"Beb... bangunlah. Aku dah nak balik ni," kata Dee. Mengejut Ara yang masih belum bangun walaupun jam sudah menunjukkan pukul 9.30 pagi. Sudah lebih daripada lima kali dia mengejut Ara tetapi gadis itu tidak bangun-bangun juga.
Terpisat-pisat Ara membuka matanya. Tangan meraba-raba meja di sisi katil, mencari iPhone miliknya.
"Awalnya kau nak balik. Baliklah tengah hari nanti," ucap Ara dengan suara baru bangun tidurnya. Mata dipejam semula.
"Lah... boleh pula kau tidur balik. Bangunlah... Takkan aku nak turun sendiri. Seganlah aku."
Ara buka mata semula. Dee yang sudah lengkap berselendang dipandang dengan rasa kantuk yang masih mengusai diri.
"Kau balik awal pun, kau nak pergi mana?"
"Kan aku ada program hari ni," beritahu Dee. Pandangan mata dihalakan ke arah Ara yang sudah duduk bersila di atas katil sambil membetulkan rambut yang kusut.
"Kau sure ke tak nak join aku hari ni?"
"Hah?"
Ara yang masih mamai, terpinga-pinga.
"Kau tak nak tengok muka pak cik yang aku cakap macam muka papa kau?"
Ara diam. Memandang kosong ke satu arah. Lama. Dee hanya menanti. Beberapa saat kemudian, Ara mula menggelengkan kepalanya. Perlahan.
"Sure?"
Ara angguk.
Dee menghela nafas sedikit kuat.
"Suka hati kau lah... Dah, pergi basuh muka."
Dengan penuh rasa malas, Ara mengayun langkah ke bilik air. Wajahnya dicuci. Gigi digosok. Tiba-tiba bicara Dee malam semalam mula menerpa ruang minda. Membuatkan dia termenung lama di depan cermin bilik air.
Ara mengeleng-gelengkan kepala. Cuba mengusir pergi fikiran negatif yang mula singgah di minda.
Tak.
Tak mungkin.
Itu yang Ara asyik ulang berkali-kali di mindanya. Gadis itu tidak percaya apa yang disampaikan Dee. Dari semalam dia cuba menidakkan kata-kata Dee.
Tidak mahu berterusan memikirkan hal itu, Ara cepat-cepat keluar dari bilik air.
"Jom!"
Dee menghampiri Ara. Sehelai seluar panjang dihulurkan kepada Ara. Seluar yang Dee ambil dari almari Ara.
"Nah, pakai ni...," arah Dee memandangkan Ara hanya berseluar pendek paras paha.
Tanpa banyak songeh, Ara capai seluar di tangan Dee lalu disarungkan ke kaki tanpa membuka seluar pendeknya.
Ara dah lama kenal Dee. Dah faham sangat perangai Dee. Dee bukan jenis yang akan membebel pada dia kalau dia berpakaian yang kurang sopan atau yang boleh dikategorikan sebagai seksi. Sebaliknya Dee akan cari cara untuk menutup keseksian Ara.
Kalau Ara nak keluar dengan baju tanpa lengan, Dee akan pinjamkan cardingan pada Ara. Tak pun jaket yang sesuai. Kalau Ara tunjuk kat Dee dress pendek masa dia orang tengah membeli-belah, Dee akan carikan dress labuh yang lebih sopan dan cantik.
Itulah Dee. Kawan yang Ara paling sayang. Ara tak pernah ambil hati pun sebab dia tahu Dee buat semua tu demi kebaikan dia. Kadang-kadang Ara buat apa yang Dee suruh. Kadang-kadang tak. Ikut yang mana Ara rasa okey pada dia.
YOU ARE READING
Pelangi Untuk Ara
RomanceKepulangan Eiyad dari kota London meragut keamanan Ara. Tiada lagi kebebasan untuknya. Dia kembali dikawal dan dikongkong oleh lelaki yang dia gelar sebagai Mr. Control Freak. "Kau tak boleh control aku. Kau jangan ingat bila kau dah balik sini, ka...