Negara AldoriaIvsaar berlari mencicit laju ke selatan hutan Frostier. Lariannya di bawa menuju ke arah denai yang mengunjur ke sebuah terowong tanah yang kecil. Dia terhenti seketika mengambil nafas, sebelum berlari semula melalui terowong tanah itu menembusi satu kawasan lapang yang dipenuhi pokok-pokok besar tinggi menjulang. Di setiap dahan pokok itu, bergayutan bentuk-bentuk bulat bercahaya yang diperbuat daripada tumbuhan Argyreia Nervosa yang telah disihir. Ivsaar menghela nafasnya yang terasa semput di hujung kerongkong. Berita kemangkatan Raja Rhelasia perlu disampaikan pada elf-elf lain di kampungnya.
Dia mengeluarkan trompet yang tersangkut di seluarnya lalu ditiup kuat. Bunyi trompet itu membingit, mengejutkan elf yang sedang tidur nyenyak di dalam rumah masing-masing. Ivsaar menunggu penuh sabar apabila kaumnya mula bangun dan menjenguk ke bawah dari rumah mereka. Elf-elf itu saling mencuit bahu masing-masing. Jelas bertanya dan hairan kenapa mereka dikejutkan secara tiba-tiba dari tidur yang lena.
"Raja....Raja Rhelasia..dah mati!"
Ivsaar melaung. Suaranya terasa tersekat di halkum. Sukar mempercayai Raja yang paling dihormati itu maut di tangan bajingan pembunuh. Bunyi dengungan suara tidak percaya kedengaran dari atas sana sebelum elf yang jantan meniti dahan pokok yang menunjang rumah kecil mereka, menderu berpusu-pusu turun ke lantai hutan tempat Ivsaar sedang mendongak berdiri. Mereka mengerumuni Ivsaar untuk kepastian sementara di atas sana, esak tangis elf betina mula kedengaran.
"Betul ke Ivsaar?"
Grixo, elf yang paling tua di antara mereka bertanya. Suara tuanya menderam kasar. Ivsaar mengangguk.
"Ya..aku dari kampung VestFold.Makhluk gergasi di banjaran Tuvver dah merusuh."
Ivsaar menjelaskan. Bunyi bisikan dan dengungan semakin kuat.
"Siapa...siapa yang membunuh raja??!" Satu suara melaung geram.
"Pembunuh berjaya melarikan diri! Pengawal istana dikerah mencari pembunuh secepat mungkin."
"Mungkin gergasi-gergasi tu yang membunuh raja! Mereka dah lama berdendam sejak Raja Rhelasia mengambil alih tampuk pimpinan!"
Satu suara menjerit marah diikuti suara-suara bersetuju elf yang lain.
"Tunggu dulu..macam mana mereka boleh masuk ke sini? Bukankah raja dah haramkan kawasan kampung dan hutan dari dijajah mereka? Sumpahan Thaiv patutnya melindungi kawasan larangan mereka!" Satu suara lain pula membantah.
"Sumpahan Thaiv, terlerai bila Raja Rhelasia mangkat." Grixo menjelaskan.
"Raja dibunuh dengan anak panah beracun!"
Ivsaar menyambung. Kali ini dengungan suara elf-elf itu membingit.
"Panah beracun?"
"Apa yang pengawal buat?"
"Musuh dalam selimut.."
Bisikan andaian bertebaran. Grixo memegang dadanya. Langkah kaki tuanya di bawa ke banir pokok. Dia duduk di situ. Ivsaar mendekati penghulu kaumnya itu perlahan-lahan.
"Kita...dalam bahaya. Peperangan akan menjengah.."
Kata-katanya terhenti di situ. Ivsaar merenung mata tua itu yang mula berkaca. Benar, negara Aldoria akan berantakan!
**********
Istana Jauregia, Negara Aldoria. (Sehari sebelum kemangkatan Raja)
Fiona menatang dulang berisi buah-buahan segar hutan itu lalu berjalan melewati lorong berbatuan lava diterangi barisan obor yang marak menyala. Dia membelok ke satu selekoh. Dua ekor patung serigala yang mengapit kiri kanan sebuah pintu kayu oak dihampirinya. Fiona berdehem sedikit. Patung serigala itu berpaling ke arahnya lalu menyebut perkataan 'buka'. Pintu kayu itu berkeriut terbuka sendiri. Fiona melangkah masuk ke dalam. Langkah kakinya dibawa ke arah pengawal yang bertugas di dalam kamar diraja itu.
