Ara pulang ke rumahnya tatkala jam sudah menginjak ke angka sepuluh. Itu pun sebab Huzair paksa dia balik. Atau lebih tepat lagi, Huzair halau dia balik. Kalau ikutkan hati, Ara ingin melepak lagi di studio fotografi yang Huzair kongsi dengan abang dia sehingga lewat malam.
Gadis itu tidak bersedia untuk pulang ke rumah. Tidak bersedia untuk berdepan dengan Puan Yasmeen. Dan yang paling utama, dia tidak bersedia untuk bersua muka dengan Eiyad setelah apa yang berlaku malam tadi dan juga pagi tadi.
"Lambat balik," tegur Puan Yasmeen tanpa nada sewaktu Ara melintasi ruang tamu.
Automatik Ara berhenti melangkah. Pandangan dikalihkan ke arah Puan Yasmeen yang sedang duduk di sofa panjang bersama sebuah buku.
"Ara pergi mana?" soal wanita itu dengan nada yang bersahaja. Tiada nada marah, mahupun nada yang menjengkelkan. Lembut sahaja wanita itu melontarkan soalan.
"Lepak dengan Huzair," balas Ara acuh tak acuh.
Puan Yasmeen hanya menganggukkan kepalanya sebelum kembali menumpukan perhatian pada buku di tangan. Tidak bertanya lebih lanjut. Mungkin kerana wanita itu sudah kenal Huzair.
Ara meneruskan langkah. Anak tangga didaki satu per satu dengan langkah yang lesu, tidak bermaya. Langkah gadis itu termati sekali lagi di pertengahan tangga. Pandangan mata tertancap ke arah Eiyad yang baru ingin turun ke tingkat bawah. Buat seketika, mereka saling berpandangan tanpa sebarang bicara.
Ara tergamam. Terpempan. Tubuh terasa kaku. Kaki terasa dipaku. Tidak mampu meneruskan langkah. Pandangan matanya juga bagaikan dikunci ke arah wajah redup Eiyad.
Satu saat.
Dua saat.
Ti...
Belum sempat tiga saat, Eiyad sudah melarikan pandangan matanya. Sekaligus mematikan tautan mata mereka. Dengan cukup bersahaja, Eiyad mengatur langkah. Menuruni anak tangga satu per satu, melepasi Ara yang masih berdiri kaku. Bibir lelaki itu tertutup rapat. Tidak menuturkan sebarang bicara. Tiada sapaan buat Ara. Seolah-olah gadis itu tidak wujud di situ.
Ara hanya mampu memandang Eiyad berjalan melepasinya. Bibir diketap perlahan. Entah kenapa, gadis itu berasa janggal bila Eiyad tidak menegurnya, tidak ambil peduli tentang dirinya, tidak menghiraukan dirinya.
Bukan ini ke yang kau nak Ara? Kau tak nak dia ganggu kau kan? Hati Ara mula mempersoalkan perasaannya.
Masuk sahaja dalam bilik, Ara terus hempas tubuh ke atas tilam. iPhone dibelek. Memeriksa notifikasi yang diterima sejak pagi tadi.
"Banyaknya missed calls daripada Dee. Apa yang dia nak?"
Ara terus hubungi gadis itu. Telefon pintar dilekapkan ke telinga. Menanti panggilannya disambungkan.
"Kau pergi mana Ara?" tanya Dee sebaik sahaja menjawab panggilan.
"Kenapa kau cari aku?"
Soalan berbalas soalan.
"Tak baca WhatsApp ke?"
"Belum lagi. Kenapa?"
Terdengar keluhan di hujung talian.
"Kau okey tak?" soal Dee. Kedengaran mengambil berat.
"Kenapa kau tiba-tiba tanya macam tu?" tanya Ara teragak-agak.
"Airin dah cerita kat aku apa yang jadi kat kau semalam."
Oh... nampaknya kawan-kawan Ara tahu pasal hal malam tadi.
YOU ARE READING
Pelangi Untuk Ara
RomanceKepulangan Eiyad dari kota London meragut keamanan Ara. Tiada lagi kebebasan untuknya. Dia kembali dikawal dan dikongkong oleh lelaki yang dia gelar sebagai Mr. Control Freak. "Kau tak boleh control aku. Kau jangan ingat bila kau dah balik sini, ka...