BAB 15

2.2K 52 5
                                    

"WEI, kenapa tak cuci gelas-gelas tu?" tegur Tamara kepada Zamin apabila dilihatnya Zamin mengelap saja dua gelas yang terdapat di dalam bilik tetamu itu dengan kain.

"Kau tahu tak dah pukul berapa sekarang ni?" Soalan Tamara dijawab dengan soalan.

Tamara kerling jam di pergelangan tangan. "Pukul satu setengah baru..."

"Tetamu nak check in pukul dua. Bilik ada tiga lagi tak kemas. Karang tak sempat nak siap, kau nak kena maki dengan Eka laksa beras tu?" pertikai Zamin.

Biasanya kerja-kerja mengemas berjalan lancar kecuali pada cuti umum. Hari itu bukan cuti umum pun tetapi 2 orang atendan bilik tiba-tiba pula cuti kecemasan. Kak Timah bercuti sebab anak dia muntah-muntah di sekolah. Terpaksa pula pergi ambil bawa ke klinik. Selvi pula demam. Perkara-perkara sebegini bukan disengajakan. Mahu tak mahu, staf yang ada terpaksalah ambil alih. Ambil alih bermakna banyaklah bilik yang hendak dikemas. Namun apa yang seronoknya, nanti dikira bekerja lebih masa. Bayaran akan diterima berdasarkan jumlah bilik yang ditambah dari sepatutnya.

"Tak apolah... Den poie basuh sokojap. Kojap yo..." Dua gelas yang sudah dilap oleh Zamin tadi, Tamara ambil semula. Tak sampai hatinya membiarkan tetamu minum di dalam gelas yang pada zahirnya bersih tapi hakikatnya kotor. Walaupun tetamu tak tahu, tapi Tuhan tahu.

"Isy, dia ni... Nak basuh juga tuuu... Ketegaq!" Geram Zamin melihat sikap rakan kerjanya yang terlalu naif dan jujur itu. Pada Zamin, adakalanya tak perlu jujur sangat. Kalau nanti sendiri yang dapat susah, buat apa?

"Alaaa... Kojaplah!" Tamara tak pedulikan larangan Zamin. Kedua-dua biji gelas itu mahu dibasuhnya juga. Dengan segera dia bawa gelas-gelas itu ke bilik air. Pada Tamara, gelas-gelas itu bukan nak kena sabun beria-ia. Dapat dibilas dengan air bersih pun sudah mencukupi.

"Lantak hanglah! Aku pergi bilik sebelah. Karang tak habis kemas semua bilik, naya kita," tutur Zamin seraya melangkah keluar dari bilik.

USAI mencuci, Tamara letakkan kembali gelas ke atas dulang yang berada atas meja makan. Kemudian dia bersegera ke pintu lalu menguak pintu bilik. Dia ingin pergi mendapatkan Zamin.

"Selamat tengah hari, Encik Daniel." Tamara mendengar suara Zamin menegur seseorang. Jelas pada pendengarannya nama orang yang ditegur Zamin itu.

"Alamak! Si ceghewet tu, ko?" Tamara tak jadi hendak keluar. Gila nak keluar? Kalau Encik Daniel perasan dia yang telah melanggarnya tempoh hari, tak ke naya?

Tamara tidak pernah bertemu dengan Encik Daniel jadi dia tak tahu bagaimana paras rupa lelaki itu. Pada hari 'kejadian' dulu pun dia tak sempat nak tengok muka lelaki yang dilanggarnya itu. Encik Daniel itu putih atau hitam orangnya, Tamara tak tahu. Meskipun Zamin sering memuji betapa kacaknya lelaki itu, tak pernah pula dia cuba membayangkan paras rupa Encik Daniel selama ini. Apa yang dia tahu, lelaki itu ada karisma, menurut kata Zamin.

Sebenarnya gambar eksekutif itu ada ditampal pada carta organisasi dalam bilik taklimat, tetapi Tamara pandang sepintas lalu saja. Tak kuasa dia beria-ia membeleknya. Ada karisma atau tidak, tetap tak boleh mengalahkan cinta hatinya.

Pelan-pelan Tamara memasang telinga. Dia hendak memastikan eksekutif itu sudah pergi, barulah dia keluar. Kalau tak diberi amaran oleh Cik Eka pun dia tetap akan mengelak daripada bertembung dengan Encik Daniel itu.

"Hek eleh... Sombongnya!" Terdengar lagi suara rungutan Zamin. Kali ini macam marah saja bunyinya. Setelah yakin Encik Daniel sudah pergi, barulah Tamara kuak daun pintu luas-luas. Dilihatnya Zamin masih berdiri di koridor. Tadi beria-ia nak cepat sangat sampai tak sempat nak basuh gelas, kononnya. Lalu Tamara bersegera mendapatkan rakannya itu.

BIDADARI BERMATA JELIWhere stories live. Discover now