"Buah-buahan segar untuk santapan tuanku.."
Dia menjelaskan. Badannya dibongkokkan sedikit dan dulang yang ditatangnya diangkat tinggi ke atas supaya pengawal itu dapat melihat dengan lebih jelas. Pengawal itu membelek buah itu seketika, sebelum mengambil sebiji beri Bobule yang masak ranum itu ke dalam mulutnya. Fiona diam tidak berkutik. Memang begitu selalunya. Sebarang makanan untuk santapan diraja akan diuji dahulu oleh pengawal sebelum di sajikan kepada raja untuk mengelak sebarang cubaan meracun baginda dari pihak musuh.
"Letak di sana."
Pengawal itu mengumam tegas. Fiona mengangguk sebelum melintasinya. Dulang berisi buah-buahan segar itu diletakkan di atas meja bulat di sisi katil bertiang empat itu. Fiona keluar dari kamar diraja itu lalu berjalan melewati lorong berbatuan lava yang diterangi obor itu semula. Langkah kakinya dibawa ke tangga yang mengunjur ke ruang dapur di bawah tanah.
"Dah siap Puan Dovva."
Fiona memberitahu apabila kelibat perempuan gempal itu berjalan melintasinya.
"Bagus. Grego bercuti hari ini..boleh kamu beri gandum tu pada kuda di kandang?"
Puan Dovva menepuk bahunya. Fiona mengangguk. Guni berisi gandum itu dibimbitnya keluar. Dia berjalan ke bahagian belakang istana tempat kuda-kuda peliharaan raja ditambat. Bau busuk najis kuda menerjah hidungnya. Fiona melangkah berhati-hati melalui lopak air di atas tanah. Hujan lebat yang turun petang tadi membuatkan persekitaran di sekitar kandang kuda itu agak berlecak. Dia hampir mahu menolak pintu kandang itu apabila sayup-sayup terdengar suara bisikan seseorang di dalam.
"....aku uruskan..."
" ..kami mahu wang pendahuluan.."
Fiona meletakkan guni gandum yang dibimbitnya ke tanah. Perlahan-lahan dia menghampiri dinding pemisah antara kandang kuda itu dengan padang rumput datar di luar. Fiona cuba mengintai dari situ. Kelibat itu agak terlindung di balik rumput jerami yang tinggi menimbun. Dia menjengket sedikit, cuba mengintai siapa di dalam kandang itu. Bunyi uncang wang emas dibaling dan bergemerincing disambut seseorang kedengaran.
" Ambil tu dulu. Esok, aku nak raja bangsat tu mati!" Satu suara lain membalas.
Fiona tersentak! Imbangan badannya tidak stabil lalu dia jatuh dengan bunyi berdebuk kuat ke tanah. Bunyi itu mengejutkan mereka yang berada di dalam kandang kuda.
"Pengintip!"
Fiona bangun lalu kelam kabut melarikan diri dari situ. Gaunnya yang labuh menyukarkannya untuk berlari dengan lebih laju. Nafasnya terasa mencungap. Hujung gaunnya dikotori lumpur dan tanah. Rambutnya yang panjang terbuai ke belakang mengikut rentak lariannya direntap kasar. Fiona menjerit ketakutan. Tangannya memegang rambutnya yang disentak ke belakang.
"Siapa yang hantar kau!?" Suara itu menderam kasar.
"Tak..ada..aku cuma.."
Belum sempat dia menghabiskan kata, pipi kanannya ditampar kuat. Fiona mula menangis.
"Tak guna!"
Lelaki itu meludah mukanya. Pipinya sekali lagi ditampar. Darah merah pekat mengalir di tepi bibirnya.
"Dia dah dengar semuanya!"
Suara yang lain mendengus marah.
"Tolonglah...aku janji.."
"Hapuskan dia!"
Suara yang ketiga mendesis. Fiona menggeleng laju. Tapak tangannya disatukan, merayu dikasihani. Sebilah pisau belati keemasan ditikam ke perut gadis itu. Fiona melopong kesakitan. Matanya merenung tiga wajah kejam di depannya sebelum dia rebah ke tanah.
"Apa yang patut kita buat dengan mayat dia?"
"Humbankan ke penjara bawah tanah! Biarkan dia mereput di situ!"
Suara yang memberi arahan bunuh itu tadi menderam puas.
YOU ARE READING
Dua Sempadan
Fantasytak reti buat sipnosis tapi penuh dengan imaginasi.. Mohon jangan ciplak karya saya!