Bab 10

1.5K 19 0
                                    


Adam kerutkan dahi. Rambutnya diraup perlahan. Hajah Rosnah yang sedang duduk di hadapannya itu dipandang tak berkelip.

"Yang kamu tercengang macam tu kenapa?" Nafas dihela. Rasanya sudah hampir lima belas minit dia memberitahu tentang lamaran yang datang tiba-tiba itu tetapi riak Adam masih juga sama. Sekejap diam...sekejap mengeluh dan ada kala meraup rambut seakan sedang meredakan perasaan sendiri.

"Adam masih terkejut lagi ni mak. Macam tak percaya dengan apa yang Adam baru dengar." Kepala digeleng dan nafas dihela lagi. Mahu tak terkejut kalau tiba-tiba ada perempuan yang tidak dikenali datang melamar.

"Sudah kamu liat sangat nak kahwin sebab tu Allah gerakkan hati perempuan tu lamar kamu. Lagipun bukan Adam pernah cakap dengan mak yang Adam tunggu perempuan yang datang meminang Adam?" Hajjah Rosnah sudah mula membebel. Umur dah semakin tua tapi suruh kahwin pun banyak sangat alasannya. Pilihan dia dan suaminya ditolak. Pilihan tok wannya juga Adam tidak berkenan. Sampai merajuk orang tua itu dibuatnya. Memikirkan ibu mentuanya itu, letih juga dia. Apa tidaknya, sejak penolakan Adam, wanita tua itu terus diam menyepi. Masih marah barangkali.

"Siapa dia tu mak?" Soal Adam akhirnya. Walau bingung dia ingin tahu juga siapa yang melamarnya.

"Anak saudara mak cik Liza."

"Mak cik Liza mana?" Adam kerutkan dahi semakin dalam. Emak ni pun satu macamlah dia kenal semua kenalan emak.

"Ya Allah budak ni. Mak cik Liza pun tak kenal? Emaknya si Mizilah." Beria Hajjah Rosnah bercerita.

"Oh!" balasnya sepatah.

"Budak perempuan tu anak saudara mak cik Liza dan sepupu Mizi."

"Adam kenal dia ke?"

Hajjah Rosnah terdiam kemudian menggeleng. "Rasanya tak sebab mak pun tak pernah jumpa dia lagi. Tapi mak cik Liza kata masa kenduri Mizi hari tu dia ada."

Adam diam memikir. Memang Mizi ada menyebut tentang sepupunya itu tapi dia langsung tak ambil pusing. Jual mahal kononnya. Gelaknya dalam hati. "Entahlah. Adam tak perasanlah mak."

"Dari cerita mak cik Liza, anak saudara dia tu belajar dekat luar negara. Balik ke Malaysia kerja di Kuala Lumpur dekat enam tahun sebelum balik kerja dekat Kuantan. Balik pun sebab ayah dia dah meninggal dan nak temankan emak dia dekat sini." Panjang lebar Hajjah Rosnah bercerita.

Kepala diangguk. "Siapa nama dia mak?"

"Husna...doktor Husna."

Oh! Doktor. Adam berbisik dalam hati. "Ermmm...berapa umur dia?" Adam mula menunjukkan minat. Apa tidaknya, sesuatu yang pelik kalau perempuan tiba-tiba melamar lelaki. Entah-entah anak dara tua. Fikirnya.

"30 tahun. Muda lima tahun dari kamu."

Adam tersenyum. Hurmmm... sudah diagak. Patutlah kalut sangat hendak berkahwin sampaikan terpaksa melamar lelaki? Sudah berumur rupanya. Entah-entah tak lawa sebab tu tak laku. Hati berbisik nakal. Ya Allah, Adam, cubalah jangan jahat sangat mulut tu! Marahnya kepada diri sendiri.

"Mak cik Liza cuma bertanya sebab anak saudara dia tu yang suruh tanyakan. Tapi kalau Adam tak suka, Adam berhak untuk tolak. Mereka tak paksa." Terang Hajah Rosnah lagi.

"Adam pelik ni, macam mana dia boleh kenal Adam?" Tangan dipelukkan ke tubuh. Otak liar memikir. Rasanya dia tidak pernah kenal dengan mana-mana perempuan bernama Husna selama ini.

"Mak cik Liza kata anak saudara dia tu kenal kamu di masjid."

Bulat mata Adam mendengar jawapan Hajjah Rosnah. Bila masa pula dia berkenalan dengan perempuan di masjid? Ya Allah, bingung pula dia.

UTUSAN CINTA BUAT ADAMWhere stories live. Discover now