BAB 13

1.7K 51 1
                                    

"KEMAGHIN hang balik tak dak apa-apa ka, Ara?" Zamin ajukan soalan kepada Tamara yang sedang khusyuk menikmati makan tengah harinya.

"Woi! Aku tanya hang ni. Hang dengaq tak? Makan macam oghang kebuloq hang ni. Sampai tak boleh nak bersembang apa dah..." Zamin kompelin apabila pertanyaannya langsung tak mendapat respons.

"Yang awak tu tak reti nak makan ke? Karang waktu rehat tamat, baru nak terhegeh-hegeh." Kali ini Tamara membalas. Kemudian dia meneguk air.

"Eleh kau... Dah jadi orang key el nampak?" sindir Zamin. Sejak kebelakangan ini Tamara kerap menggunakan bahasa baku, tidak lagi dialek daerah.

"Saya bukan apa... Takut Cik Eka dengar. Tak pasal potong gaji." Tamara menyatakan alasannya.

"Lantak pi kat dialah... Bukan hotel ni dia punya!" Zamin memang dari dulu meluat dengan sikap lebih sudu dari kuah yang ditonjolkan oleh penyelia aras itu.

"Tapi Encik Daniel pun tak bagi kita guna bahasa daerah gak, kan?"

"Encik Daniel tak apa, sebab dia bos. Tapi sekarang ni, kita kan kat pantri, bukannya Encik Daniel tu nak masuk sini pun. Lagipun mana ada guest kat sini."

"Iyolah..." Tamara enggan berlawan mulut dengan Zamin. Kemudian dia kembali menyudu makanan.

"Aku tanya ni bukan apa... Tadi aku dengaq depa dok bercerita pasal malam tadi..."

"Ada apa malam tadi?" soal Tamara.

"Hang tak tau ka? Depa dok heboh pasal malam tadi ada oghang kena kelaq kat bus stop yang hang selalu tunggu bas tu."

"Kono kolar? Konapo?" Tamara begitu terperanjat. Makanan yang hendak disuap ke mulut tak jadi disuap.

"Nak merompak la... Zaman tengah gawat ni, kan?"

"Ooo..." Bulat muncung Tamara.

"Eh, orang tu macam mana? Hidup lagi ke dah..." Tak tergamak Tamara hendak meneruskan ayatnya.

"Abang Lan kata hidup lagi... Dia yang nampak. Lepas tu dialah yang hantaq oghang tu pi hospital," beritahu Zamin.

"Abang Lan?" Tamara kabur. Dia masih belum mengenali kesemua staf The Stanley's.

"Alah... Guard yang selalu dok tegoq hang tu! Takkan dah lupa, kut?"

"Oh... Saya panggil dia Pak Cik Lan..." Baru Tamara teringat tentang jaga yang ramah itu.

"Muda lagi kut dia tu... Hang panggil pak cik?"

Tamara ketawa saja kali ini. Dia sebenarnya tak selesa hendak memanggil abang kepada mana-mana lelaki sebab itu dia panggil pak cik. Mujurlah pengawal keselamatan itu tak membantah.

"Sebab tu aku pesan kat hang, kalau balik malam-malam, pakai seluaq. Apa-apa jadi senang nak lari." Zamin meneruskan bebelan.

"Konapo pulak den nak laghi? Den lawan baliklah... Den ado tae kwan do belt kaler purple tau!" Tamara membalas, cuba bergurau.

"Main-main la... Esok hang kena, baghu hang tau!" Gurauan Tamara tak diterima. Zamin geram apabila Tamara sering ambil mudah setiap kali dia mengingatkan tentang keselamatannya yang selalu balik sendirian.

"Alololo... Moghajuk plak dia!" Tamara mengejek Zamin seraya tertawa kecil. Kemudian jam di pergelangan tangan dikerlingnya seketika.

"Meh makan yo. Berborak-borak, kang tak sompek nak makan. Nak poie sombahyang laie..." Tamara mengingatkan pula rakan sekerjanya itu. Masa rehat yang cuma satu jam itu, perlu dimanfaatkan sebaik mungkin. Jika sudah selesai makan dan bersolat, tak kesahlah kalau nak bersembang. Tidaklah kelam-kabut nanti. Tamara memang sentiasa mengurus waktunya dengan baik. Dia sudah biasa begitu. Setiap saat yang berlalu begitu berharga kepadanya. Jadi dia tak mahu membazir waktu.

