BAB 1

4.9K 89 3
                                    

"CERMIN ni kena lap sampai berkilat. Kalau bos nampak ada habuk sikit pun, dia suruh jilat balik nanti!" Zamin memberitahu Tamara yang sedang mengelap cermin bilik air.

"Cormin dalam bilik air pun?" Sebelah kening Tamara terjongket tinggi. Dia ada mendengar tentang bos mereka yang sangat cerewet itu tapi dia tak tahu pula cermin dalam bilik air pun kena dilap sampai men'ciut'kan. Sangkanya, cermin di ruang koridor dan lobi saja yang perlu kelihatan bersinar-sinar.

"Ya! Sampai dalam bilik ayaq pun bos akan check. Tapi selalunya dia check hat bilik-bilik VIP, ruang lobi dan koridor. Siapa yang bertugas kat tempat-tempat tu, memang masaklah." Zamin memberitahu lagi.

"Coghewet bona!" Tamara menggeleng kepala. Mujurlah dia ditugaskan mengemas bilik standard sahaja. Sekali-sekala saja dia disuruh membersihkan ruang koridor. Jadi kebarangkalian untuk kerja-kerjanya dipertikaikan itu kurang.

Kalau nak kena hadap pun cuma dengan Cik Eka, penyelia aras yang bertanggungjawab memeriksa kebersihan dan kekemasan setiap bilik.

"Dahlah cerewet, sombong pula tu! Dengan pekerja bawahan macam kita ni, jangan haraplah dia nak pandang." Zamin terus mengomel tentang Encik Daniel, bos mereka yang juga anak kepada pemilik hotel The Stanley's Suites itu.

"Alah... Sapolah kito ni, kan? Kuli yo!" Tamara berkata.

Bagi Tamara, ditawarkan jawatan atendan bilik di hotel itu pun sudah besar rahmat. Dapatlah dia mengumpul duit banyak-banyak untuk perbelanjaan ke universiti nanti. Sudah setahun Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) miliknya diperam. Bukan disebabkan keputusannya tak cemerlang, malah dia dapat mumtaz lagi.

Layak sangat untuk menyambung pelajaran ke universiti Timur Tengah yang dicita-citakannya itu. Namun apakan daya, dia bukan dari keluarga berada. Sebab itulah dia ambil keputusan untuk bekerja dahulu. Lagipun dia masih ada setahun lagi sebelum Sijil Tinggi Agama Malaysianya itu 'tamat tempoh'. Ini kerana faktor umur juga menjadi syarat kelayakan memohon.

"Dah dia bos, okeylah nak berlagak pun. Yang aku bengang ni, Si Eka laksa beras tu..." tutur Zamin. Tamara tersenyum saja mendengar gelaran yang diberi oleh Zamin kepada penyelia aras mereka itu. Tak dinafikan, Cik Eka memang berlagak walaupun pangkatnya cuma penyelia.

"Baru jadi floor supervisor, tapi kerek nak mampus. Mentang-mentanglah dia dapat tangkap jerung besaq!" Zamin merungut-rungut geram.

"Ni nak kerja ke nak berborak?"

Tersentak jantung Zamin dan Tamara apabila tiba-tiba saja perempuan kerek yang diperkatakan itu muncul.

"Errr... Nak kerja, Cik Eka..." Suara Zamin sudah terketar-ketar. Tamara pula menundukkan kepalanya saja. Tak berani nak bersuara apatah lagi angkat muka.

"You dibayar gaji untuk buat kerja, bukan berborak. Kalau mulut tu pot pet pot pet tak sudah, dua puluh minit pun tak boleh habis kemas satu bilik. You all tahu berapa jumlah bilik dalam hotel ni?" Cik Eka sudah membebel.

"Saya cuma nak ajar Ara saja, Cik Eka. Maklumlah... Dia kan pekerja baru?" Zamin cuba membela dirinya.

"Baru tak baru, dekat sebulan dah dia kerja. Takkan tak reti-reti lagi? Bilik air ni, sorang cuci dah cukup. Zamin, you pergi kemas katil!" Eka memberi arahan.

"Baik, Cik Eka." Zamin menurut perintah.

"Sekarang, pergi buat kerja!"

Zamin lekas-lekas beredar. Mujurlah penyelia aras itu tak dengar umpatannya tadi. Zamin mengurut dada. Lega!

Sebaik sahaja Zamin pergi, Eka menolak bahu Tamara.

"Berapa kali I nak pesan dengan you? Simpan-simpan bahasa hulu you tu. Harap muka aje macam orang putih tapi bahasa... Kampung dot com sangat." Sekali lagi Tamara diberi amaran.

