Jam digital moden, terletak di atas almari mini di sebelah katil bersaiz 'king', bertukar angkanya dari 4.59 ke 5.00. Tanpa penggera berbunyi, Faisal membuka matanya. Dia bangkit kemudian turun dari katil. Tidak berpakaian, hanya mengenakan seluar hitam labuh. Dia bergerak ke bilik sebelah, yang merupakan ruangan luas, kosong.
Di sana dia menenangkan diri. Mengawal pernafasan. Melakukan regangan. Kemudian beberapa tumbukan dilepaskan. Udara menjadi lawan. Faisal melakukan gaya mengelak, seakan ada yang menyerang. Kemudian tubuhnya dihayun ke bawah, dan momentum itu dibawa di dalam lompatan, hingga tubuhnya berputar ke udara, sebelum dua kaki menjejak kembali ke tanah. Dia terus berguling dan kemudian mengangkat kedua-dua belah tangannya seperti sedang menembak musuh. Kemudian Faisal meneruskan aksinya seperti berlawan musuh. Tendangan dan tumbukan silih berganti. Kadangkala dia bertahan, mengelak, dan menyendeng.
Keadaan itu berterusan sejam lamanya.
Azan berkumandang di Masjid Utama Kotaraya Anggerik, Masjid Sultan Iskandar. Masjid terbesar di Johor, dan menjadi mercu utama negeri itu. Antara keunikan Malaysia hari ini, Masjid menjadi sentral kepada pusat-pusat bandar. Daripada apa yang didengari Faisal melalui berita, Kerajaan Malaysia cuba menjadikan Masjid tidak lagi ekslusif hanya untuk ritual-ritual agama, tetapi juga untuk urusan komuniti, bantuan keperluan bagi yang tidak mampu, tempat melakukan aktiviti rekreasi dan pelbagai lagi. Semua lapisan masyarakat, tidak kira bangsa dan agama, dialu-alukan hadir ke masjid. Perdana Menteri sering mengulang dalam Penyampaian Isnin, bahawa Islam bukan agama yang disempitkan di atas tikar sejadah, juga terpenjara dengan bangsa, tetapi Islam ialah cara hidup, dan untuk memberi rahmat kepada semua.
Faisal tidak pernah ambil kisah dengan itu semua. Sekadar menonton apa yang terpapar di televisyen untuk memastikan dirinya tidak ketinggalan dengan perkembangan terkini.
Faisal menganggap dirinya tidak lagi layak untuk mengetahui Islam, menjadi orang yang taat kepada Tuhan. Faisal tidak pasti apakah Tuhan akan menerimanya. Tubuhnya telah dibasahi darah pekat manusia-manusia yang ditumbangkannya. Hingga dia tidak dapat menyisihkan bau hanyir darah daripada derianya sendiri.
Tetapi kehadiran Amirah semalam seperti memberikan isyarat, bahawa Tuhan masih mahu memberikannya peluang. Namun, dia juga tidak pasti apa yang telah dia lakukan.
Faisal berhenti dari latihan. Tubuhnya telah lencun dibasahi keringat. Dia tidak mengesat peluh tersebut. Faisal mengawal pernafasan, kemudian berjalan membawa dirinya ke tingkap luas. Memandang suasana subuh Kotaraya Anggerik dari bangunan pencakar langit.
Faisal tinggal di pangsapuri mewah lagi moden. Rumahnya berada di aras 44. Dari sini, dia dapat melihat masjid dengan jelas. Kelihatan berbondong-bondong kenderaan, dan juga pejalan kaki, sedang berjalan ke masjid. Sedang langit masih gelap.
Faisal tidak rasa terpanggil. Dia tidak rasa dirinya layak untuk menjejakkan kaki ke masjid. Bahkan jika dia mahu, dia tidak tahu hendak buat apa.
"Saya bukan tidak sukakan awak, Faisal." Suara Amirah menerjah. Memori semalam mula terimbas.
YOU ARE READING
Encik Pembunuh
ActionEncik Pembunuh - Tajuk memang macam drama TV melayu, tetapi sorry, jalan cerita novel ni lagi awesome. Ini cerita Faisal, seorang pembunuh profesional yang sangat menggerunkan. Sudah bunuh ratusan orang, dan nak kata orang gerun pada dia tu sampai d...