Part 10

1.4K 25 0
                                    

"BENGKAK mata tu," komen Kak Sofi menghidangkan secawan nescafe panas di hadapan Ritz yang menongkat dagu di atas meja makan. Selepas subuh tadi, biar matanya terasa berat tapi dia tidak boleh menyambung tidur. Bukan kebiasaannya tidur di pagi hari. Waktu tidurnya hanya ketika malam.

"Bergaduh dengan Qush ke semalam sampai tak boleh tidur?" tokok Kak Sofi lagi separuh mengusik. Ditenung sejenak gadis yang hanya memakai seluar pendek dan singlet. Tahu sangat teman serumahnya itu suka kelihatan simple sahaja. Gadis paling simple dikenalinya. Nasib baik di rumah sahaja. Kalau bersidai di koridor tu, entah-entah berduyun lelaki datang sini.

"Tak ada maknanya nak gaduh dengan pakwe orang lain. Buang masa, buang tenaga. Habuk pun tak dapat," balas Ritz seraya mencapai cawan di hadapannya. Disisip sedikit nescafe yang masih berasap itu. Seingatnya dia tidak pernah sekalipun bermasam muka dengan lelaki itu. Hubungan mereka terlalu baik. Salah faham tidak pernah disimpan di hati.

"Dah tu apasal tak boleh lelap?" Dia tahu sangat Ritz bukan jenis burung hantu yang berjaga malam. Cukup waktu mesti tidur punya. Hanya sesekali bila punya aktiviti futsal gadis itu tidur agak lewat.

Ritz menceritakan perkara yang mengganggu tidurnya semalam. Dengan Kak Sofi dia jarang berahsia. Jika dia tidak bercerita pada Qushri, pasti Kak Sofi menjadi pendengarnya. Dua orang insan ini menjadi tempatnya mengadu. Menyimpan segalanya seorang diri bukan pilihan bijak. Hidup perlu berteman. Jangan disimpan segala masalah seorang diri. Mempunyai pendengar setia merupakan satu kelebihan. Boleh mendapatkan nasihat dan bantuan.

"Kenapa tak tanya direct aje kat mama kau?"

"Lepas lelaki tu keluar mama terus kena asma. Sejak mama masuk hospital dia dah jarang sangat nak kena asma. Aku tak nak desak mama kalau dia tak nak cerita, kak," balas Ritz seraya bangun ke singki untuk membasuh cawannya yang telah kosong.

"Kalau kau tak nak tanya mama kau... Mana lagi kau nak korek rahsia? Kau nak tanya lelaki tu, pun kau tak kenal. Kalau akak memang akak tanya direct aje. Tapi tengok keadaan mama kaulah," nasihat Kak Sofi.

Ritz melepaskan keluhan panjang. Memang hanya ada satu sahaja cara untuk mendapatkan jawapan. Jawapan hanya ada pada mamanya. Andai tidak bertanya dia akan terus diulit persoalan demi persoalan. Mahu bertanya dia risau kesihatan mama akan terganggu pula. Hesy, pilihan dia memang sukar kali ini.

"Sekarang ni kau cool down dulu. Jangan sesakkan kepala kau tu. Sekarang ni kau ikut akak pergi shopping. Akak nak cari handbag baru," usul Kak Sofi selamba.    

Ritz tertawa kecil. Memang sudah tahu karakter wanita itu. Jenis yang tidak suka memeningkan kepala dengan sesuatu masalah. Selamba sahaja mengajaknya membeli-belah sedang dia diburu masalah. Pun begitu, dia mengangguk setuju. Benar. Tiada guna dia pening-pening berfikir sedang dia tahu dia hanya punya satu jalan keluar. Hanya menunggu sama ada dia mahu berdepan dengan mamanya atau tidak.

Bisikkan NamakuWhere stories live. Discover now