BAB 12

1.9K 64 2
                                    

KONDOMINIUM bergelap. Ain petik suis lampu di dinding, tepi pintu. Dipandangnya sekeliling ruang tamu yang kini sudah bermandikan cahaya lampu. Kondominium mewah yang besar itu begitu sunyi. Nampaknya kakaknya itu bermalam di luar lagi.

Kunci rumah kemudian digantung pada tempat kunci yang melekap pada dinding, di bawah suis lampu. Sejurus itu langkahnya diatur longlai ke biliknya.

Ain melabuhkan duduk di atas katil. Agak lama dia berjeda memikirkan tentang kakaknya. Kondominium yang mereka diami itu bukan calang-calang orang mampu memilikinya. Kalau bukan mempunyai business sendiri, hanya anak orang kaya saja yang mampu membeli. Tapi kakaknya itu tak masuk pun dalam kedua-dua kategori. Mereka bukannya anak orang berada. Apa yang kakaknya itu boleh buat ialah menggunakan tubuh badan sebagai modal 'perniagaan'.

Astaghfirullahazim! Ngeri Ain setiap kali memikirkan pekerjaan kakaknya itu.

Ain sandarkan tubuhnya pada kepala katil. Manakala kakinya pula dilunjurkan lurus ke depan. Mahu meredakan lelah sebentar. Patung beruang yang terletak di sebelah kemudian dicapai.

"Cici... Apo patut Ain buek?"

"Kalau Ain togo, kakak mosti mongamuk." Bicaranya diteruskan.

"Apo?" Patung beruang didekatkan ke telinga.

"Tapi kalau Ain tak togo, Ain bedoso samo..." Ain serba salah sebenarnya. Sangkanya dengan mengikut kakaknya ke Kuala Lumpur, hubungan mereka akan terjalin rapat tapi nampaknya harapan hanya tinggal harapan. Adakalanya dia terasa menyesal datang ke situ. Sekarang dia terpaksa bersubahat dengan kegiatan tak bermoral kakaknya. Dia sesekali tak akan mengadu kepada wan. Nak mati?

"Apo nak jadik laaa hai..." Keluhannya dilepaskan kemudian.

"HOI!" Kedengaran satu suara kasar menjerkah. Nabil menoleh ke belakang. Kelihatan seseorang sedang berdiri dalam jarak kira-kira 20 meter darinya. Namun wajah pemilik suara kasar itu tak dapat dikenali Nabil. Apatah lagi kepalanya bertutup dengan hood jaket yang sedang dipakainya.

"Apa hoi-hoikan orang? Aku ada nama la!" Nabil melepas geram.

"Aku tak nak tahu nama kau pun." Orang yang memanggil tadi berkata seraya melangkah ke depan mendekati Nabil.

"Tak nak tahu sudah. Aku pun tak ingin nak layan kau. Buang masa aku saja." Nabil memusingkan tubuhnya, membelakangi orang yang tak dikenali itu. Nabil malas nak layan. Orang itu yang tiba-tiba memanggil, alih-alih nak berlagak sombong pula.

"Hoi!" Kedengaran lagi laungan.

Dek terasa geram, Nabil berpaling semula. "Hek eleh! Kau nak main kasar nampak?"

Nabil meluru ke depan. Mahu dihentaknya orang yang tak ada adab itu. Namun belum pun sempat Nabil menghentak, perutnya 'makan kaki' terlebih dahulu. Terbongkok-bongkok Nabil menahan rasa senak akibat tendangan pantas daripada orang yang tak dikenalinya itu. Dalam keadaannya yang masih terbongkok-bongkok kesenakan itu, rambut pada bahagian ubun-ubunnya pula digenggam dengan kasar. Kemudian rambutnya itu disentap ke belakang sehingga kepalanya terngadah ke langit nan kelam. Nabil cuba melawan tetapi niatnya itu terbantut apabila si misteri itu meletakkan pisau betul-betul pada batang tenggoroknya.

"Kau nak apa sebenarnya dengan aku? Aku... Aku tak kenal kau..." Suara yang tadinya bagaikan 'abang long kawasan', kini sudah terketar-ketar. Wajah si misteri di depannya itu cuba diteliti namun dalam cahaya samar-samar itu, Nabil masih tak dapat mengenalinya. Apatah lagi mukanya bertutup dari paras hidung hingga menutupi dagu. Hanya matanya saja yang kelihatan.

"Kau tahu apa balasan bagi lelaki hidung belang?"

Zup! Pisau terus ditoreh pada batang tenggorok sebelum sempat mangsanya berkata-kata. Nabil rebah di situ juga. "Ini balasan untuk lelaki hidung belang." Soalannya tadi dijawabnya sendiri.

BIDADARI BERMATA JELIWhere stories live. Discover now