BAB 11

1.8K 56 2
                                    

SUDAH lama Tamara menunggu tapi bas yang ditunggunya tak juga muncul. "Aduiii la! Takkan dah tolopeh, kut?"

Dahi Tamara mula berpeluh. Semua ini gara-gara berbual dengan Zamin tadi, rungut hati kecilnya. Nampaknya terpaksalah dia menapak. Walaupun jarak di antara hotel tempat dia bekerja dengan kondominium yang dia menginap cuma 1 kilometer sahaja tetapi hendak menapak sendirian malam-malam begini agak menyeramkan. Dalam 'hutan batu' lagi banyak hantunya. Hantu kepala hitam lebih berbahaya bagi Tamara.

"Hai, cik adik! Sorang saja? Nak Abang Nabil temankan?" Gegendang telinga Tamara disapa satu suara 'hantu'. Meskipun Tamara kenal suara itu tetapi dia tak kenal empunya suara. Sudah acap kali lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Nabil itu cuba mendekatinya. Pernah juga Nabil mengekorinya dari belakang dengan motosikal semata-mata hendak mengetahui tempat tinggal Tamara. Namun Tamara cerdik, dia sengaja berjalan mengikut arah yang bertentangan dari lokasi kondominium yang dihuninya. Apabila Nabil sudah beredar, barulah dia akan menapak balik ke kondominiumnya semula.

Tamara tak pernah teringin nak layan Nabil berbual. Mustahillah dia nak layan lelaki yang tak dikenali apatah lagi gayanya itu tak mencerminkan lelaki budiman langsung. Lelaki budiman tak menegur sedemikian rupa. Lelaki budiman akan menghormati perempuan dengan tutur kata yang sopan. Ini macam saja nak try aje... Bak kata Zamin.

"Bas dah lepas tadi..." Nabil berkata lagi. Sudah lama dia perhatikan perempuan berwajah Inggeris itu. Inilah peluangnya hendak mendekati.

Tamara langsung tak respons. Jangan kata nak membalas teguran, nak pandang pun Tamara tak ingin. Namun, walaupun dia tak suka, Tamara tak tunjukkan rasa tak sukanya itu terang-terangan. Bahaya! Sudahlah kini mereka berdua saja di perhentian bas itu.

Lelaki tak diundang yang bernama Nabil itu berganjak lalu berdiri di depan Tamara pula. Tamara tersentak sedikit. Namun dia cuba buat-buat berani.

"Malam-malam macam ni, teksi pun payah nak lalu... Jom Abang Nabil hantar balik," pelawa Nabil.

Jantung Tamara sudah mula berdegup kencang. Dia bimbang jika lelaki itu mempunyai niat jahat terhadapnya. Pelan-pelan penyembur cili di dalam poket baju kurungnya dikeluarkan. Sememangnya setiap kali balik malam, Tamara akan letak penyembur cili di dalam poket baju, sebagai langkah perlindungan diri.

"Jomlah! Janganlah jual mahal." Tangan Tamara cuba disentuh. Tamara lekas-lekas mengelak.

"Jangan takutlah... Abang cuma nak hantar balik." Nabil berkata lagi. Cuba memujuk supaya gadis berwajah Inggeris itu mengikutinya.

"Toksah laaa... Kojap laie laki den datang." Helah yang datangnya secara spontan. Mudah-mudahan lelaki itu akan pergi setelah mengetahui dia sudah berkahwin.

Terlopong mulut Nabil. Bukan sekadar tak percaya gadis muda yang sering dia nampak menunggu bas itu sudah berkahwin, tetapi dialek bahasa daerahnya yang pekat itu turut menyumbang kepada keterkejutan Nabil. Langsung tak mencerminkan wajah minah salih perempuan muda itu.

Pin-pin! Kedengaran pula bunyi hon kereta. Tamara dan Nabil lekas-lekas menoleh ke arah kereta yang sudah pun berhenti betul-betul depan mereka. Cermin tingkap kereta perlahan-lahan diturunkan. "Ain! Naiklah..." Pemilik kereta mempelawa. Tanpa bertangguh, Tamara lekas-lekas masuk ke perut kereta milik lelaki yang mempelawa.

Nabil memerhati terpinga-pinga. Dalam cahaya lampu neon itu, masih kelihatan jelas wajah lelaki yang datang menjemput itu. Sama-sama baka mat salih nampaknya. Memang betul suami atau abang? Potong! Baru nak try... Dah ada kesempatan, terlepas pula. Terselit rasa kecewa dalam hati Nabil. Putih bola mata hitamnya memerhati kereta Polo merah meluncur pergi.

"LELAKI tadi kacau Ain?" soal Karl. Dia sebenarnya risaukan keselamatan Ain. Sebab itulah dia tak setuju gadis itu bekerja di hotel yang tak menentu waktu kerja itu.

BIDADARI BERMATA JELIWhere stories live. Discover now