PROLOG: Hati Yang Tersapa

10K 160 13
                                    

Malam sudah mula menyelimuti langit. Bintang-bintang kelihatan begemerlapan di dada angkasa. Rembulan malu-malu mengeluarkan cahaya. Seperti langit dihiasi bintang, begitulah Kotaraya Anggerik, dihiasi gemerlapan cahaya lampu yang indah. Kotaraya masih bingit dengan suara kenderaan, dan bunyi warganya yang masih sibuk ke hulu dan ke hilir.

Kotaraya yang terletak di selatan Malaysia ini mula terkenal namanya sebagai pusat bagi Negeri Johor. Berhadapan dengan Singapura, Kotaraya Anggerik tidak kalah sedikit pun dengan negara singa itu. Bahkan, Kotaraya Anggerik lebih maju dan terkehadapan dari segi teknologi, kebersihan, seni bina, perlancongan dan sebagainya.

Keadaan sudah benar-benar berubah semenjak sekitar sedekad yang lepas, apabila Malaysia melakukan pembaharuan besar-besaran apabila kerajaan yang baru diangkat dengan mandat rakyat.

Namun, keamanan dan kemakmuran yang dikecapi, masih belum benar-benar sempurna.

Di sebalik semua itu, masih ada kejahatan yang melingkari negara ini, dan berusaha untuk merobohkannya dari dalam. Kerajaan Malaysia telah berusaha sedaya upaya untuk membasmi kumpulan-kumpulan ini, dan kejayaan meruntuhkan usaha sebuah organisasi rahsia, yang kemudian didedahkan sebagai Kesatuan Pemburu, telah menjadi petanda bahawa Kerajaan Malaysia serius dan berdedikasi untuk mengotakan janjinya.

Tetapi masih, untuk benar-benar menghapuskan dunia gelap ini 100%, belum tercapai.

Dia mengetahui hal ini, kerana dia merupakan salah seorang ahli di dalam dunia gelap tersebut. Dunia yang semenjak kerajaan baru serius menangani korupsi dan ketirisan, jenayah dan kebejatan sosial, semakin lama semakin mengecil. Namun masih bergerak. Bahkan, keadaan itu dilihat sebagai menguntungkan oleh beberapa pihak, yang memandang keadaan tersebut sebagai peluang untuk menumpaskan persaingan.

Organisasinya merupakan salah satu yang berpendapat sedemikian rupa.

Dia mula bergerak ke satu kawasan gelap, menjauhi kesibukan kotaraya. Kawasan tersebut merupakan kawasan yang ditinggalkan. Sedekad yang lepas, kerajaan lama telah menjanjikan pelbagai pembangunan. Namun banyak antara projek tersebut terbengkalai. Dan kawasan ini salah satu daripadanya.

Kerajaan baru sedang berusaha untuk mendapatkan hak kawasan-kawasan yang terbengkalai ini dan membangunkannya. Tetapi sudah semestinya bukan semuanya berjaya diperolehi dengan kadar yang segera.

Dan antara yang menyukarkan usaha pihak kerajaan untuk mendapatkan hak-hak kawasan seperti ini ialah, milikan tanah yang telah dijual oleh kerajaan lama, kepada pihak asing. Pihak asing tersebut pula, secara senyap, telah menyerahkan hak milik tanah ini kepada sebuah organisasi rahsia. Organisasi dunia gelap.

Ada beberapa kawasan sebegini di Johor.

Pembangunan pesat dan berjaya di ibu negara, membuatkan beberapa organisasi besar di dalam dunia gelap telah mengalihkan pusat operasi mereka ke selatan tanah air. Mereka mudah mendapatkan bekalan senjata dan wang juga mudah 'dibersihkan' kerana negeri ini bersebelahan dengan negara jiran, Singapura, yang tidak kurang hebatnya juga diasak oleh organisasi-organisasi dunia gelap ini.

Encik PembunuhWhere stories live. Discover now