Bab 12

60 2 0
                                    


Nafas dihela berat. Sesekali pandangan akan dibuangkan ke arah jalan di hadapan rumahnya. Entah kenapa tiba-tiba hatinya rasa berdebar pula. Sudah tiga jam setengah sejak ahli rombongan meminang pergi tetapi sehingga sekarang masih belum kembali lagi. Apa yang dibincangkan agaknya sehingga mengambil masa begitu lama? Setahunya rumah bakal tunangnya itu hanya di Bukit Pelindung sahaja dan perjalanan ke sana hanya mengambil masa setengah jam sahaja dari rumah keluarganya.

Dari duduk dia terus berdiri. Ya Allah, kenapa degupan hatinya langsung tidak mahu berhenti walau sudah puas dipujuk sejak tadi? Peminangannya ditolak? Arghhh...mana mungkin sedangkan gadis itu sendiri yang melamarnya? Perbincangan tidak berjalan dengan lancar atau keluarga bakal isterinya itu tidak setuju tempoh bertunang dalam waktu yang singkat? Ya, memang dia yang meminta tempoh pertunangan selama dua bulan sahaja sebab dia sudah persiapkan segalanya. Wang ringgit dan dirinya juga.

Haih! Nafas berat dihela lagi dan rambut diraup. Sudah puas berdiri, dia duduk kembali. Cuba meredakan perasaan yang sedang kacau ketika itu tv dibuka. Siaran sukan kegemaranya ditekan tetapi kenapa dia rasa apa yang dipandangnya ketika itu hambar sahaja? Alat kawalan jauh ditekan lagi, lagi dan lagi. Argghhh...kenapa tiada satu pun siaran tv yang menarik perhatiannya?

Sabar Adam. Mungkin mereka dalam perjalanan balik sekarang. Bisiknya memujuk hati sendiri. Jam didinding dikerling sekali lagi. Melihat waktu yang sudah menghampiri pukul lima setengah petang, dia beristigfar. Leka memikirkan tentang urusan peminangan sampai dia terlupa dia belum solat asar lagi. Tidak menunggu, langkah dibuka tetapi baru sahaja selangkah kakinya memijak mata tangga, dia terdengar bunyi kereta masuk ke perkarangan rumah. Langkahnya terus mati dan tubuh dipusingkan. Pandangan terus dijengahkan keluar. Sebaik terpandangkan kereta Honda civik putih miliknya elok terparkir di porch, laju langkahnya diayun menuju ke pintu.

"Amboi abang, tak sabar-sabar nampak gayanya?" Azrina yang baru muncul dimuka pintu menegur. Wajah kalut Adam dipandang dengan tawa kecil di bibir.

"Apa yang tak sabarnya? Abang tolong buka pintu kan?" dalih Adam sengaja menyembunyikan perasaan risaunya.

"Hurmmm...iyalah tu kan?" usik Azrina lagi dan terus masuk bersama barang hantaran di tangan.

Adam ikut masuk. Tidak lama, hajah Rosnah dan haji Badarudin ikut masuk setelah jiran-jiran taman yang mengikuti rombongan tersebut meminta diri untuk balik.

"Jauh sangat ke rumahnya mak sampai dekat lima jam pergi bincang." Adam terus bersuara sebaik hajah Rosnah duduk di hadapannya.

Hajah Rosnah tergelak kecil. "Kenapa? Takut kena tolak ke?" usiknya.

"Mana ada." Balas Adam tersipu-sipu.

"Bakal mak mertua abang tu baiklah. Kan mak?" puji Azrina sebaik suaminya duduk bersama anak-anak mereka.

Hajah Rosnah mengangguk. "Baik dan ramah. Tak sangka pulak orang berjawatan bagus macam tu merendah diri aje sikapnya." Balasnya mengiakan. Bukan setakat bakal besannya sahaja yang baik tetapi bakal menantunya juga nampak lemah lembut orangnya. Sudahlah cantik. Haih, memang cukup pakejlah untuk Adam.

"Untunglah abang dapat mak mertua macam tu. Umur dah lima puluhan tapi masih cantik lagi. Kan bang." Puji Azrina lagi dan suaminya dipandang.

Mizan hanya mengangguk sahaja dengan senyuman. Kalau tanya dia memang itulah riak dia. Malas nak cakap lebih-lebih nanti kena cubit pula. Bukan dia tidak tahu isterinya itu cemburunya macam mana.

"Ermmm... macam mana mak perbincangan tadi?" puas mendengar Azrina menceceh, Adam terus bertanya. Dia sudahlah tidak sabar hendak tahu keputusannya boleh pula Azrina bercerita tentang hal yang apa-apa.

UTUSAN CINTA BUAT ADAMWhere stories live. Discover now