Negara AldoriaIgor dan Devrik memacu laju kuda hitam itu ke hutan Frostier. Rancangan jahat mereka berjaya apabila anak panah beracun yang ditebak Igor berjaya menembusi jantung Raja Rhelasia ketika baginda sedang mengambil angin petang di perkarangan istana. Askar yang berkawal di pintu masuk taman larangan istana segera mengerumuni jasad baginda sejurus selepas dia rebah ke tanah, namun lelaki tua itu telahpun mati dengan kesan anak panah terpacak di dadanya.
Devrik membuang baju pengawal istana yang menjadi pakaian rasminya sejak tujuh tahun lalu. Ya, tujuh tahun dia mengintip, memerhatikan setiap rutin dan gerak geri Raja Rhelasia. Mereka menyusun strategi licik untuk menumbangkan kerajaan di bawah pimpinan Raja Rhelasia. Bukan mudah menjadi pengintip dan tali barut raja. Baginda sentiasa dikawal ke mana-mana sahaja hatta di ruang kamar tidur sekalipun. Cubaan pertama mereka lebih sembilan tahun dahulu gagal tetapi mujurlah dia dan Igor berjaya melepaskan diri. Waktu itu mereka masih mentah, darah muda remaja membuak tamak. Siapa yang tak mahu menjadi golongan bangsawan diraja? Mereka tak perlu bersusah payah bekerja membanting tulang seumur hidup! Dan atas dasar itu, mereka bersepakat mahu menjatuhkan pemerintahan Raja Rhelasia.
Devrik menarik nafas yang terasa mengah. Mereka berjaya akhirnya! Tiada siapa akan tahu anak panah itu milik siapa! Rancangan licik mereka tidak berjaya dihidu sesiapa.
"Kita berhenti dulu di sini!"
Igor bersuara, melaung sedikit melawan deru angin yang bertiup seiring kuda itu berlari. Devrik diam tidak menjawab namun larian kudanya diperlahankan. Mereka membelok ke arah sebuah gua yang agak terlindung di dalam hutan tebal Frostier itu. Tali kekang kuda-kuda itu ditambat di sebatang pohon kayu Elder yang tinggi.
"Lepas ni apa?" Devrik merenung muka Igor yang dibasahi peluh.
"Tunggu khabar dari dia."
Igor melabuhkan duduk di sebuah batu yang ada di dalam gua kecil itu. Devrik tersandar di dinding gua. Dia tergelak kecil.
"Kita berjaya bunuh raja!" Laungnya puas.
*******
"Aku tak nak!"
Rydan mendengking marah. Gila apa nak ajak dia masuk ke alam sebelah sana!
"Rydan..tolonglah..mungkin...mungkin ada sesuatu pada kau yang boleh bantu kami! Chanuques takkan buka pintu sempadan untuk sembarangan orang. Kan?"
Livrose merenung makhluk bertopi itu. Makhluk itu hanya mendengus setuju.
"Hahaha..no way! Aku hidup di dunia sebelah sini! Rumah aku, kerja aku.."
"Lepas apa yang jadi, kau masih ada kerja ke?" Soal gadis itu, sinis.
"Aku boleh cari kerja lain!" Rydan menyambung laju.
"Kau kan ada magik, tukarlah si pembunuh tu jadi labu ke apa...ha! Lagipun kaum kau pun ada kebolehan jugak kan? Aku ni manusia biasa je kot! Kebolehan aku rakam gambar je. Ke kau nak aku rakam gambar raja yang dah mati tu?"
Livrose menerpa Rydan. Tangannya diangkat tinggi ke udara, bersedia untuk menyerang lelaki itu. Rydan yang tergamam mengundur dua tapak ke belakang. Dia sedar jenakanya sudah keterlaluan kali ini.
"Jangan kau berani ejek raja kami! Ikut aku, atau aku betul-betul sihirkan kau jadi labu!" Gadis itu bersuara tertahan-tahan. Rydan telan liur.
"Sorry...fine! Aku ikut! Tapi dengan satu syarat." Rydan mengangkat kening, mencuba nasib.
"Apa.."
"Kita bertolak esok, boleh? Sekarang dah malam ni. Badan aku dah letih. Aku perlukan rehat, kau pun sama."
Rydan menjelaskan dengan penuh berhati-hati. Perempuan ni bukan boleh kira angin dia! Livrose merengus kencang. Membentak. Tapi ada benarnya apa yang dikata lelaki itu. Mereka perlu berehat dan mengumpul tenaga dahulu, sebelum masuk ke sana.
