BAB 6

2.1K 59 1
                                    

DANIEL membelek dokumen. Tiba-tiba dia terpandangkan sesuatu yang melekap pada kertas dokumen. Berbentuk bulat, nipis dan berwarna kelabu. Lantas hujung jarinya ditekap pada benda bulat kecil berwarna kelabu itu. Lama bebola matanya membelek.

Nampak macam contact lens... Hati kecilnya berkata. Serta-merta mindanya teringatkan staf yang melanggarnya semalam. Dia tak nampak wajah staf itu tapi dia masih ingat ciri-ciri fizikalnya.

"Tingginya lebih kurang lima kaki tiga inci..." Penglihatannya yang tajam membantu dia mengecam ciri-ciri yang ada pada perempuan yang ingin dicarinya itu.

"Tak gemuk dan tak terlalu kurus..." Satu lagi ciri yang sempat dia rakam dalam ruang memori otak.

"Perfect body!" Senyumannya dilarik. Meskipun agak bengang dilanggar semalam, nafsu lelakinya tak mampu dikekang.

Tok-tok... Pintu bilik pejabatnya diketuk.

"Come in!" Daniel bersuara. Daun pintu bilik pejabatnya terkuak. Muncul Eka, si penyelia aras.

"Ini rekod staf untuk hari ini." Eka meletakkan fail ke atas meja Daniel.

Fail yang diserahkan oleh Eka itu tidak disentuhnya. Wajah Eka dipandang sesaat dua. "I dapati masih ada staf yang tak mengenali I sebagai ketua dalam department ini... Jadi I nak you tampal gambar I besar-besar pada carta organisasi," tutur Daniel kemudiannya.

Hek eleh... Padahal diri sendiri pun tak pernah nak pedulikan staf. Manalah staf nak kenal? Namun kali ini kata-kata itu cuma dituturkan dalam hati. Cari pasallah namanya kalau cakap kuat-kuat sampai lelaki berlagak itu dengar.

"You dengar tak?" soal Daniel apabila Eka tak memberi sebarang respons.

"Nak saiz berapa, Encik Daniel? Lapan R? Sepuluh R?" Eka menyoal dalam nada sinis.

"Atau nak I buatkan bunting? Lepas tu letak kat setiap floor." Sindiran Eka diteruskan lagi.

"Five R will do..." Daniel enggan melayani sindiran penyelia aras itu. Fail di atas meja diambilnya pula. Kemudian jejarinya segera menyelak dokumen yang terdapat di dalam fail itu. Laju iris matanya membaca apa yang tertulis pada setiap helaian dokumen. Mencari senarai nama staf perempuan. Nama staf lelaki dia abaikan.

Tamara... Iris matanya pegun pada satu nama. Nama itu agak unik pada pandangannya.

"Ada apa-apa lagi, Encik Daniel?" soal Eka.

"Berapa ramai staf housekeeping yang bertudung?" Soalan diaju.

Ah, sudah! Jenuh nak ingat. Eka mengomel dalam hati. "Ermmm..." Seraya itu jejarinya membilang jumlah staf bertudung yang terlintas dalam mindanya pada ketika itu.

Kak Pora, Kak Timah, Mimi, Zamin...

"Takkan benda senang macam ni pun you tak tahu?!" jerkah Daniel apabila Eka masih tak memberikan jawapan.

"Kejaplah, Encik Daniel! I tengah nak kira ni..."

"The Stanley's Suites mempunyai dua puluh lima orang room attendant, Eka! And only five of them are males... Takkanlah dua puluh orang staf pun you tak boleh ingat?" marah Daniel lagi.

Eka tarik muka cemberut. Eee... Macamlah kau kenal semua staf engkau!

Fail di tangan dilemparkan ke atas meja, ke arah Eka. "I nak you tick nama-nama staf yang bertudung," arah Daniel. Kesempatan itu mahu diambilnya.

"Sekarang?"

"Yes, now!"

SISTEM maklumat pekerja pada komputer yang terdapat di atas mejanya itu dibuka. Daniel mahu mencari maklumat tentang staf yang telah ditandakan oleh Eka sebentar tadi. Tak sampai 10 orang pun nama yang bertanda. Ini memudahkan proses cariannya.

Satu per satu nama dimasukkan. Sebaik sahaja melihat gambar staf yang terpampang, terus sahaja Daniel keluar dan memasukkan nama yang lain pula. Mana taknya, semua mak cik-mak cik gemuk! Kalau ada yang muda pun langsung tak menarik. Daniel bukan saja hilang selera, dia turut hilang mood hendak membuat pencarian yang seterusnya.

