Part 8

1.5K 29 0
                                    

PELUH yang merenik di dahi dikesat dengan hujung lengan baju. Seperti biasa pantang nampak bola, pantas dikejarnya. Hobinya yang satu ini memang tak boleh ditinggalkan. Pertemuan kali pertamanya dengan Qushri juga bermula di sini. Pertemuan yang memberikan kepuasan kepadanya untuk bermain futsal sebaik mungkin.

Qushri yang melihat bakatnya dalam menggelecek bola ketika bermain bersama teman-teman sepejabat sekadar suka-suka dua tahun yang lalu terus menegurnya, bertanya jika berminat bermain futsal secara serius. Lalu dia tidak segan-segan menyertai geng yang terdiri daripada Qushri, Zoom, Botak dan Sepet. Hanya dia satu-satunya gadis di situ. Namun sedikitpun tidak membawa perbezaan memandangkan gayanya yang lebih kurang tomboi dengan susuk tubuh kurus tinggi ala jantan itu.

Qushri agak serius dalam menyertai sukan yang satu ini. Selalu menyertai pelbagai pertandingan tetapi tidaklah hingga ke tahap profesional. Qushri tidak punya terlalu banyak masa untuk menumpukan pada sukan yang diminatinya ini. Kerjanya selalu on call. Masakan boleh menumpukan perhatian pada futsal semata-mata. ​

"Ritz! Pass kat aku!" laung Qushri lantang. Ritz pantas menurut. Memang dia dengan Qushri geng yang kamceng. Adanya dia dan Qushri, kumpulan mereka selalu menang.

"Cayalah, Qush!" jerit Ritz. "Give me five." Riak wajah ceria tertera di wajah mereka apabila satu lagi bola tembus gawang lawan. Telapak tangan mereka berlaga.

"Kau yang pass kat aku," ujar Qushri tidak mahu mendabik dada seorang diri. Ritz membalas dengan sengihan panjang.

"Game!" jerit Botak salah seorang ahli kumpulan mereka setelah referee meniup wisel penamat. Lima berbalas satu. Memang gempak keputusan malam ini. Malam ini mereka boleh tidur dengan senyuman di bibir.

Mereka berehat sebentar di tepi gelanggang sambil meneguk air mineral.

​"Minum?" Qushri menawarkan botol air bekas minumnya di tangan pada Ritz.

​"Minumlah, air aku ada dalam kereta kau."
Qushri terus menuntum air itu sampai habis. Kemudian mereka semua bersalaman dengan pasukan lawan dan rakan sepasukan yang lain.

​"Jom balik," ajak Ritz dan bergerak keluar dari gelanggang menuju ke arah kereta Qushri. Dia mahu mendapatkan botol air yang disimpan di beg galasnya yang ditinggalkan di dalam kereta. Tekak yang kering mahu dibasahkan segera. Qushri menyaingi langkahnya di sisi.

Baharu sahaja Ritz mahu melangkah kakinya keluar dari gelanggang, sekelip mata sebiji bola mengena tepat dahi sisi kepalanya.

Bam! Berdesing kepala Ritz dibuatnya apabila bola yang tadinya di tangan Zoom mengena tepat ke sasaran.

"Err... Sorry, aku tak sengaja." Zoom panik juga.
Pandangan Ritz yang berpinar membuatnya hampir jatuh terduduk. Mujur ada tubuh tegap di sisinya untuk berpaut menghalangnya daripada terjatuh. ​

"Kau okey ke, Ritz?" soal Qushri risau. Tangannya kejap memaut pinggang gadis yang masih tidak mampu berdiri tegak itu.​

"Aku... Okey kut," balas Ritz perlahan, terus menolak tubuh lelaki itu jauh sedikit daripadanya. Tidak selesa apabila pinggangnya dipaut kemas oleh tangan sasa itu, membuatkan jantungnya berdegup tidak menentu. Terasa terlalu intim tiba-tiba. Tidak bagus untuk perasaannya.

Qushri tidak memberi sebarang komen dengan tindakan gadis itu yang tiba-tiba mahu menjarakkan diri. Hanya berlagak biasa. Bagai tindakan gadis itu tidak terkesan padanya. Bagai hanya satu tindak balas normal oleh gadis itu.

