PELURU 4: Pintu Taubat Yang Ditutup Dajjal

2.1K 55 2
                                    

"Engkau masih tidak terlambat lagi nak berpatah balik ni, Faisal."

Faisal memandang ke arah Luke. Kini dia tidak lagi perlu mendongak untuk memandang bapa angkatnya itu. Mereka sudah sama tinggi. Wajah lelaki separuh abad itu dipandang bersama senyuman.

"Rilekslah Bapa." Belakang tubuh Luke ditepuk lembut. "Terima kasih sebab sudi teman."

Luke menghela nafas sambil menggeleng. Kemudian matanya direhatkan pada rumah teres dua tingkat di hadapannya. Sederhana sahaja rumah ini. Terletak di Taman Pulai Perdana. Kenderaan yang tersadai di pakir rumah tersebut juga dari jenama yang sederhana. Gambaran pertama yang diperolehi Luke, keluarga ini keluarga yang biasa-biasa sahaja.

"Ha, tunggu apa lagi, tekanlah loceng tu." Luke menjuihkan bibirnya ke arah loceng di hadapan mereka.

Faisal segera menekan loceng.

Tidak lama kemudian, pintu pagar terbuka. Pintu rumah juga terbuka.

Mereka disambut oleh seorang lelaki. Separuh abad. Mungkin seusia dengan Luke. Sedang mengenakan pakaian kasual berlengan panjang, bersama seluar riadhah labuh.

"Assalamu'alaikum." Faisal mengangkat tangan.

Luke menoleh ke arah Faisal dan mengerutkan dahi. Tidak pernah mendengar Faisal melemparkan salam sebelum ini.

"Waalaikumussalam. Jemput masuk." Faisal terus dirangkul dengan erat oleh lelaki tersebut. Faisal sendiri terkejut. "Inilah dia jejaka pilihan Amirah ya. Kacak dan segak orangnya. Patutlah." Mereka kemudiannya berjabat tangan.

Faisal tersipu-sipu. Wajahnya sedikit merah.

"Biasa-biasa aja pakcik Aws. Ini bukan kali pertama kita bertemu."

"Iya?" Encik Aws mengangkat kening.

"Saya dahulu seuniversiti dengan Amirah. Walaupun ambil kursus yang berbeza, tetapi sering kelas bersama. Beberapa kali juga menyapa pakcik."

"Ah, kamu ni Faisal di universiti itulah ya!"

"Ya, Amirah tak beritahu?"

"Dia dengan Umminya sahaja yang banyak dia cerita. Ha, jemput masuk, jemput masuk." Encik Aws mempelawa. Faisal melangkah ke dalam rumah. Luke berjabat dengan Encik Aws.

"Encik Lutfi ya?"

"Ya saya."

"Wah tangan, kukuh. Kerja tentera ke?"

Encik PembunuhWhere stories live. Discover now