BAB 1

4.1K 50 1
                                    

Prolog 

LANGKAH diayun cukup panjang, deras dan terlihat sangat gagah. Sebaik sahaja memasuki ruang kedai Flower Blooms, sepasang mata coklat milik Din meliar mencari bunga dahlia. Din hanya mahu dahlia. Bunga lain Din tak pandang.

Kalau hendak tahu, Din perlukan bunga dahlia demi mencuri hati seorang gadis bernama Dahlia Asyikin. Doakan Din berjaya dalam misinya menjadi kekasih orang hari ini.

Beberapa minit mencari, barulah mata Din menemui dahlia. Dahlia yang dicari Din hanya tinggal tiga kuntum. Warna ungu saja yang tinggal. Bolehlah daripada tidak ada langsung.

Belum sempat Din meraih tiga kuntum dahlia tersebut, ada satu tangan halus yang lebih dahulu memintas. Membulat terus kedua-dua mata Din.

Mata Din membulat bukan sebab bunga dahlianya diambil, tetapi sebab terkejut melihat pemilik tangan halus tadi.

Staf Hong Leong Bank. Namanya Hajar. Jawatan... Erm, kalau tak salah nampak, macam Account Relationship Executive. Din boleh tahu semua maklumat ini sebab pemilik tangan halus itu memakai lanyard Hong Leong Bank Berhad. Cuma tidak diketahui dia bekerja di cawangan mana.

Jangan salah faham. Bukan fakta di atas yang buat Din terkejut, sebaliknya fakta di bawah.

Rambut Hajar berwarna perang dan ada warna ungu sedikit. Solekannya tidak tebal, tetapi bibirnya merah menyala. Baju yang dipakainya paling menyerlah.

Baby T warna merah darah dipadankan dengan mini skirt berbelang hitam putih seperti badan nyamuk aedes. Oh, kasutnya bertumit runcing setinggi... Errr... Din tak tahu berapa inci. Din tak arif.

Din pandang ke bawah lagi, kemudian ke atas semula. Aduh mak, longgar iman Din. Mata Din jadi jahat. Matanya menikmati sesuatu yang tidak halal. Lebih teruk, dia sempat menelan liur dua kali. Din terlupa sebentar pada Dahlia Asyikin.

"Kurang ajar!"

Aduh mak, pedihnya muka Din. Pedih sebab dilibas tiga kuntum dahlia warna ungu.

"Dasar lelaki miang!"

Din buka matanya luas-luas. Dalam permasalahan sekarang, kesalahan bukan terletak sepenuhnya pada Din. Salah Hajar juga. Siapa suruh sarung pakaian budak kecil?

"Wait, this is..."

Sekali lagi muka Din dilibas. Hilang terus ayat bela diri Din. Berpinar pandangannya. Selepas itu dia ditinggalkan.

Din tak kesah ditinggalkan Si Hajar meroyan tu. Din lagi suka. Yang Din kesahkan sekarang, siapa nak bayar ganti rugi bunga yang rosak ni? Siapa?

Sila jawab.

Bab 1

SAYA Hajar. Nama penuh, Siti Hajar binti Shamsudin. Arwah ayah orang Nogori, arwah emak pula orang Perak. Saya anak tunggal dan saya janda. Saya tahu ramai yang pandang serong dengan status janda saya, tapi saya tak kesah. Janji saya tak kacau orang, saya tak meminta-minta dan saya boleh berdiri di atas kaki sendiri.

Awalnya memang pahit untuk ditelan. Meski tidak sudi, gelaran janda saya pikul setelah lelaki yang menikahi saya, pergi selamanya. Dia pergi ketika usia pernikahan kami belum cukup satu bulan. Dia pergi disebabkan kemalangan kereta sewaktu bertugas di luar daerah.

Oh, ada satu lagi rahsia penting. Sebenarnya saya janda anak satu.

Pembetulan. Sebenarnya janda dengan satu anak tiri. Namanya Aliff, baru menginjak usia empat tahun lebih sedikit. Aliff anak tunggal arwah Abang Fadhil, amanah yang mesti saya jaga sebaiknya.

"Bonda..."

Itulah Aliff. Dengar tak suaranya yang mendayu? Itu tandanya ada yang tidak kena.

"Bonda, kita nak eek."

KERINDUANWhere stories live. Discover now