"Kau, apasal baling bola tu kat kepala aku?" soal Ritz agak marah dengan tindakan Zoom. Sudahlah balingan itu begitu kuat. Kepalanya masih lagi berdesing akibat hentaman bola tadi. Tajam matanya memandang lelaki berkaca mata ala goggle itu. Disebabkan stail kaca mata seperti itu yang mewujudkan nama samaran 'Zoom'.​

"Sorry, beb. Aku tak tahu pulak kau nak berangan tadi. Selalu kau sambut relaks aje bila aku pass kat kau bola tu," balas Zoom selamba.

"Aku berangan?" Terangkat kening Ritz dengan komen itu.

"Haah. Kau apasal malam ni, Ritz? Main tadi pun kau tak fokus. Kalau kau fokus bukan setakat lima... Sepuluh gol pun kita boleh score tahu," sampuk Sepet.

"Kau ada problem ke, my dear?" soal Botak turut prihatin. Antara lelaki berempat itu hanya Botak yang memandangnya sebagai perempuan. Selalu memanggilnya dengan panggilan manja untuk perempuan. Lelaki itu seperti telah menganggapnya sebagai adik memandangkan jarak umur yang ketara di antara mereka. ​

"Sorry. Aku pun tak tahu apasal aku tak fokus malam ni," tutur Ritz mengakui salahnya. Dia tersenyum penuh rasa bersalah.

"Malam ni lepak mana?" sela Zoom.

"Tempat biasa," sampuk Sepet berjalan menuju ke kereta mendahului yang lain.

"Aduh." Ritz terjerit kecil apabila kepalanya diketuk dari belakang. Langkahnya terhenti lalu dia menoleh dengan renungan tajam. Tahu sangat siapa yang begitu berani bermain dengan kepalanya. ​

"Apa ni?" Digosok-gosok perlahan kepalanya yang terasa sengal. Belum habis pening dihentam bola, diketuk pula lelaki ini. Apalah nasib kepalanya malam ini?

"Kau tahu kan kau boleh cakap kat aku kalau kau ada problem? Jangan nak simpan sorang-sorang. Apa guna kawan, kan," tutur Qushri cukup bersahaja.

Ritz tersenyum nipis. Walau lagak lelaki itu cukup bersahaja bagaikan tidak punya emosi, mata lelaki itu tetap menunjukkan rasa prihatin terhadapnya. Dia tahu dia sentiasa boleh mengharapkan Qushri untuk mendengar masalahnya.

"Aku tahu. Kau memang tak boleh tengok aku bermasalah sikit. Mesti nak menyibuk. Qush... Kalau semua masalah aku kau nak tahu, aku takut aku ni tak boleh berdikari kalau kau tak ada. Don't spoil me too much, okay," komen Ritz dalam nada bersenda.
Biar dia bersyukur punya sahabat yang selalu membantu tika dalam kesusahan, dia tidak mahu terlalu bergantung pada lelaki itu. Sampai satu waktu lelaki itu takkan selalu ada untuknya lagi.

Apabila lelaki itu sudah berkeluarga nanti, hubungan mereka akan semakin jauh.
Sahabat hanya nombor tiga setelah isteri di tempat kedua dan ibu di tempat pertama seorang lelaki. Dia selalu mengingatkan diri tentang itu. Qushri bukan miliknya untuk bersandar sepenuhnya. Lagipun sudah banyak pertolongan yang diterimanya daripada Qushri. Dia tidak mahu menjadi beban sedangkan dia tidak pernah berbuat apa-apa untuk lelaki itu.

"Helo... Korang dua orang tercegat apa kat situ? I'm starving you know," laung Zoom yang sudah menanti di kereta bersama Sepet dan Botak.
"Jalan cepat," gesa Qushri memaut bahu gadis di hadapannya memaksa gadis itu melangkah lebih laju.​

"Aku jalanlah ni." Walau dia tidak mendapat balasan daripada Qushri, dia tahu lelaki itu memahami kata-katanya.

Bisikkan NamakuWhere stories live. Discover now