Ikatan tali kasut diperkemas. Beg tote yang dicampak ke tepi, dicapai lalu digalas ke bahu. Gadis itu mula mengayunkan langkah santai, mendekati Eiyad yang sedang membelek telefon di laman rumah yang berbumbung.
Eiyad menoleh ke belakang apabila deheman Ara menerpa gengendang telinganya. Pandangan mata lelaki itu terus tertumpu ke arah kasut yang tersarung di kaki Ara. Terukir sebuah senyuman di bibirnya.
Ara mengigit bibir. Sedar apa yang bermain di minda Eiyad ketika itu. Pandangan matanya turut dihalakan ke arah yang sama.
You are too gorgeous. I cannot resist, ucap Ara dalam hati.
Malam tadi, beria-ia Ara tekadkan diri untuk pulangkan semula kasut Adidas Yeezy pada Eiyad. Siap dia simpan semula dalam kotak. Tapi bila bangun aje pagi tadi, Ara keluarkan semula kasut itu. Dek kerana kata hati yang meronta-ronta untuk gayakan kasut itu.
Jahat betul hati ni. Tergamak mengkhianati diri. Akal kata jangan terima pemberian daripada Eiyad. Hati pula kata jangan tolak kasut Adidas Yeezy yang menjadi idamannya selama ini.
Nak harapkan dia beli kasut itu untuk diri sendiri, tak tahulah bila. Kalau dia dah kerja dan ada duit sendiri pun, belum tentu dia akan beli. Lebih baik dia gunakan duit itu untuk benda lain yang lebih penting.
"Dah nak pergi kelas?"
Eiyad melontarkan soalan yang boleh dikategorikan sebagai soalan berbasa-basi. Sekadar untuk memulakan perbualan. Dia tahu Ara ada kelas pagi itu. Jadual kelas gadis itu tersimpan kemas dalam memori mindanya. Tidak perlu ditanya lagi.
Ara hanya menganggukkan kepalanya. Pandangan mata dilarikan ke arah lain. Tidak membalas pandangan mata Eiyad.
"Jom!" ajak Eiyad sebelum mengayunkan langkah menuju ke keretanya di garaj.
"Naik kereta ke?"
Eiyad menganggukkan kepalanya.
"Aku nak pergi tempat lain lepas hantar kau," balas Eiyad. Datar.
Ara akur. Tidak mempertikaikan. Dia tak ada masalah pun kalau Eiyad nak hantar dia naik kereta. Hari ini dia tak kejar masa.
Tanpa membuang masa, Ara meloloskan diri ke dalam kereta. Pintu kereta ditutup rapat. Tali pinggang keledar ditarik namun tersekat. Gadis itu mencuba sekali lagi.
Melihat Ara yang terkial-kial nak pakai tali pinggang keledar, Eiyad terus mendekatkan diri. Ingin membantu. Tindakan lelaki itu yang cukup bersahaja membuatkan Ara terpempan. Kaku di tempat duduknya. Hanya mampu melihat lelaki itu memakaikan tali pinggang keledar untuknya.
Suasana di dalam kereta sunyi tanpa sebarang perbualan sepanjang perjalanan menuju ke kampus. Hanya lagu-lagu yang diputarkan di radio menemani mereka.
Ara menyebak rambutnya ke belakang. Eiyad dikerling melalui ekor mata. Gadis itu sedang berperang dengan dirinya sendiri. Mindanya kini sedang bekerja keras untuk mencari kata putus. Sesekali matanya menjeling ke arah kasut yang dipakainya.
Perlukah dia mengucapkan terima kasih pada Eiyad?
Kalau nak diikutkan, memang Ara patut ucap terima kasih pada Eiyad. Itu yang sepatutnya. Bila orang bagi kita sesuatu, kita mestilah berterima kasih. Takkan tak cakap apa-apa. Macam tak beradab pula. Tapi masalahnya sekarang, Ara tak tahu macam mana nak cakap terima kasih pada Eiyad.
Nak ucap terima kasih tu bukanlah susah mana sebenarnya. Memang tak susah pun. Buka mulut, cakap terima kasih. Itu sahaja. Tapi kena faham yang Ara ni tak pernah cakap terima kasih pada Eiyad.
YOU ARE READING
Pelangi Untuk Ara
RomanceKepulangan Eiyad dari kota London meragut keamanan Ara. Tiada lagi kebebasan untuknya. Dia kembali dikawal dan dikongkong oleh lelaki yang dia gelar sebagai Mr. Control Freak. "Kau tak boleh control aku. Kau jangan ingat bila kau dah balik sini, ka...