"Setiap hari tau kami berdua datang teman Haesoo bermain. Masih tak rindu kami ke?" Perhatian Luhan hanya pada si anak kecil.

"Haesoo pun rindukan pakcik!"

Luhan dan Chanyeol serentak mendepakan tangan dan sempat menolak lengan sesama sendiri, sebelum Haesoo memeluk kedua-dua manusia itu.

"Aku nak pergi masak makan malam kejap." gumam Kyungsoo yang sudah bangun dan menuju ke dapur. Dua pakcik itu hanya mengangguk dan mengajak Haesoo bermain dengan permainan-permainan yang tak terkira jumlahnya.

Kyungsoo sedang memasak kuah spaghetti di dalam kuali leper tatkala suara anak perempuannya yang girang tertawa diikuti suara lelaki garau meletus di ruang tamu. Kyungsoo berpaling dan menjenguk dengan senyuman di bibirnya.

"Appa!" Haesoo berlari ke arah Kyungsoo lalu memeluk kakinya. Dia cuba menyorokkan badan genitnya di sebalik kaki si ayah.

"Pakcik dah dapat kamu!" Chanyeol mengagah si anak kecil itu lagi lalu kembali meledakkan ketawa girangnya. Kyungsoo juga turut tersengih.

"Haesoonie, appa kamu nak masak tu, mari main dengan Lu-ge kat sofa ni!" Pintaan Luhan dari ruang tamu segera si anak kecil itu turutkan. Dengan pantas, dia berlari diekori Chanyeol yang berjalan itik di belakang dengan payahnya.

Kyungsoo menggeleng kecil sebelum menyambung perbuatannya.

Usai selesai makan malam, Haesoo beria untuk membantu Kyungsoo mengemaskan meja dengan membawa pinggan ke dapur sambil diawasi Luhan. Chanyeol pula menjadi tukang cuci. Sambil-sambil itu, Haesoo membuka pintu peti sejuk dan matanya mencari sesuatu.

"Cari apa, Haesoo?" Kyungsoo duduk bertinggung menyamai ketinggian anak perempuannya.

"Cari epal!"

Sekejap saja Kyungsoo menggapai sebuah buah epal lalu dibasuh dahulu sebelum diberi pada yang muda. Selepas gigitan pertama Haesoo, dia menyuakan epal itu pada Kyungsoo.

"Appa makan lah jugak!"

Kyungsoo tersengih sebelum membuka mulut. Perbuatan Haesoo kadang kala mengingatkan dia pada Haera.

"Pakcik nak jugak!" Chanyeol sudah ternganga-nganga sebaik siap mencuci pinggan dan peralatan memasak. Laju dia merendahkan badan berhadapan dengan si anak kecil.

"Ish tak malu mintak dengan budak." Sempat Luhan mengejek dalam gurauan.

"Terima kasih sebab selalu datang rumah aku." ucap Kyungsoo sambil mengiringi Luhan dan Chanyeol ke muka pintu. Di bahunya, Haesoo yang sudah terlentok lena.

"Kita kan dah kenal lama, Kyungsoo. Kau kan kawan aku. Haesoo ni pun aku dah anggap macam anak buah aku dah."

"Aku pun sama, Kyungsoo." Chanyeol mengiakan kata-kata Luhan lalu mengusap sejenak rambut si anak kecil sebelum beredar.

Dengan perlahan-lahan, Kyungsoo membaringkan Haesoo di atas katil. Badan si genit diselimuti hingga paras dada. Hujan masih renyai di luar, mendinginkan malam. Ubun-ubun Haesoo dikucup lama sebelum Kyungsoo berbisik lembut. "Selamat malam."

Daun pintu bilik tidur si anak kecil akhirnya ditarik beransur-ansur. Badan terasa letih, tapi mata enggan lagi terpejam. Kyungsoo membawa diri ke sofa dan melepaskan lelah.

Dia merenung di cincin perkahwinan di jari manis. Sudah enam tahun cincin itu tersarung. Sudah enam tahun juga Haera pergi meninggalkan dirinya. Kyungsoo mengusap lembut cincin itu. "Anak kita perangai dia macam awak.. Setiap perkara yang dia buat, mengingatkan saya pada awak.."

.

.

.

"Awak ada dengar apa-apa ke?" Haera terpaksa menekup mulut menahan kegelian. Sebelah tangan lagi mengusap rambut Kyungsoo.

"Saya dengar our baby tengah-"

Duk!

Kyungsoo mengalihkan telinganya daripada baby bump Haera. "Dengar tak? Our baby girl kicked!"

Haera laju mengangguk sambil sengihannya tersembunyi di sebalik tekupan tangan. Rasa yang aneh tapi ia mengujakan. Menunggu kelahiran anak pertama sememangnya pengalaman baru bagi mereka berdua. Hanya tinggal sebulan lagi dari tempoh bersalin Haera.

Kyungsoo mengambil tangan Haera dan menyatukan dengan tangannya lalu diletakkan ke atas perut si isteri. "Saya tak sabar nak tunggu si comel ni lahir."

Riak Haera melembut dan dia mengusap pipi Kyungsoo dengan penuh rasa kasih. Entah mengapa, dia terasa seperti dia akan rindukan wajah polos di hadapannya ini. Tangan Haera Kyungsoo ambil dan kucup. "Apa awak nak namakan dia?"

"Haesoo."

"Haesoo?" Haera tercondong kepala, tidak mengerti mengapa nama itu dipilih.

"Nama gabungan kita berdua. Haera dan Kyungsoo." Senyuman berbentuk hati Kyungsoo terlakar.

Wajah Kyungsoo Haera pandang lama. "Kalau Haesoo lahir nanti, awak jaga dia baik-baik ya?"

.

.

.

Kyungsoo memejamkan mata, terasa sebak kembali menjengah. Masih terbayang dalam ingatan; jarinya yang lembut, tangannya yang hangat. Sekerdip mata, umpama terjaga dari mimpi, dia pergi.

Selama ini, aku sudah banyak belajar tersenyum semasa teringatkan si dia.

Kini, hanya berdua. Biarlah aku melancong berdua bersama si jiwa hati. Mungkin di perhentian seterusnya, wujud keajaiban di situ. Yang sedang menanti kedatanganku dengan senyuman.

Usah bimbang; hujan akan sentiasa menemani.


Hujan [Do Kyungsoo]Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang