#DS14

44 2 0
                                    


Istana Jauregia - Dataran istana

Laungan sumpahan, libasan pedang dan tebakan anak panah bergema ke seluruh kawasan dataran istana. Penduduk dan makhluk hutan Frostier yang masih hidup berganding bahu bersama askar-askar istana memerangi gergasi banjaran Tuvver yang semakin mengganas. Panglima Grover yang sedang bertarung dengan seekor gergasi sempat mengelak duri beracun yang berterbangan tanpa arah sebelum pedang yang dipegangnya diangkat tinggi ke udara, memenggal kepala gergasi dihadapannya itu sehingga putus. Darah berwarna hitam pekat menyeruak keluar dari leher yang lompong tanpa kepala sebelum gergasi itu rebah ke tanah dengan bunyi debukan yang kuat. Caballo baru sahaja menumpaskan dua ekor gergasi yang menyerangnya serentak sebelum dia dikejutkan dengan laungan amaran Miento dan bunyi libasan pedang sebelum mata senjata itu mengenai batang tubuh seekor gergasi yang cuba membuat serangan dari belakangnya. Caballo berpaling mengucapkan terima kasih pada Miento sebelum berlari ke tengah dataran untuk membantu makhluk hutan Frostier yang cuba mengepung tebakan anak panah  daripada mengenai penduduk.

"Berlindung!" 

Putera Raccius menempik melindungi seorang penduduk yang terperangkap di antara timbunan mayat gergasi dan elf hutan, menolaknya ke tepi sebelum menikam pedang peraknya menembusi dada gergasi itu. Bunyi ngauman nyaring kedengaran sewaktu Putera Raccius mencabut mata pedangnya dari dada makhluk itu sebelum seekor lagi gergasi menyerangnya dari arah hadapan, dia mengangkat pedangnya, bersedia untuk merobek organ dalaman makhluk itu, namun gergasi itu tiba-tiba terhenti dari menyerangnya sebelum makhluk itu ghaib bersama debuan kehitaman. Putera Raccius tercengang memerhatikan satu persatu gergasi yang hidup mahupun yang telah mati ghaib di hadapan mata mereka yang bertarung di dataran istana, dengan sisa debuan kehitaman bergulir dibawa angin ke arah tenggara, menuju ke banjaran Tuvver. Gema teriakan dahsyat dan ngauman gergasi menghilang ke udara bersama debuan hitam tersebut. Keadaan kembali menjadi sunyi sepi seperti tidak pernah berlaku sebarang pertempuran sebelumnya. Putera Raccius menurunkan pedangnya ke tepi. Darah hitam makhluk gergasi yang mengalir di hujung mata pedangnya dibiarkan menitis mencemari salji yang memutih. Dia melingas ke sekeliling, melihat wajah bingung dan terpinga-pinga askar dan penduduk yang masih menghunus pedang, kapak dan busur panah dalam keadaan bersedia untuk menyerang. Panglima Grover berlari mendekatinya dari tengah dataran.

"Putera!"

"Tuan Grover, ke mana gergasi itu menghilang?!"

Putera Raccius bertanya dengan suara yang ditinggikan.

"Gergasi-gergasi itu bagaikan diseru pulang!"

"Lattazar??"

Putera itu mengerutkan dahi. Jika mereka sudah berjaya merempuh masuk ke sempadan Aldoria, kenapa pula mereka perlu berpatah balik?

"Dia hanya mampu menyeru kaumnya pulang semula ke Tuvver. Menyeru mereka melangkaui sempadan Aldoria adalah sesuatu yang melebihi kemampuannya sendiri, walaupun itulah yang diidamkannya selama ratusan tahun."

Miento mencelah dari belakang sebelum sempat Panglima Grover membuka mulut menjawab. Makhluk centaur itu menghampiri Putera Raccius dan Panglima Grover perlahan-lahan sebelum tunduk hormat pada putera raja itu.

"Tuan Miento!?"

Panglima Grover mendengking tidak percaya melihat makhluk centaur itu yang sudah sekian lama menghilangkan diri, dan kini muncul semula ke istana. Miento tersenyum mesra ke arah Panglima Grover.

"Putera, ini Tuan Miento! Peramal mistik makhluk centaur di hutan Frostier yang pernah berkhidmat di istana ini sebagai orang kanan Tuanku yang mulia Raja Rhelasia, sebelum.."

"Sebelum aku memutuskan hutan lebih sesuai denganku.." 

Miento mencelah membuatkan Panglima Grover terus mematikan kata. Dia menjeling wajah Miento yang masih tersenyum melindungi hakikat sebenar yang cuba disembunyikan.

Dua SempadanWhere stories live. Discover now