BAB 11

1.1K 24 0
                                    

DIN turun dari perut Audinya dengan wajah yang kelat. Mak Cik Arifah yang kebetulan sedang membaca buku di beranda rumah, mengangkat wajah bila mendengar bunyi enjin kereta. Nyaris bercantum kening Mak Cik Arifah melihat anak bujangnya turun dari kereta yang tidak bercermin.

"Cermin kereta Din kenapa?"

Keluhan Din yang menjawab pertanyaan Mak Cik Arifah. Langkahnya terhenti.

"Din?" desak Mak Cik Arifah bila Din mengambil masa agak lama untuk memberi jawapan.

"Nantilah Din cerita." Din kembali mengayun langkah. Dia belum bersedia bercerita panjang lebar.

"Din accident ke? Accident dekat mana? Din okey tak?"

Din mengeluh buat kali kedua. Sekali lagi langkahnya terhenti. Seperti tadi, dia mengambil masa untuk memberi jawapan. Kemudian kakinya diayun menghampiri emaknya.

"Din bukan accident, mak."

"Habis tu?"

"Kalau Din cerita, mak mesti tak percaya."

"Nak percaya macam mana kalau cerita pun belum," tempelak Mak Cik Arifah. Tajam pandangannya menatap wajah anak terunanya.

Sikap Din yang melengah-lengahkan masa untuk bercerita hanya membuat Mak Cik Arifah semakin hilang sabar. Lengan Din sudah disiku.

"Ceritalah. Kalau diam, macam mana mak nak percaya?"

"Cermin kereta Din kena pecah."

Din kembali mengeluh. Lebih keras berbanding tadi.

"Dan pencuri tu dah ambil handphone Din dan set radio kereta tu," sambung Din. Masih lagi dengan wajah kelatnya.

Mengucap panjang Mak Cik Arifah dibuatnya mendengar apa yang dilalui Din hari ini. Lengan anaknya segera disentuh.

"Macam mana boleh jadi macam tu? Din dah buat report polis?"

"Dah. Semua ni terjadi disebabkan bekas menantu kesayangan mak tu. Kalau dia tak buat hal, tak adanya kereta Din kena pecah."

Berkerut seribu terus dahi tua Mak Cik Arifah. Menuntut penjelasan lebih lanjut daripada Din. Adalah tidak wajar kereta Din rosak disebabkan Hajar. Pandai-pandai saja Din jual nama Hajar untuk dikambing hitamkan.

"Din dah cakap tadi, mak mesti tak percaya," bidas Din. Dia sudah bersedia untuk melangkah meninggalkan emaknya.

"Cerita dekat mak betul-betul. Jangan nak pergi mana-mana selagi Din belum cerita habis. Mak nak tahu macam mana Hajar boleh terlibat. Hajar dah buat apa? Takkan Hajar tahu Din baru dapat kereta dan selepas tu Hajar sabotaj kereta baru Din?"

Lihatlah soalan Mak Cik Arifah. Nampak sangat berat sebelah. Mak Cik Arifah awal-awal lagi sudah jadi pembela Hajar.

"Mak suka sangat bela Hajar. Pantang Din sebut nama dia saja, mak dah bersedia dengan ayat belaan."

"Mak bukan suka-suka nak bela Hajar. Mak kenal Hajar tu macam mana. Tak mungkin dia upah orang rosakkan kereta Din."

"Din tak cakap kereta Din rosak sebab Hajar."

"Tadi mak dengar Hajar yang sebabkan kereta Din rosak."

"Secara tak langsung. Tapi secara tak langsung pun, dia terlibat sama."

"Mak tak faham salahnya Hajar dekat mana. Din cakap berbelit-belit."

Inilah sebabnya kenapa Din malas hendak bercerita dengan emaknya. Apatah lagi kalau melibatkan Hajar.

"Kami janji nak jumpa, tapi Hajar bohong Din. Sebab dia bohong, Din yang tanggung kerugian. Kereta Din rosak dan handphone Din kena curi waktu tunggu dia datang. Kalau dia beritahu Din awal-awal dia tak datang, taklah nasib Din malang sangat hari ni."

KERINDUANWhere stories live. Discover now