Daniel imbas lagi peristiwa dilanggar staf semalam. Berdasarkan uniform yang dipakai, Daniel yakin staf yang melanggarnya itu merupakan atendan bilik. Senarai nama dalam fail kemudian disambung belek. Tiba-tiba iris matanya tertancap pada satu nama. Nama yang letaknya di bawah sekali dalam senarai. Macam mana dia boleh tak perasan?

Aksara-aksara pada papan kunci diketuk semula. Namun baru saja jejarinya menekan huruf t dan huruf a, telefon di atas mejanya berbunyi. Lambat-lambat Daniel angkat gagang telefon.

"I just want to remind you about your meeting with Mister Tan today. You jangan tak pergi pula." Kedengaran suara abangnya mengarah di hujung talian.

"Yes, I know..." Daniel membalas tak ramah. Dia bosan diarah-arah oleh abangnya itu.

"So, buat apa duduk dalam bilik pejabat lagi? You tahu dah pukul berapa sekarang ni?" persoal Harith. Adiknya itu sepatutnya sudah bergerak sekarang kerana pertemuan dengan Encik Tan dijadualkan pada pukul 2.30 petang.

"Okay, mister CEO to be!" Dalam pada malas nak bertekak dengan Harith, sempat lagi dia menyindir. Gagang telefon lalu diletak. Kemudian dia terus bergegas keluar dari bilik pejabatnya.

TANGAN Tamara ditarik lalu gadis itu diseretnya ke satu sudut. Dalam keadaan terpinga-pinga, Tamara menurut sahaja.

"Apa yang kau dah buat hari ini?" soal Eka dalam nada suara yang tak mesra.

"Cuci toilet, kemudian syampu karpet kat level three, ganti Selvi. Selvi cuti hari ni." Naif Tamara menjawab. Tugas dia hari itu sepatutnya mengemas bilik-bilik di aras empat tapi memandangkan aras tiga kekurangan pekerja disebabkan Selvi bercuti sakit, Tamara terpaksalah membantu. Mujurlah tak ramai tetamu, jadi tak banyak bilik yang perlu dikemasnya di aras empat itu.

"Yang tu aku tahulah, bodoh!" Eka bengang dengan sikap Tamara yang blur itu. Bukan itu yang dia mahu tahu kerana jadual tugas bekerja dia yang atur. Tak perlu beritahu pun dia dah tahu.

Dua kening Tamara sudah bertaut. Dia memang tak faham apa kehendak soalan Cik Eka sebenarnya. Bagi Tamara, soalan-soalan Cik Eka adakalanya lebih susah daripada soalan-soalan STAM. Sampaikan dia tak tahu apa yang Cik Eka hendak dia jawab sebenarnya. Kadang-kadang sudah dijawab begini, tak betul. Kemudian bila dijawab begitu, pun tak betul juga.

"Sepanjang hari ni kau ada jumpa dengan Daniel, tak?" Kali ini soalan Eka lebih jelas.

Geleng.

"Kau jangan nak tipu aku, ya!" herdik Eka.

"Betul tak ada, Cik Eka. Pagi tadi saya kemas bilik. Tengah hari cuci toilet, lepas tu syampu karpet." Sekali lagi Tamara ulang apa yang dia lakukan sepanjang hari. Dia sebenarnya cuba berlagak biasa, sedangkan jantungnya kini sebenarnya berdegup laju.

Lama Eka perhatikan Tamara. Walaupun dia masih sangsi dengan penafian pekerja itu. "Aku tak percaya! Mesti kau ada lakukan sesuatu. Kalau tak, kenapa dia nak senarai nama staf bertudung?"

"Hah?" Bundar dua iris mata Tamara memandang Eka.

"Aku dah agak! Baik kau beritahu aku apa sebenarnya yang berlaku?" Berdasarkan reaksi Tamara itu, mengesahkan memang ada sesuatu yang terjadi.

"Errr... Sebenarnya, semalam..." Kejadian terlanggar Encik Daniel diceritakan dari A sampai Z.

"Kau ni betul-betul menaikkan darah akulah! Kan aku dah pesan dengan kau jangan sampai terserempak dengan Daniel?" Kepala Tamara ditunjal. Geram betul Eka dengan staf itu. Tamara menunduk apabila dimarahi. Rasa bersalah dan takut kini bercampur baur.

"Eee! Ikutkan hati aku ni, rasa nak picit-picit aje kau, tahu tak?" Eka menjegilkan dua biji mata. Sakit betul hatinya dengan kebodohan Tamara itu.

"Tapi saya rasa Encik Daniel tak cam muka saya..." Dia cuba menenangkan hati penyelia aras itu.

"Kau yakin?" soal Eka.

Angguk.

Muka Tamara diperhati seketika. "Hermmm... Aku tahu apa nak buat. For the time being, aku nak kau elakkan diri kau dari bertembung dengan Daniel, faham?"

"Faham, Cik Eka..."

BIDADARI BERMATA JELIWhere stories live. Discover now