Hari ini Faisal duduk lagi di tempat yang sama seperti tempoh hari, di belakang masjid. Dia masih mengekori Salman Al-Hafiz. Semenjak Faisal mula mengekori Salman, dia tidak melihat apa-apa yang mencurigakan daripada lelaki tersebut. Salman Al-Hafiz akan menghabiskan banyak masa di masjid, bergaul dengan masyarakat, membantu penduduk di sekeliling, kemudian apabila selesai Isya', dia akan pulang dan menghabiskan masa di rumah bersama anak dan isteri.
Pun begitu, itu hanya pemerhatian Faisal untuk dua hari.
Tidak cukup. Faisal sekurang-kurangnya akan mengekori satu-satu sasaran selama seminggu, bahkan kadangkala lebih. Selain untuk mengetahui di mana markas sasaran, dia juga ingin mendapatkan bacaan terhadap peluang dan ruang yang boleh diambil saat dia ingin menamatkan riwayat sasarannya. Faisal akan memilih keadaan yang terbaik, agar peluang untuk dia menumbangkan sasarannya dengan mudah itu tinggi.
Seperti Vadarajan, Faisal mengambil masa hampir sebulan untuk memastikan kekuatan kubunya, pergerakan ahli, pergerakan Vadarajan dan bilangan ahli yang berada di kubu pada satu-satu masa. Faisal telah memilih masa untuk menyerbu organisasi Vadarajan pada waktu sedikit ahli-ahlinya berkumpul di dalam kubu. Vadarajan tidak membenarkan kubunya ditinggalkan dalam keadaan ahlinya kurang dari 10 orang di dalamnya. Momen sedemikian hanya akan berlaku apabila Vadarajan berada di dalam bilik khas miliknya, untuk mengira pendapatan. Semua ahli lain akan diarahkan keluar dari kubu, tinggal dia dan 10 pengawal peribadinya sahaja.
Begitulah juga yang sedang dilakukan terhadap Salman Al-Hafiz.
Dia melihat Salman Al-Hafiz mengambil tempat di meja penceramah. Salman Al-Hafiz memulakan bicaranya dengan memuji Allah dan berselawat ke atas Rasulullah. Kemudian dia memulakan penyampaiannya.
Hari ini, Salman Al-Hafiz membicarakan perihal taubat.
Faisal rasa teruja ingin mendengar.
Sambil menyelam, sambil minum air. Faisal tidak pernah mendapat sasaran yang mempunyai latar belakang Islamik, apatah lagi seorang Ustaz atau Imam. Dia sedikit berharap konflik dalamannya mendapat jawapan yang tuntas daripada kalam-kalam Salman.
"Rakan-rakan hadirin jemaah yang saya muliakan. Sesungguhnya dosa ialah hasil keingkaran seorang insan kepada Tuhan. Lagi banyak seseorang itu ingkar kepada Tuhan, akan lebih tinggilah dosa seseorang di sisiNya. Orang-orang yang berdosa ini kotor dan jijik!" Salman melaung.
Jiwa Faisal terenjat. Terasa seperti dirinya yang disebut.
"Mereka tidak akan mendapat ketenangan di dalam hidup! Allah SWT telah berfirman: Dan barangsiapa yang berpaling daripada peringatanKu, maka sesungguhnya untuk dia itu kehidupan yang sempit. Dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat kelak dalam keadaan buta!" Suara Salman tambah meninggi.
Bulu roma Faisal meningkat.
"Maka bertanyalah dia: Mengapa Engkau kumpulkan kami dalam keadaan buta? Sedangkan kami dahulu di dunia melihat?!"
YOU ARE READING
Encik Pembunuh
ActionEncik Pembunuh - Tajuk memang macam drama TV melayu, tetapi sorry, jalan cerita novel ni lagi awesome. Ini cerita Faisal, seorang pembunuh profesional yang sangat menggerunkan. Sudah bunuh ratusan orang, dan nak kata orang gerun pada dia tu sampai d...