Bunyi jam loceng di atas meja sisi katil menyedarkan Rais. Lantas dia bangkit dari perbaringan. Jam loceng yang berbunyi tadi ditekan dan dipandang sekilas.
"Alamak! Dah pukul 5!" Nafasnya ditarik dan dihembus. Cuba untuk menghilangkan rasa mengantuk yang masih menguasai diri.
"Astaghfirullah Al azim." Wajahnya pula diraup kasar.
Pantas Rais bangun. Selimutnya dilipat dan diletakkan di hujung katil sebelum cadar dikemaskan. Tuala di atas penyidai turut dicapai. Kaki diayun laju ke bilik air untuk membersihkan diri dan berwudhu. Risau tidak sempat ke surau untuk solat berjemaah.
Usai berpakaian, Rais mengatur langkah keluar dari bilik dan melintasi bilik uminya yang masih gelap dan tertutup rapat.
Pintu bilik uminya diketuk. Sunyi, sepi. Tiada balasan dari uminya seperti biasa.
"Umi! Oh umi! Rais nak ke surau ni. Umi dah bangun ke belum?" Laung Rais pula. Pintu bilik uminya yang tidak berkunci itu ditolak perlahan.
"Ya Is. Umi baru bangun." Sahut Puan Zahrah dari atas katil.
"Rais dah nak ke surau ke?"
Mata tuanya dapat melihat anak tunggalnya sudah siap memakai baju melayu dan berkain pelikat. Kaki melangkah menghampiri Rais yang berdiri di depan pintu biliknya. Bibir mengoyak senyum nipis.
"Yelah umi. Dah lewat ni. Rais pergi dulu ya." Rais turut tersenyum. Umi lah satu-satunya darah dagingnya di dunia ini. Tempat dia menumpang kasih sejak kecil.
"Hurm yelah. Hati-hati bawak motor tu."
"Baik umi." Sempat pipi berkedut uminya dicium.
Motor kapcai peninggalan arwah abahnya yang diparkir di depan rumah dihampiri dan enjin dihidupkan.
"Bismillahirahmanirrahim." Motor ditunggang dengan kelajuan sederhana. Jarak dari rumahnya ke surau hanya 10 minit. Elok sampai di simpang tiga, satu motorsikal berkuasa tinggi menderum laju.
"Eh! Eh!" Motorsikal yang ditunggang Rais hampir terbabas, hilang kawalan. Brek motor ditekan mengejut.
"Boleh pulak bawa motor macam tu masuk kampung. Apa nak jadilah budak-budak muda sekarang ni." Rungut Rais. Matanya pula terus memerhati motor berkuasa tinggi yang hampir hilang dari pandangan mata.
*********
"Apa nak jadi kau ni kak? Keluar malam balik subuh. Tahu kat mama dengan papa memang masak kau kena."
Ilman membebel sebaik melihat kelibat kakaknya mendaki tangga dengan kaki terjingkit-jingkit. Sebelah tangan mengepit topi keledar dan sebelah lagi tangan memegang beg galas.
"Alah! Yang kau nak kecoh sangat ni kenapa? Kau buat hal kau. Aku buat hal aku. Settle." Jawab Raisya mudah.
"Settle kau cakap? Kau tahu tak semalam papa call tanya kau mana. Tak pasal-pasal aku kena menipu sama sebab nak selamatkan kau." Nada suara Ilman berubah. Geram dengan kakaknya yang semakin menjadi-jadi dari hari ke hari.
"Haa.. okey lah tu dik. Kau tolong aku. Nanti aku upahlah apa yang kau nak." Sebelah kening dijungkit kepada adiknya yang mencuka. Tangga yang didaki sudah separuh jalan itu dituruni semula. Mendekati Ilman yang berdiri tegak di hujung tangga.
"Kau ni siap berkopiah bagai, kau nak ke mana?" Anak mata melekap di wajah bersih adiknya, Ilman Rafiq.
"Aku solat lah. Bukan macam kau. Bila kali terakhir kau solat?" Bidas Ilman bersahaja.
Tersentak Raisya bila mendengar intonansi suara adiknya semakin meninggi. Berubah riak wajahnya.
"Ehh! kau ni apahal nak membebel pagi-pagi hari ni? Biasa mama yang suka memekak kat aku. Ni mama tak ada kau pulak yang ambil alih tempat mama." Bahu Ilman ditolak-tolak dengan jarinya.
YOU ARE READING
Bukan Takdir Terindah [C]
Short StoryJatuh cinta itu indah namun tak semua tumbuh dengan mekar. Kadang mencintai seseorang yang salah bukanlah satu kesilapan melainkan takdir yang telah tertulis. Kerana Cinta, Raisya berubah. Luka yang tertoreh mengubah hidup dan dirinya. Namun pertem...