Hutan Geirangerjford, Norway.Igor tergelak sinis melihat letusan cahaya sehijau zamrud dari tembakan meriam yang melatari langit pinggiran hutan, tempatnya dan Devrik bersembunyi dari tentera istana setelah melakukan pembunuhan kejam ke atas Raja Rhelasia petang tadi.
"Aldoria berkabung..." Devrik mengejek. Igor ketawa besar. Puas!
"Aku nk buang air..kau tunggu di sini..jaga kuda aku!" Devrik mengingatkan. Igor sekadar mendengus kasar.
Devrik berjalan keluar daripada gua tempat persembunyian mereka di pinggir hutan Geirangerjford itu. Belukar separas betis diredahi sebelum dia mula melepaskan hajatnya. Bunyi meringkik kuda yang menyapa telinganya meresahkannya. Matanya meliar mencari arah datangnya bunyi kuda itu, takut jika tentera istana berjaya mengesan mereka sehingga ke hutan sebelah sini. Devrik memicing telinga. Bunyi itu dari arah beberapa meter di depan, bukan di dalam lingkungan kawasannya dan Igor bersembunyi. Devrik memegang pedangnya kejap, sebelum mula berjalan ke arah bunyi kuda itu. Dia mengintai di balik dedaunan pohon Viburnum, melihat dua ekor kuda berwarna perang dan putih yang ditambat di sebatang pokok kayu oak. Pandangannya jatuh pada tiga susuk manusia yang sedang nyenyak tidur di bawah pohon Birch tidak jauh dari kuda-kuda yang ditambat itu. Satu bentuk bebola lutsinar yang mengelilingi mereka bertiga seperti sebuah khemah meyakinkan Devrik, bahawa mereka juga dari Aldoria. Devrik tersenyum lebar. Akalnya merencana sesuatu!
********
Istana Jauregia, Aldoria.
Taburan bunga daffodil putih oleh rakyat jelata yang datang dari seluruh pelusuk Aldoria tanda ingatan duka buat raja yang telah mangkat memenuhi laluan masuk ke istana seperti karpet yang memutih. Pari- pari dari hutan Frostier bergentayangan di seluruh kawasan istana, menebarkan sayap bercahayanya mengalunkan irama lagu klasik perpisahan yang sayup-sayup kedengaran seperti desiran angin di tingkap. Obor di sepanjang laluan ke istana yang sebelum ini membiaskan api jingga biasanya kini mula berubah warna ke biru lembut, petanda istana sedang berkabung. Lorong-lorong kecil berselirat yang menghubungkan pekan-pekan kecil VestFerm hingga ke pinggiran pekan WestLunia dihiasi juntaian bunga White Gladiolus yang telah disihir terapung di sepanjang lorong dengan lembayung cahaya putihnya membiaskan pantulan di batuan granit di bawahnya.
Ratu Izebel merenung dulang berisi makanan yang dihantar dayang padanya sebentar tadi. Kepulan asap nipis dari mangkuk sup dan sayuran panggang yang dihidangkan menghilang ke udara seiring waktu. Bunyi derapan lembut tapak kaki memijak permaidani di kamar beradu diraja menyapa telinganya. Ratu Izebel mendongak, lalu tersenyum sayu pada anak lelaki tunggalnya yang berwajah resah memandangnya.
"Bonda..."
Tubuhnya dipeluk erat. Ratu Izebel mengucup kasih kepala anak lelakinya. Mata mereka beradu, lama. Raccius menyapu butiran jernih yang mengalir lesu di pipi bondanya. Mata yang sembab itu direnungnya pedih.
"Kamu dah makan...?"
Ratu Izebel bersuara serak. Raccius tersenyum sebelum merenung dulang makanan untuk bondanya yang jelas tak berusik.
"Bonda pun belum makan kan?"
Pertanyaan dibalas pertanyaan. Bibirnya dimuncungkan, mengunjuk pada dulang emas di atas meja kecil itu. Ratu Izebel tersenyum sayu membalas soalan anaknya.
"Kita makan sama-sama...ya?"
Raccius mengangkat dulang bulat itu lalu diletak di atas katil beradu diraja. Mangkuk emas berisi sup ubi bit yang hampir sejuk disudunya, lalu diunjuk lembut ke bibir bondanya. Ratu Izebel menahan tangisannya dari tumpah lagi melihat tingkah memujuk anakandanya. Mulutnya dibuka, menjamah sup berona merah baldu itu. Sup ubi bit itu terasa tawar menelusuri tekaknya dan ianya sama sekali tiada kaitan dengan kebolehan memasak Puan Dovva yang diakui kepakarannya.
YOU ARE READING
Dua Sempadan
Fantasytak reti buat sipnosis tapi penuh dengan imaginasi.. Mohon jangan ciplak karya saya!