BAB 5

1.5K 42 2
                                    

MAJLIS doa selamat dan tahlil yang diadakan berjalan dengan lancar. Meskipun hanya dibuat secara kecil-kecilan, segalanya nampak sempurna. Tetamu yang dijemput pun cuma saudara terdekat dan kenalan rapat. Din yang memberi syarat begitu kepada emaknya. Menurut Din, tidak perlu diadakan secara besar-besaran.

Sebenarnya ada satu lagi syarat Din. Bila Din suarakan, emaknya terus melenting.

"Kenapa tak boleh jemput Hajar pula? Hajar tu dah macam anak perempuan mak. Tak salah kalau dia datang."

"Mak, Hajar tu bekas menantu mak saja. Mak tak payahlah nak angkat darjat dia sampai jadi anak perempuan mak. Dia orang luar. Saya tak naklah orang yang bukan ada apa-apa hubungan dengan kita datang sekali majlis tu nanti."

"Sejak bila Din kedekut tangkai jering ni?"

"Bukan soal kedekut tangkai jering atau tak, mak. Tapi ini soal keluarga kita. Lagipun..."

"Tak payah risau. Hajar pun tak nak datang ke majlis tu nanti. Memang padanlah Hajar beria-ia tolak jemputan mak, sebab dia dah tahu perangai Din macam mana."

Mahu saja Din hamburkan cerita Hajar menutup talian telefon ketika dia masih rancak berdebat pada emaknya. Biar emaknya tahu perangai sebenar Hajar tu macam mana.

"Mak beri amaran ni, jangan cari pasal dengan Hajar. Kalau Din buat juga, mak marah."

Begitu sekali emaknya menjaga kebajikan Hajar. Kebajikan Din sebagai anak kandung pula diabaikan.

"Selamat Din. Dah dapat master." Satu suara mematikan lamunan Din.

Ingatan Din tentang perbualan dua hari lalu mati. Senyuman segera dilemparkan kepada tetamu terakhirnya, sebelum tubuh tetamu terakhir itu dirangkul erat. Setelah berborak seketika, barulah tamu terakhir itu dilepaskan pergi.

Kemudian Din mula membantu mengemas rumah dan menghantar pinggan kotor untuk dicuci.

"Din, tak payahlah angkat pinggan kotor tu. Kami boleh buat. Din berehat. Penat naik kapal terbang pun mesti belum hilang ni. Dah, pergi berehat," bebel Pak Long Johari. Tubuh Din segera ditolak keluar dari kawasan mencuci pinggan.

"Saya boleh tolong, pak long."

Rayuan Din diabaikan. Tubuhnya berterusan didorong keluar dari kawasan mencuci pinggan mangkuk kotor. Din telah didorong sehingga ke ruang tamu.

"Din." Suara Mak Cik Arifah menyapa. Wajah tua itu nampak sedikit risau. Namun hati Din lega. Sekurang-kurangnya, emaknya sudah mahu berbual dengannya. Mak Cik Arifah telah memberikan silent treatment pada Din. Semuanya gara-gara Hajar.

"Ada apa, mak?"

"Mak macam tak nampak Dahlia. Atau mak yang tak perasan Dahlia datang?"

Tanpa sedar Din mengeluh. Mujurlah keluhannya tidak kuat. Din lebih rela kalau emaknya bertanya pasal Hajar, berbanding Dahlia. Nama Dahlia mengundang luka teruk dalam hati Din.

"Din gaduh dengan Dahlia ke?"

Din masih membisu seribu bahasa. Otaknya ligat mencari alasan supaya emaknya tidak bercakap tentang Dahlia lagi. Cerita Dahlia dan Din telah tamat!

"Tak adalah, mak. Kami okey saja."

"Kalau okey saja, kenapa Dahlia tak datang?"

Din mati kutu mencari jawapan. Bibirnya bergerak-gerak mahu menuturkan ayat, namun tersangkut.

"Din, mak tanya ni."

"Dahlia sibuk," dalih Din dalam usahanya menutup kisah cintanya yang runtuh. Din belum bersedia berkongsi cerita duka tersebut. Kalau emaknya tahu, pasti emaknya ikut bersedih. Yalah, emaknya suka sangat dengan Dahlia. Malah emaknya sudah memasang angan mahu menghantar rombongan melamar Dahlia setelah Din tamat belajar.

KERINDUANWhere stories live. Discover now