BAB 3

2.6K 64 1
                                    

TAMARA menolak troli yang berisi timbunan tuala bersih. Tuala-tuala itu perlu ditukarkan ke setiap bilik. Begitulah rutin kerjanya pada setiap hari. Mujurlah dia tak disuruh mengemas bilik-bilik VIP meskipun pulangannya lumayan. Menurut Zamin, staf-staf di situ berebut-rebut mahu mengemas bilik VIP kerana mereka akan dapat lebih banyak tip daripada tetamu. Maklumlah, tetamu yang menghuni bilik VIP bukan calang-calang orang. Mereka terdiri daripada ahli-ahli perniagaan, bos-bos besar, Datin, Datuk, Tan Sri...

Jika dapat tetamu VIP dari luar negara, lagi 'lebat' tip yang diterima. Kadang-kadang terdapat barang-barang berharga yang tertinggal. Jika tidak dituntut oleh pemiliknya, menjadi rezeki kepada staf yang mengemas bilik tersebut. Namun begitu, Tamara sedikit pun tak berminat kerana dia tahu mengemas bilik VIP bukannya mudah.

Bagi Tamara, mengemas bilik VIP agak memenatkan sebab bilik itu bukan saja besar, siap mempunyai tab mandi lagi. Selain daripada cermin, tab mandi juga mesti dibersihkan sehingga berkilat. Silap sikit sahaja, alamat kena herdiklah dengan Encik Daniel. Bilik mesti dikemas betul-betul. Matanya sangat tajam dan pemerhatiannya begitu teliti. Habuk yang sebesar hama pun dia boleh nampak. Macam pakai kanta pembesar, kata Zamin. Kata Zamin lagi, kepala paip dan tombol pintu pun Encik Daniel periksa!

Meskipun tak mendapat imbuhan yang lumayan, Tamara lebih rela selama-lamanya mengemas bilik-bilik standard saja kerana bilik standard jauh lebih kecil saiznya. Hiasan dalamannya pun ringkas saja. Tiada tab mandi yang perlu disental mahupun sofa mewah yang perlu divakum.

Yang ada cuma dua bangku kayu dan meja panjang tempat letak barang. Dia cuma perlu lap meja dan susun balik bangku elok-elok. Almari pun tak banyak yang hendak dilap. Jadi kerja-kerja mengemas lebih mudah. Dan yang paling penting, tak perlu takut terserempak dengan Encik Daniel sebab dia memang tak akan periksa bilik standard. Kalau boleh dia tak mahu terserempak dengan Encik Daniel itu. Tak ingin dia diherdik seperti staf-staf lain yang pernah kena.

"Ouch! Buta ke? I yang begini besar pun tak nampak? Lain kali jangan berangan. Buat kerja tu mesti fokus!" Tiba-tiba saja gegendang telinga Tamara diterpa dengan maki hamun.

Ah! Pagi yang suwey kata orang. Patutnya pagi-pagi hari, telinga diperdengarkan dengan ayat-ayat suci al-Quran agar aura dan nur al-Quran masuk ke dalam hati dan memberi ketenangan sepanjang hari. Baru Tamara teringat pagi tadi dia tak sempat membaca al-Quran. Biasanya selepas solat subuh, dia akan membaca al-Quran dalam satu ke dua lembaran sebelum bersiap ke tempat kerja. Amalan membaca Quran pada pagi-pagi hari itu dia amalkan sejak masuk ke asrama. Semasa perhimpunan di sekolah, para pelajar akan membacakan surah Yasin. Malam pula, selepas maghrib mereka membaca surah al-Mulk dan as-Sajadah. Walaupun sudah setahun meninggalkan alam persekolahan, amalan itu dia teruskan sehingga kini.

Entah macam mana Tamara terlewat bangun pagi tadi. Mujurlah dia sempat solat subuh. Sudahlah perutnya lapar kerana tak sempat bersarapan, pagi-pagi lagi herdikan menjadi santapan telinga. Mungkin inilah balasan Tuhan kerana mendahulukan urusan dunia. Jauh di sudut hatinya, Tamara mengakui kealpaan diri.

"Maaf, Cik Eka! Saya... Saya tak sengaja..." Tergagap-gagap Tamara memohon maaf. Timbunan tuala di atas troli itu menghalang pandangannya di bahagian depan. Sebab itulah dia tak nampak Cik Eka keluar dari bilik tadi.

"Careless! Masih tak reti-reti lagi buat kerja? Ini nasiblah I. Macam mana kalau tetamu VIP tadi?" Tamara dimarahi lagi. Belum lagi reda amarah Eka nampaknya.

"What's wrong?" Encik Harith yang baru keluar dari bilik VIP datang bertanya.

"Budak ni, ha... Main langgar aje I!" Eka terus mengadu.

"It's just a small matter, Eka... Mungkin dia tak sengaja." Harith yang kini berada di samping Eka, berkata.

Tanpa menghiraukan kata-kata Harith, Eka merapati Tamara. Kemudian dahi pekerja baru itu ditunjalnya dengan jari telunjuk. "Kalau rasa masih nak bekerja kat sini, buat kerja tu betul-betul!"

BIDADARI BERMATA JELIWhere stories live. Discover now