BAB 12

1.1K 26 0
                                    

WAJAH polos Aliff yang tertidur di tempat duduk belakang kereta diperhatikan tanpa jemu. Lama sebelum Hajar mula mengangkat Aliff keluar dari perut kereta. Termengah-mengah juga Hajar dibuatnya sebaik saja tubuh Aliff selamat dibaringkan di atas sofa.

"Maaf, sayang," bisik Hajar lantas rambut halus Aliff diiusap penuh kelembutan. Kemudian dia tunduk mencium dahi Aliff. Selepas itu barulah dia mencari telefon bimbitnya untuk dicas. Hajar harap tidak banyaklah panggilan yang masuk sepanjang telefonnya kehabisan bateri tadi.

Selesai membersihkan diri dan solat, Hajar kembali mengambil telefon bimbitnya. Sudah ada tiga puluh enam peratus baterinya. Ketika Hajar menekan butang On, berdesup bunyi notifikasi yang masuk.

Ada tiga puluh lapan panggilan tidak berjawab. Dua puluh tiga panggilan dari nombor yang tidak dikenali. Selebihnya panggilan datang daripada bekas emak mentuanya. Tujuh belas panggilan dari talian mudah alih. Baki dua panggilan dari talian tetap. Terdapat juga pesanan WhatsApp yang masuk. Juga daripada bekas emak mentuanya.

Jangan jawab panggilan Din. Dia tengah marah. Telefon mak bila Hajar dapat mesej ni.

Belum sempat Hajar membuat keputusan, telefon bimbit pintarnya sudah menjerit. Nombor telefon talian tetap bekas emak mentuanya naik sebagai pemanggil.

"Hah, baru nak angkat? Kenapa tak tunggu kiamat terus baru angkat?"

Bukan suara bekas emak mentuanya, tetapi suara Din. Din yang sangat kaya dengan ayat pedas berapi.

"Pandai awak ni, Hajar. Pandai buat janji, lepas tu pandai pula tak tepati janji."

Semakin keras suara Din di hujung talian memaksa Hajar menjauhkan telefon bimbitnya dari telinga.

"Kenapa off telefon? Apa masalah awak sebenarnya? Awak buat apa dari tadi? Sengaja nak lari daripada saya?"

"Assalamualaikum, Din."

Sepi dalam lima saat sebelum suara Din kembali terdengar di corong telefon. Suaranya ketika menjawab salam Hajar tidak lagi marah-marah.

"Kenapa tak datang tadi?"

Nampaknya suara Din bertukar lembut hanya ketika menjawab salam Hajar.

"Saya tunggu lama. Macam patung saya tunggu tapi awak langsung tak muncul-muncul. Awak sengaja ya buat saya macam ni? Awak ingat saya ni tak tahu marah?"

"Din, saya minta maaf. Ada hal tadi. Saya bukan sengaja."

"Kalau dah tahu ada hal, kenapa tak inform saya terus? Kalau awak inform, taklah saya tunggu macam patung. Ataupun 'ada hal tadi' tu alasan awak saja supaya tak payah jumpa saya?"

Makin Hajar mengalah, makin ligat Din menyakitkan hati Hajar.

"Saya call, tapi awak tak jawab. Saya call lebih dua puluh kali, tapi awak langsung tak angkat panggilan saya. Kalau macam ni, salah saya atau salah awak yang tak jawab call?"

Syukurlah Hajar masih mampu mengawal rasa geram. Suaranya berjaya dikawal supaya tidak naik tinggi.

"Betul ke awak ada call? Entah-entah awak menipu lagi."

"Din, buat apa saya nak tipu kalau memang saya buat perkara tu? Tak cukup dengan panggilan, saya pun hantar mesej. Tapi itulah, mesej saya pun awak tak baca."

"Handphone saya tertinggal dalam kereta," akui Din akhirnya. Barulah suaranya kendur sedikit berbanding tadi. Dia juga ikut melirik pada emaknya yang sejak tadi jadi pemerhati.

"Lepas awak ambil telefon dalam kereta, takkan awak tak baca mesej saya? Takkan awak tak nampak senarai panggilan tak berjawab daripada saya?"

Sesungguhnya Din terkulat-kulat sekarang bila diajukan soalan bertubi-tubi.

KERINDUANWhere stories live. Discover now