"Hotel ni hotel lima bintang, jadi tolong bercakap dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu standard. Ini arahan daripada bos. Bos tak nak hotel ni jadi macam kampung, faham?" Eka mengingatkan lagi.

"Faham, Cik Eka." Tamara membalas perlahan. Ketika mendaftar diri di hotel, dia sudah pun diberi taklimat tentang itu tapi nak buat macam mana, dia telah terbiasa dengan dialek Negeri Sembilan yang dia gunakan sejak kecil lagi.

"Housekeeping Department to Cik Eka. Do you copy?" Walkie-talkie di tangan Eka berbunyi.

"This is Cik Eka. Go ahead." Eka segera menjawab.

"What's your twenty?"

"Level six."

"Boss is on the way."

"Ten four. " Walkie-talkienya lalu dimatikan.

PINTU lif terbuka. Muncul seorang lelaki kacak bergaya, lengkap dengan baju sut warna kelabu gelap. Bersamanya dua orang staf lelaki dari bahagian housekeeping. Setiap hari, dua staf akan mengiringinya membuat pemeriksaan hotel. Jika ada perkara yang tak memuaskan hatinya, alamatnya staf pengiring akan menjadi habuan maki hamunnya.

"Morning, Encik Daniel..." Eka menyapa.

"Morning." Sepatah saja eksekutif housekeeper itu menjawab. Kemudian langkahnya terus diatur. Sambil berjalan, jejarinya mencuit dinding. Dia mahu memastikan tiada sebarang habuk pun yang melekat pada dinding. Kebersihan dan kekemasan hotel mesti mengikut standard piawaiannya. Sementara itu Eka dan dua lagi staf mengekori dari belakang.

Tiba-tiba langkahnya dihentikan, betul-betul depan tingkap cermin. Dia kemudiannya menghampiri tingkap cermin. Beberapa saat, matanya yang tajam memeriksa. Eka sudah kebam bibir. Adalah tu yang bakal dikomen oleh bos muda itu.

"Tak cukup berkilat. Buat kerja macam mana ni?" tengking lelaki bersut kelabu gelap.

"Errr... Maaf, Encik Daniel. Mungkin pekerja yang mengelap tadi tak perasan."

"You tak briefing ke tadi?" Pic suaranya masih lagi tak mesra.

"Dah briefing Encik Daniel tapi dia pekerja baru... Mungkin tak begitu mahir lagi." Eka membalas.

"Itu bukan alasan yang I nak dengar. Sebagai penyelia, you dibayar untuk melatih dan memantau staf bawahan you. Bukan makan gaji buta!" Bos muda kembali menengking.

Telinga Eka rasa bernanah. Bibirnya diketap kejap.

"Atau you cuma pandai mengikis harta keluarga Stanley?"

Oh, ini sudah lebih! Eka sudah sentap. Ikutkan hati, mahu dicilikan saja mulut tak ada insurans di depannya itu. Memikirkan dia ketua, Eka tahan rasa geram dan sakit dalam hati.

"I akan latih dia betul-betul, Encik Daniel. I promise." Eka berkata perlahan. Terpaksa akur dengan pangkat yang disandang oleh lelaki di depannya itu.

"You pergi panggil staf tu ke mari. I nak dia lap semula sampai berkilat, sekarang juga!" perintah Daniel.

"Dia sedang cuci bilik kat level six, Encik Daniel."

"Kalau macam tu, I nak you sendiri yang lap!" Lekas saja Daniel memintas. Dia tak suka orang beralasan.

Berombak-ombak gelora amarah dalam dada Eka. Penat dia berlari dari tingkat enam ke tingkat tujuh masih tak hilang, nak suruh dia lap cermin pula? Dia bukannya kuli bawahan, dia penyelia! Tambah sakit hati Eka apabila dua staf pengiring tersenyum-senyum, mengejeknya. Namun segala kemarahannya itu ditelan kembali. Terpaksa hadap jugalah eksekutif houskeeper itu. Lagipun dia bukan setakat bos atasan, dia juga anak bos besar iaitu si pemilik hotel!

"You two! Come with me." Arahan diberi pula kepada dua staf pengiring. Kemudian Daniel mengatur langkah. Dua staf pengiring mengikuti di belakang.

Eka berdiri tercegat memerhati. Mukanya kelat dan ketat. "Poyo!" Eka menjuih bibir setelah dirinya jauh ditinggalkan.

"Hari ini hari kau. Esok lusa hari aku. Tahulah kau langit tinggi rendah bila tiba masanya." Eka berkata kepada dirinya sendiri. Mukanya masih ketat dengan dada beralun dilambung gelora amarah.

BIDADARI BERMATA JELIWhere stories live. Discover now