Part 7

1.5K 27 0
                                    

TERKEBIL-KEBIL mata Tuan Dahlan enggan percaya. Gerak hati pula mengatakan sesuatu. Dia berpaling. Matanya mengekori wajah gadis yang berselisih dengannya tadi. Wajah itu kian menjauh tetapi dia tidak berniat mahu mengejar. Dia yakin dengan apa yang dilihatnya. Sekali imbas wajah gadis itu saling tak tumpah dengan wajah sahabatnya. Takkan pelanduk dua serupa berlainan jantina pula?

Gerak hati dan rasa ingin tahu yang kuat membuatkan Tuan Dahlan melangkah ke arah bilik di mana gadis itu keluar tadi. Dia memulas tombol perlahan tanpa mengetuk dahulu lalu menjengul sedikit kepalanya ingin melihat pesakit yang mendiami bilik itu. Terasa mata bagai menipunya.

Wajah tua lesu yang bersandar di katil memandang jauh keluar tingkap itu menyingkap memori lebih 20 tahun yang lalu. Ya, tidak mungkin matanya bermain magik. Perlahan-lahan dia melangkah masuk.

Mendengar derap tapak kaki di dalam bilik, mata Dalyla tertujah di pintu. Bibirnya tergerak-gerak sedikit bagai ingin berkata sesuatu. Namun tiada sebutir kata terucap. Kelu dan bisu bibir jadinya. Biar sakit, ingatannya tidak lemah. Masih mampu mengenal wajah yang sudah dimamah usia sepertinya itu. Kenapa? Kenapa kenangan lalu datang menjenguk kembali? Hatinya berdesah sendiri. Resah terpancar di wajahnya.

"Dunia ni kecik rupanya," komen Tuan Dahlan. Nadanya mendatar.

"Kau buat apa kat sini, Lan?"

"Aku rasa aku ternampak anak kau tadi keluar dari bilik ni," tutur Tuan Dahlan dengan renungan tajam. Wajah di hadapannya terus berubah resah. Tampak jelas ketakutan di wajah itu. Reaksi yang sudah diduganya andai gerak hatinya benar. Takut mungkin menyembunyikan rahsia.

"Betullah anak kau, kan?"

​Dalyla mengetap bibir dan menoleh ke arah lain. Kalau dia cergas untuk bangun, sudah dia tolak badan Tuan Dahlan supaya keluar. Dia bimbang Ritz terdengar perbualan lancang dari mulut Tuan Dahlan, sahabat bekas suaminya ini. Tuan Dahlan yang menyampaikan kepada keluarga suaminya tentang perkahwinan mereka.

Ya, baginya Tuan Dahlan perosak segalanya. Jika perkahwinan itu dirahsiakan untuk tempoh yang lebih lama lagi, pasti kehidupan mereka kukuh dan Affandi tidak meninggalkannya.

"Anak kau... Rupanya saling tak tumpah macam ayah dia," tokoknya lagi apabila wanita di hadapannya terus diam tak bersuara.

"Kau cakap apa ni, Lan? Kau keluar sekarang. Aku tak nak diganggu. Aku tak nak ingat lagi fasal benda yang dah lepas," tingkah Dalyla garang.

Ketakutan mencengkam hati. Takut andai rahsia yang dipendam bertahun-tahun bakal sampai ke telinga bekas suaminya. Dia tidak sanggup andai dipisahkan daripada Ritz. Dia takut ditinggalkan satu-satunya 'harta' yang dimilikinya.

"Hubungan kau dengan dia mungkin dah lepas, Dalyla. Tapi anak kau tu tidak lepas. Kau kena ingat tu Dalyla," tegas Tuan Dahlan. Sahabatnya perlu tahu akan hakikat ini. Tentu berita ini akan menggembirakan sahabatnya yang keseorangan dan tercari-cari kasih sayang seorang anak.

"Tu anak aku. Bukan anak dia!"

"Kalau bukan... Kenapa kau nak takut?"

"Aku tak takut. Aku cuma tak suka anak aku dikaitkan dengan dia. Sekarang ni aku nak kau keluar dari sini. Jangan datang lagi!" Tinggi suara Dalyla. Terasa sesak dadanya ketika ini. Tangannya mencengkam kuat dadanya. Penyakit asmanya mungkin menyerang kembali.

