BAB 7

1.3K 30 1
                                    

DIN menyeka hidungnya yang berair dengan tisu. Semalam Din terkena hujan sedikit saja, hari ini hidungnya sudah tersumbat. Kepalanya juga mulai sakit. Sebelum melarat menjadi demam, Din ke klinik terus. Sekarang Din sedang menunggu Kusyairi. Din janji nak temankan lelaki itu melihat perkembangan rumah barunya yang diubah suai.

"Mana?" tanya Din setelah talian telefon bersambung. Tanpa salam seperti selalu. Ini semua sebab panas hati yang melanda. Din sudah menunggu Kusyairi hampir tiga puluh minit di depan klinik ini!

"Kalau ya pun, berilah salam dulu. Kita ni orang Islam, bro."

"Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam. Macam ini lebih elok. Kau dapat pahala, aku pun dapat pahala."

"Mana?" tanya Din sekali lagi. Ton suaranya terdengar lebih terdesak. Ayat mukadimah Kusyairi sengaja diabaikan.

"Tak bergerak kereta ni, Din. Ada accident depan ni. Aku syorkan kau naik teksi dan lepas tu turun dekat Ampang Point. Aku ambil kau dekat sana."

"Naik teksi? Dari tadi boleh kira berapa buah teksi yang lalu. Aku boleh main masak-masak tunggu teksi dekat sini."

Terdengar suara Kusyairi ketawa. Tidak peduli langsung dengan nada sakit hati Din. Tunggulah Kusyairi di depan mata Din. Din pasti kerjakan lelaki itu cukup-cukup.

"Bas Rapid takkan tak ada?"

"Kau pun tahu betapa tak sukanya aku naik bas. Sekarang kau beri cadangan mengarut tu?"

"Alahai, tak jatuhnya saham kau kalau kau naik bas. Tak payahlah nak jaga status sangat. Tak ada salahnya pun kalau kau naik bas. Nampak comel dan bertambah kacak adalah."

Ayat bodek Kusyairi memang boleh tahan sedapnya bila didengar.

"Ini bukan soal saham atau status. Ini soal pengalaman buruk yang aku dapat sebelum ni."

"Perkara tu dah lama sangat. Masa zaman universiti. Lagipun kena raba saja. Bukan luak. Anggap sajalah kau bersedekah waktu tu."

Din mengecilkan sepasang matanya bila isu raba ditimbulkan. Kemudian boleh pula Kusyairi samakan dengan sedekah?

"Sekarang perkhidmatan bas bukan macam dulu-dulu. Sekarang tip top," lanjut Kusyairi lagi.

Tip top sekalipun, takkan mampu buat Din lupa tentang insiden diraba itu.

"Naik bas ya, Din? Kalau betul tak selesa, kau turun dekat area yang dekat dengan stesen LRT atau monorel. Naik salah satu pengangkutan awam tu. Boleh?"

"Kusyairi, once I meet you, I will kill you!"

Tawa Kusyairi pecah lagi bila diugut begitu.

"Enjoy your trip," ujar Kusyairi dengan ayat yang sengaja dileretkan. Terlalu sengaja juga memanjangkan tawanya.

Terus saja Din tutup talian. Kusyairi itu makin dilayan, makin sakit hati saja jadinya nanti. Lagipun bas Rapid yang dimaksudkan Kusyairi telah sampai dan dia perlu menaiki bas tersebut.

Lima minit yang pertama memang Din selesa menaiki bas tersebut. Cuma selepas lima minit itu saja yang mendatangkan masalah. Din memang tidak kesah berdiri. Dia juga tidak kesah bila harus mencium segala macam aroma semula jadi penumpang yang lain. Cuma satu isu saja yang membuat hati Din meradang.

Setelah berhimpit dan ditolak beberapa kali, barulah Din sampai di tepi pemandu bas Rapid tersebut.

"Abang."

Pemandu itu hanya memandang sekilas.

"Cuba abang pandang belakang sekejap. Kami semua ni dah macam ikan sardin kena penyet. Abang pula asyik tambah penumpang."

KERINDUANWhere stories live. Discover now