Bab 5

446 13 1
                                    


Anak tangga dituruni satu per satu dengan gaya yang santai. Mata meliar memerhati sekeliling. Sunyi. Sepi. Suasana yang cukup lazim buat rumah banglo dua tingkat yang dihuni empat orang itu.

Ara senyum senget. Inilah sebab dia tak suka duduk di rumah. Bosan. Dia lebih suka menumpang di rumah sewa Dee. Sekurang-kurangnya, ada juga teman untuk berborak dan bergurau senda. Lagipun Dee sewa satu bilik. Tak adalah dia menganggu sesiapa.

"Morning Cik Ina!"

Ceria sungguh Ara menegur Cik Ina yang sedang mengelamun di laman rumah. Langkah diatur mendekati wanita itu dengan niat ingin menyakat.

"Amboi! Pagi-pagi dah termenung jauh. Teringatkan siapa? Buah hati ke?"

Cik Ina menoleh ke arah Ara. Wajah wanita itu tampak rungsing.

"Hisy, Ara ni... Cik Ina mana ada buah hati..."

Terkekek-kekek Ara ketawa sambil mengikat rambutnya.

"Habis tu, apa yang Cik Ina buat kat luar ni?"

Cik Ina tersentak.

"Err... Cik Ina ambil angin kat luar kejap."

Dahi Ara berkerut. Pelik. Namun, dia tidak terasa nak bertanya lebih lanjut. Matanya dihalakan ke arah garaj.

"Awalnya mama pergi kerja," komen Ara bila dia tengok garaj kosong.

Puan Yasmeen tu, hari Sabtu pun pergi kerja. Tak ada yang pelik. Kadang-kadang Ahad pun wanita itu tak ada kat rumah. Jumpa klien sana sini.

"Eiyad pula ke mana?"

Gadis itu menyoal sementelah kereta Eiyad juga tiada di garaj. Dari semalam dia tak nampak lelaki itu.

Deruan enjin kereta mengalihkan perhatian mereka berdua. Cik Ina melepaskan nafas lega saat melihat Eiyad sudah pulang. Tanpa sepatah bicara, wanita itu menerpa ke arah Eiyad. Ara hanya memerhati. Hati disapa rasa aneh dek kerana tingkah laku Cik Ina yang tampak seperti bimbangkan Eiyad. Atau ada benda lain yang Cik Ina risaukan?

Kening Ara ternaik sedikit apabila melihat pakaian yang tersarung di tubuh Eiyad sama dengan semalam. Lelaki tu tak balik ke malam tadi? Dia tidur kat mana? Minda Ara mula berfikiran liar.

"Yad... Kenapa Cik Ina call tak dapat? Macam mana dengan..."

Eiyad berdeham. Memberi isyarat supaya Cik Ina mematikan bicara.

"Phone Yad habis bateri. Sorry."

Eiyad melemparkan senyuman nipis. Senyuman yang tampak hambar. Cik Ina didekati. Kepala ditundukkan sedikit.

"Semuanya okey. Cik Ina jangan risau," bisik Eiyad cukup perlahan.

Ara mengecilkan mata. Cuba membaca gerak bibir Eiyad. Namun tidak berjaya. Bibirnya diketap perlahan.

Eiyad mengangkat semula wajahnya. Dikerling Ara yang berdiri tidak jauh daripadanya. Mata mereka bertaut buat seketika.

Ara melarikan pandangan. Tangan disilangkan memeluk tubuh. Gadis itu memilih untuk menanti Eiyad memberikan penjelasan kepadanya. Penjelasan tentang kenapa Eiyad tak muncul dekat kampus tengah hari semalam.

Eiyad menjatuhkan pandangan. Nafas dihela perlahan. Langkah mula disusun menuju ke dalam rumah. Sedikit pun tidak mempedulikan Ara yang masih berdiri kaku, menanti penjelasan daripadanya.

What? Dia blah macam tu aje? Tak ada nak explain pasal semalam? Hati Ara mula terasa panas bila Eiyad berjalan melepasinya tanpa sebarang bicara.

Pelangi Untuk AraWhere stories live. Discover now