ARIANA melemparkan gambar-gambar intim suaminya bersama Eka di depan Harith yang sedang duduk di atas katil. Jelas riak marah tergaris pada wajahnya itu.

"Macam ni ke yang dinamakan hubungan bos dengan pekerja? Boleh pula jalan peluk-peluk pinggang?" soal Ariana ketika dilihatnya Harith membelek gambar-gambar itu.

Harith tersenyum sinis. "Jadi you upah orang intip I?"

"Sampai hati you, Harith! Baru lima tahun kita kahwin, you dah buat perangai." Ariana menyambung kata. Dia benar-benar kecewa dengan sikap Harith yang tak setia. Sudah lama dia tahu tentang desas-desus suaminya berskandal dengan penyelia aras hotel. Namun setiap kali diajukan tentang persoalan itu, Harith mengatakan hubungannya dengan Eka hanya sebagai bos dan pekerja. Kali ini gambar sudah cukup menjelaskan segala-galanya.

"Betul I ada affair dengan Eka. Tapi you tak boleh salahkan I semata. Sudah lima tahun I tunggu untuk dapatkan anak!" Giliran Harith pula menempelak.

"Oh, jadi alasan you nak bersama perempuan tu, sebab anak?" Pic suara Ariana ternaik 4 oktaf. Dia sudah duga sedari awal lagi, anak merupakan penyebab rumah tangga mereka kini kehilangan seri.

"Empayar Stanley memerlukan waris. I harap you faham tentang itu."

"Tapi kita masih boleh mencuba! You sendiri tahu kan, I bukannya mandul." Ariana cuba pertahankan haknya. Tak adil Harith mahu berkahwin lagi hanya kerana belum dikurniakan anak, sedangkan ada pasangan masih setia menunggu hingga 10 tahun lamanya.

"But you have cervical incompetence, Ariana!" tempelak Harith lagi.

Ariana terdiam kali ini. Sememangnya dia bukannya mandul tapi dia cuma mengalami masalah lemah rahim atau istilah mediknya cervical incompetence. Sebenarnya sudah dua kali dia mengandung tapi kedua-duanya gugur sebelum sempat mencapai usia 6 minggu.

"Dah macam-macam ubat yang you telan, Ariana... Tapi apa hasilnya?" Harith berkata lagi bagi membenarkan tindakannya berskandal dengan Eka.

"Tapi kita tak boleh cepat berputus asa. Kita masih boleh berusaha... I ada kenal seorang pakar, apa kata kita pergi jumpa dia?" Pic suara Ariana mula mengendur. Harapannya, Harith akan pertimbangkan permintaannya itu. Namun percuma sahaja saranannya itu diketawakan Harith.

"Kita cubalah dulu, sayang... Please!" Ariana merayu.

"Face it, Ariana! Sudah ditakdirkan you tak boleh melahirkan anak."

"Mungkin kali ni, kita ada rezeki? You sabarlah..." Segala rasa ego dicampaknya jauh-jauh. Yang penting, dia mesti memujuk rayu Harith agar memberinya peluang. Dia tak rela dimadu.

"You nak I bersabar sampai bila, Ariana? Sampai adik-adik I semua berkahwin dan dapat anak?" Harith mengejek isterinya.

Ariana sedar, usia adik iparnya, Daniel sudah mencecah 30 tahun. Bila-bila masa dia akan berkahwin. Yang bongsu pun sudah tamat belajar. Mungkin juga sudah punya teman wanita. Ariana tahu, Harith berebut-rebut mahukan anak agar empayar perhotelan keluarga Stanley dapat diwarisi oleh zuriatnya nanti.

"I dah bosan menunggu, Ariana. Jadi, I tetap akan mengahwini Eka demi mendapatkan zuriat."

Harith tetap dengan keputusannya. Kemudian dia berganjak ke pintu bilik.

"You! You nak pergi mana?" Ariana menyoal dalam geram. Kalau hati sudah berpaling, pujuk macam mana pun tak jalan nampaknya.

"I tidur kat luar. Panas kat dalam ni."

"Eee!" jerit Ariana setelah Harith keluar dari bilik. Nampaknya dia terpaksa akur dengan kekurangan dirinya itu.

BIDADARI BERMATA JELIWhere stories live. Discover now