Part 9

1.4K 23 0
                                    

JAM terus berdetik tanpa henti biarpun benaknya dirundung pelbagai persoalan. Jelas masa tidak pernah menanti sesiapapun biar diri dilanda masalah bak garuda sekalipun. Membuang masa bukan satu keputusan yang bijak sedang hidup begitu singkat jangkanya.

Matanya terkebil-kebil merenung jam di dinding. Hampir pukul 4.00 pagi dan matanya masih setia segar tidak mahu lelap. Selalunya cepat benar dia terlelap setelah kepala menyentuh bantal. Tidak malam ini apabila perbualan mamanya dengan lelaki asing itu terus terngiang-ngiang di kepala.

Apa yang dimaksudkan lelaki itu dan kenapa begitu pula reaksi mama? Semuanya sangat mengelirukan.

Siapakah 'dia' yang dimaksudkan oleh mama? Setahunya ayah sudah lama tiada. Pergi meninggalkan dunia ketika dia masih di dalam rahim lagi. Tetapi kenapa cara mama bercakap seolah-olah ayahnya masih wujud lagi?

Tidak mungkin mama menipu selama ini. Selama hayatnya dia memang mendambakan kehadiran seorang ayah. Tanpa seorang ayah dia diberikan bermacam-macam gelaran. Malah dia pernah dituduh sebagai anak luar nikah. Orang kampung selalu memandang serong terhadap mama sebagai seorang balu. Bermacam cerita yang direka untuk menjatuhkan maruah mama, balu muda yang masih cantik bergetah dikatakan penggoda suami orang.

Sebagai anak yang turut mendengar segala tohmahan, dia tidak mampu menahan telinga. Mulutnya ringan mahu mempertahankan mamanya. Tapi apalah sangat mulutnya seorang mahu dibandingkan dengan berpuluh mulut berbisa yang lain. Disebabkan itu dia selalu bermimpi mengharapkan ayahnya masih ada. Ingin merasakan kasih seorang ayah. Mimpi yang takkan pernah menjadi kenyataan. Dan sekarang kenapa isu seperti ini timbul sedangkan dia tidak pernah bermimpi lagi?

Mungkinkah ayah masih hidup dan mama telah menipunya selama ini? Tapi, kenapa? Apa yang telah berlaku sebenarnya? Atau mungkinkah dia memang anak luar nikah seperti yang dituduh orang kampung?

Tidak! Mama bukan begitu. Mama terlalu baik untuk melakukan penzinaan. Andai mama perempuan murahan, tentu sudah lama menerima pujukan rayu lelaki-lelaki yang datang mencuba nasib. Mama tidak pernah melayan. Diteruskan hidup sebagai balu biarpun ditohmah sebusuk-busuknya.

Tentu ada alasan di sebalik semua ini walaupun dia sendiri sering tertanya-tanya kenapa mama tidak pernah menyimpan sebarang gambar ayah. Malah, berat benar bibir itu mahu bercerita tentang lelaki yang bergelar ayah kepadanya. Dan dia menyangka mamanya sekadar tidak mahu membuka cerita sedih. Mungkinkah sebenarnya mama membenci ayah? Benci sebencinya?

Argh, semuanya terlalu memeningkan. Dia mahukan jawapan namun reaksi mama siang tadi sudah cukup untuk memberitahu yang mama tidak mungkin akan membuka cerita. Dia mengeluh buat kesekian kalinya.

Matanya dikatup rapat untuk menghilangkan tohmahan-tohmahan 'mereka' terhadap mama dan dirinya lama dahulu yang tiba-tiba datang ke minda setelah lama ia pergi. Semuanya gara-gara fikirannya yang tertanya-tanya...

Bisikkan NamakuWhere stories live. Discover now