"Esok pagi, kita bertolak."
Livrose mengumam. Dia berjalan menuju ke arah banir pohon rendang yang menaungi mereka lalu duduk di situ. Badannya disandar pada batang pokok itu. Rydan mengeluh lega. Dia membuka jaketnya, dilipat jaket itu lalu diletakkan di atas tanah. Dia berbaring dengan jaket itu dijadikan bantal di kepalanya. Matanya merenung bintang yang memenuhi langit malam itu.
"Liv..." Dia mengumam lembut.
Livrose membuka mata, menoleh ke arahnya. Menunggu butir kata seterusnya dari lelaki itu.
"Maafkan aku...ya?"
Rydan bersuara. Dia masih kekal melihat bintang-bintang nun jauh di angkasa. Gadis itu hanya mengangguk walaupun dia tahu Rydan tak melihatnya.
******
Livrose terjaga setelah terasa pinggangnya dicuit. Dia mengecilkan mata, mencari siapa yang mencuitnya sehinggalah dia terlihat makhluk Chanuques itu tadi sedang memegang satu ranting kayu.
"Ada apa..?"
Livrose bertanya perlahan sebelum menguap kecil. Matanya masih lagi mengantuk.
"Dia dah lari."
Chanuques itu mengunjuk ke arah tempat Rydan berbaring tadi, yang kini kosong tanpa kelibat lelaki itu. Livrose melopong. Rasa kantuknya hilang serta merta.
"Kenapa kamu tak halang dia?"
Livrose bertanya tegas. Makhluk penjaga hutan itu tidak pernah tidur sepanjang hayatnya, jadi sudah tentu dia menyedari cubaan Rydan melarikan diri.
"Aku dah buat dia sesat."
Chanuques itu menderam. Livrose tersengih lebar! Padan muka, nak lari sangat kan?
*********Rydan menarik nafasnya yang terasa mengah. Sudah tiga kali dia berpusing di tempat yang sama. Puas dia merayau mencari denai yang selalu dilaluinya di hutan itu, dan setiap kali itulah dia akan kembali semula ke pohon yang telah tumbang ini. Rydan mendengus geram. Tanggannya dicekak ke pinggang, meninjau arah yang belum dicubanya. Hutan itu luar biasa sunyi di waktu malam. Tiada langsung bunyi unggas atau cenggkerik. Bagaikan bisu ditelan gelap pekat malam.
Bunyi gemersik dedaun yang diselak menyentak lamunan Rydan. Dia menoleh ke belakang. Livrose ke? Matanya dikecilkan merenung tumbuhan Lynwood yang jelas ada pergerakan di belakang rimbunan daunnya. Rydan mengundur ke belakang. Seekor serigala sebesar singa dewasa muncul di balik pokok itu. Rydan tergamam. Kakinya terasa dipasak ke tanah. Kaku tak bergerak. Serigala berbulu putih itu bergerak ke arahnya. Hidungnya bergerak-gerak mencium udara. Kenapalah dia tak duduk sahaja dengan Livrose! Rydan mendesis halus, menyesali perbuatannya.
Serigala itu terus berjalan lambat-lambat ke arahnya. Rydan pejamkan mata sebelum merebahkan dirinya ke lantai hutan! Buat-buat mati! Itu sahaja yang dapat difikirkan. Dia takkan mampu berlari menyelamatkan diri dengan keadaan kakinya yang mengeletar teruk seperti ini.
Serigala itu mendekat. Menghidu badannya. Rydan menahan nafas. Peluhnya terasa merenik di dahi. Rydan dapat merasakan dengusan hangat haiwan itu di mukanya sebelum lidah haiwan itu menjilat-jilat pipinya seperti seekor anjing yang mahu bermanja dengan tuannya.
Rydan membuka mata, dia mendongak melihat serigala itu yang masih menjilat wajahnya manja. Entah kenapa, Rydan yakin yang serigala itu tidak akan mencederakannya. Spontan tangannya diangkat, menghalang serigala itu dari terus menjilat wajahnya dan ketika tapak tangannya menyentuh buluan selembut baldu tersebut, badan serigala itu bercahaya terang. Rydan melopong tidak percaya dengan apa yang sedang dialaminya!
'Kalau haiwan tu ada pertalian dengan aku, badannya akan bercahaya!' Kata-kata Livrose terngiang semula di telinganya!
YOU ARE READING
Dua Sempadan
Fantasytak reti buat sipnosis tapi penuh dengan imaginasi.. Mohon jangan ciplak karya saya!