Part 2

2.5K 35 0
                                    

WAJAH serius di hadapannya dipandang lama. Bibirnya teragak-agak mahu menuturkan kata-kata. Kalau sahabatnya kelihatan serius begitu memang sukar untuk diajak berbicara. Silap hari bulan mahu makan penumbuk. Dia kenal benar sikap lelaki yang dikenalinya sejak di universiti lagi. Kini dia menjadi tangan kiri lelaki itu dalam menguruskan syarikat. 

"Will he say something for you?" Akhirnya terletus juga persoalan dari benaknya. Dia menelan liur menanti reaksi Aeric yang bersandar kaku di kerusi empuk sambil tangan kanan memicit dahi. ​

"Kalau dia nak... Lama dulu lagi dia dah back up aku. Aku tahu dia nak aku selesaikan sendiri masalah ni tanpa dia perlu campur tangan. Lagipun, aku takkan layak uruskan syarikat ni kalau benda macam ni pun aku tak dapat handle," balas Aeric acuh tak acuh. Kedengaran keluhan temannya.

"Kenapa? Kau rasa aku tak boleh buat ke?" Aeric depankan badannya dari sandaran di kerusi. Mata Aeric tetap serius menatap wajah tangan kirinya ini.

​"Kau ingat aku nak mengalah dengan Jacky tu? Aku dah pegang syarikat ni dari sekolah lagi. Ingat senang-senang aku nak biar dia ambil alih syarikat ni? Over my dead body," tingkah Aeric tegas. Dia menyandar semula. Wadi melihat sahaja lagak Aeric sementelah Aeric orang kepercayaan pemilik syarikat. Malah, Aeric juga memang menguasai syarikat ini sejak dahulu.

Berdiam diri begini buat Aeric teringat segala usahanya untuk syarikat yang diterajuinya ini. Sejak di tingkatan empat dia sudah mula belajar selok-belok syarikat daripada lelaki Cina yang telah membesarkannya. Setiap masa terluang dihabiskan untuk meningkatkan pencapaian syarikat.

Disebabkan tidak mahu berpisah dengan syarikat ini, dia hanya meneruskan pengajian di dalam negara walaupun dia punya peluang untuk ke luar negara. Dia telah menjadikan syarikat ini nadi hidupnya. Takkan semudah itu mahu ditinggalkan. 

"Aku tahu kau takkan mengalah. Masalahnya sekarang ni kau punya uncle tu sakit dia makin teruk. Kalau dia gol dulu sebelum kau betul-betul dapat syarikat ni macam mana?"

Wadi mengeluh resah pula. Dia tidak mahu kehilangan kedudukan penting di Dinamic Star Corporation jika temannya tidak mewarisi syarikat itu daripada lelaki bernama Andy Yeong. Dia juga tidak mahu Aeric kehilangan syarikat yang kini berdiri megah hasil usaha bertahun-tahun. Tanpa Aeric, Dinamic Star Corporation takkan berdiri megah seperti hari ini. ​

"Kau jangan risaulah. Aku tahu macam mana nak buat," tegas Aeric seperti mahu menghilangkan resah sendiri. Dia sendiri risau jika pak ciknya pergi sebelum menukarkan saham syarikat kepadanya. Pasti dengan mudah Jacky akan mengambil alih memandangkan lelaki itu mewarisi darah keturunan pak ciknya. ​

Jacky lelaki yang hanya tahu membelanjakan wang tanpa tahu mencarinya. Dia tidak mahu melihat Dinamic Star Corporation jatuh ke tangan orang seperti itu. Dia tidak sanggup melihat hasil titik peluhnya hancur di tangan Jacky. Andai itu terjadi mungkin tangannya akan bermandi darah lelaki itu.

Masalah pemilikan saham ini memang sudah lama namun tidak menjadi hal kerana Andy Yeong masih sihat di kerusi rodanya. Lain pula keadaannya sekarang. Kerap benar lelaki itu dikejarkan ke hospital akibat serangan jantung. Mujur hanya serangan-serangan kecil. Sememangnya lelaki Cina yang berusia lebih separuh abad itu mengalami masalah lemah jantung. Doktor juga telah mengingatkan supaya berjaga-jaga untuk kemungkinan serangan yang lebih teruk.

Dipejam matanya rapat. Dia tidak mahu mendesak. Dia lebih suka ayah angkatnya itu menyerahkan sendiri syarikat kepadanya. Andai itu tidak terjadi, dia sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan syarikat itu. Dia mungkin tidak sedarah dengan lelaki itu namun syarikat itu adalah usaha jerih perihnya.

Bisikkan NamakuWhere stories live. Discover now