Melihat keadaan wanita itu yang seperti sukar bernafas, Tuan Dahlan tidak mahu terus mendesak untuk mengetahui kebenaran. Dia berpaling mahu melangkah pergi. Langkahnya terhenti seketika mendengar lengkingan suara wanita itu.

"Jangan datang sini lagi! Dia anak aku. Anak aku! Bukan anak dia. Kau faham tak!"

Ketika Tuan Dahlan melepasi pintu, tubuhnya hampir merempuh gadis yang berdiri di balik pintu bagaikan sedang mencuri dengar perbualannya tadi. Wajah gadis itu kelihatan serba-salah dan keliru. Melihat wajah itu dari jarak yang lebih dekat, dia yakin dia tidak tersilap meneka. Gadis itu cepat-cepat melangkah masuk ke dalam bilik mendapatkan si wanita sakit itu. Tuan Dahlan tidak terus menunggu lalu melangkah pergi. ​

"Mama," seru Ritz dengan nada risau. Cepat sahaja tangannya menyelongkar laci yang tersimpan penyembur gas mamanya. Kemudian diserahkan ke tangan wanita tua itu. Dalyla pantas bertindak menyembur ke dalam mulutnya menghilangkan sesak yang dirasakan di dada.

Diusap dada kurus mama dengan lembut. Wajahnya jelas risau dan penuh tanda tanya. Risau akan keadaan mama yang diserang asma setelah agak jarang-jarang dilanda keadaan begitu. Tertanya-tanya akan perkara yang didengarinya tika mencuri dengar di balik pintu. Dia tidak mengerti sama sekali kerana dia hanya sempat menangkap ketika perbualan hampir berakhir.

"Siapa yang datang tadi tu mama? Kawan mama?"
Dalyla menggeleng lemah.

"Dia silap orang tu. Dia ingat mama ni orang yang dia pernah kenal dulu," tutur Dalyla tidak mahu menerangkan apa-apa. Dia tidak mahu anaknya tahu kewujudan si ayah yang telah pergi meninggalkan mereka tanpa berpaling lagi.

"Tapi Ritz tengok macam dia kenal mama aje tadi," tukas Ritz masih ingin mengorek rahsia. Nampak benar mamanya berbohong. Gerak mata mama buat dia yakin, mama kenal lelaki tua separuh abad tadi.

"Ritz... Mama nak rehat. Dada mama rasa tak sedap," tutur Dalyla seraya membaringkan tubuhnya. Berharap dengan begitu anaknya tidak akan terus menyoal.

Sebagai anak yang memahami, Ritz bertindak membantu Dalyla berbaring. Dalam keadaan kesihatan mamanya yang tidak menentu, dia tidak mahu mendesak andai mahu berahsia. Pun begitu dia tidak dapat menghalang tanda soal yang besar daripada terus bermain di kepala.

Bunyi pintu bilik yang terkuak dari luar membuat mereka dua beranak berpaling serentak. Wajah Qushri terjengul dengan senyuman di bibir.

"Mak cik sihat?"

"Alhamdulillah. Makin sihat bila tengok kamu berdua. Qush makin handsome mak cik tengok," puji Dalyla bersahaja. Wajahnya kembali ceria. Kisah Tuan Dahlan tadi ditepis ke tepi dahulu.

Qushri tergelak kecil menerima pujian sebegitu. Bukan dia tidak faham wanita tua itu punya hasrat mahu melihatnya bersatu dengan Ritz. Ritz kawan baiknya dan dia selesa di sisi gadis itu.

Dia tidak dapat membayangkan gadis itu mengisi kedudukan sebagai teman wanitanya. Mereka tidak sesuai begitu. Lagipun kawan kekal selamanya. Tidak mudah putus dek rajukan atau cemburu.

"Mama... Ritz balik dulu. Nanti Ritz datang lagi," ujar Ritz memahami kehadiran Qushri yang menandakan sudah waktunya mereka beransur pulang. Waktu melawat pun sudah hampir tamat. Dalyla sekadar mengangguk merelakan.

​Sayu hatinya melihat anak yang pergi, namun gembira anak itu tidak pernah lupa kepadanya. Tapi, sebaik tubuh Ritz hilang, rasa takut Dalyla kembali menjelma. Tiada apa yang dia boleh buat kecuali berdoa Ritz tetap selamat dan tidak meninggalkannya kerana harta.

Bisikkan NamakuWhere stories live. Discover now