Selesai menjamu sarapan pagi, mereka bergerak menuju lokasi kembara yang mereka sendiri tidak tahu. Bob Latimer sengaja tidak mahu memberitahu kepada mereka, walaupun berkali-kali ditanya.
Kenderaan yang dipandu oleh Neil melalui dan memasuki pusat bandar Adelaide. Bandar yang nadinya tenang daripada denyutan kesibukan itu menawarkan sekuntum senyuman pada mata-mata yang memandang.
Syam berkata sambil meneka, "Kalau memasuki pusat bandar Adelaide, dah tentu lokasi yang kita nak pergi itu mesti terletak di dalam bandar. Betul tak?"
Ujar Faiz, "Betul. Konon Bob nak buat kejutanlah. Aku rasa sama ada kita pergi ke lokasi membeli-belah ataupun ke lokasi tempat-tempat bersejarah."
Balas Syam, "Aku fikir pun begitu."
Nizam pula berkata, "Tak kisahlah mana-mana pun Bob nak bawa kita. Janji kita seronok berjalan-jalan."
Suzie dan Hanim melihat di kiri kanan pemandangan bandar Adelaide. Mata mereka tertumpu pada bangunan di sepanjang jalan, memerhatikan ragam warga kota dan menyaksikan pelbagai lagi rencah kehidupan yang menghuni di dada kota raya bersejarah itu.
Sedang Hanim leka memerhati, Suzie berkata kepada Hanim, "Bukan main asyik memerhati bandar raya Adelaide. Jatuh cinta pandang pertama ya."
Kata Hanim, "Tak tahulah kenapa seronok sangat bila melihat pemandangan bandar raya ini. Semacam ada aura tersendiri."
Balas Suzie, "Macam ayat gedik tak sudah bunyinya."
Kata Hanim, "Kau kena ada rasa baru boleh diisi di ruang yang kosong. Bak kata orang putih, fill in the blank with the correct answer."
Usik Suzie, "Perghh, Kak Hanim cakap orang putih di Adelaide."
Balas Hanim, "Akak tak sekolah tinggi, hanya ayat itu yang akak ingat dari dulu sampai sekarang."
"Ayat dalam kertas peperiksaan Bahasa Inggeris masa sekolah dulu. Tak macam Suzie sampai ke UUM, Sintok."
Suzie tersenyum sipu.
Keyo awal-awal lagi sudah memejamkan mata. Mungkin faktor perubahan tempat, masa dan suhu menyebabkan dia mudah dan cepat tertidur apabila berada di dalam kenderaan. Beberapa kali Saddam cuba mengejutkan Keyo daripada tidur, namun Keyo tidak terjaga.
Kata Saddam, "Betullah kata Abang Mok, kalau si buntal ini dah tidur memang susah nak terjaga. Tak gunalah datang jauh-jauh tapi mata pejam. Lebih baik tidur di rumah."
Azzam berkata, "Biarkan dia, tengah caj bateri itu. Malam nanti orang nak tidur dia celik mata, sibuk ganggu orang. Ajak bersembanglah, ajak makanlah, ajak merapulah...."
Balas Saddam, "Betul kata kata kau, malam tadi aku dah terkena. Baru nak lelapkan mata si buntal ini kejutkan aku ajak bersembang. Macam rasa tak bersalah bila kejutkan orang tidur."
Faiz mencelah, "Ya, aku pun kena malam tadi. Tapi aku buat-buat tidur mati."
Kata Syam, "Mujur aku dan Nizam tidur dalam bilik, kunci dari dalam. Meloponglah dia si buntal itu di luar."
Sedang mereka rancak berbual-bual, Keyo bersuara walaupun mata terpejam, "Oiii.... apa buntal-buntal, semua kutuk aku ya. Tak baik mengata kawan sendiri. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang membuka keaiban orang lain. Maka hendaklah kamu meminta maaf kepadanya."
Nizam berkata, "Alamak, tidur pun boleh berkata-kata."
Balas Keyo, "Sebenarnya aku bukan tidur, tapi aku hanya memejamkan mata."
Azzam, Faiz, Syam, Nizam dan saddam ketawa geli hati. Hanim dan Suzie yang mendengar pun turut tertawa sama. Bob Latimer dan Neil juga tersenyum-senyum mendengar perbualan mereka.

KAMU SEDANG MEMBACA
Kembara Bumi Aborigine ~ South Australia
AdventureKembara santai penuh debaran dan mengejutkan ini membawa jauh kita ke sisi dunia luar. Destinasi kembara lapan sahabat di bumi Aborigine, South Australia. Selama enam hari mereka mengembara di sekitar Adelaide, Kangaroo Island dan beberapa tempat d...