Bab 8 ( nukilan ini telah diterbitkan dalam bentuk novel Kakak Kemboja terbitan Buku Prima )
Sementara itu di rumah nenek Johari.
Azan Maghrib sudahpun berkumandang. Nenek Johari yang tadinya sibuk di dapur masak terus menuju ke ruang tamu. Dia melihat Along sedang tidur terbongkang di hadapan televisyen yang terpasang. Nenek Johari mengelengkan kepala melihat ulah anaknya. Dia mendapatkan anaknya.
"Ish budak ni. Maghrib dah masuk ni masih tidur lagi. Tadi tengok TV, ini TV tengok dia. Kat rumah takde TV ke? Along... Bangun Along. Bangun! Dah Maghrib!" kata nenek Johari sedikit kuat.
Along mengeliat.
"Dah pukul berapa dah mak?"
"Dah pukul 7.31. Azan Maghrib baru je habis. Kamu tak balik tengok anak bini kamu ke? Asyik melepak je rumah aku ni. Bini kamu tak jeles ke ha? Apalah," tegur nenek Johari.
"Ni tunggu si Siti pindah mak. Nak ambik kunci. Lepas tu Along baliklah rumah. Kalau Along balikpun bini saya membebel je. Tak kerjalah. Tak cari duitlah. Pening Along. Rumah ni aman sikit Along nak tidur.
Alamak... Along tertidur dari pukul 5 ke tadi. Alah... Nak ambil kunci," serta merta Along bangun.
"Kalau emak jadi bini kamupun mak bising. Asyik terbongkang dalam rumah. Makan tidur. Itu sahaja yang kamu tahu. Bukannya nak menolong bini kamu. Kenapa kamu tak ambik kunci dengan dia tadi?"
"Emakkan tahu Along ni malas bekerja dengan orang. Semua tak puas hati dengan Along. Lagipun sekarang ni kerja kampung semua pendatang ambik. Lagipun Along ni makin tua. Dah tak kuat macam dulu.
Ambil kunci dengan Siti? Malaslah Along nak mengadap dia."
"Malas?"
"Yalah. Along minta supaya tinggal sikit barang barang dalam rumah tu. Kan Along nak buat homestay rumah tu. Jadi kenalah ada perabot dan alat elektrik. Malas nak beli baru. Tapi dia pi angkut semua barang barang. Dia tinggalkan perabot yang tak nak pakai. Angin Along," jelas Along.
"Padan dengan muka kamu. Nak senang je. Nak bisnes... Kenalah keluar modal sedikit. Ini semua nak percuma."
"Along minta modal RM 5000 pun dia tak kasi. Mesti dia nak joli dengan duit arwah angah. Angin betul Along."
"Kamu minta dengan dia kenapa. Dah tentu dia nak pakai duit tu nak mulakan hidup baru."
"Habis. Makpun tak bagi kat Along duit KWSP arwah. Emakpun nak makan seorang. Nak buat itu. Nak buat ini. Along mintalah kat dia."
"Kamu nak berapa?"
"RM 5000."
"Rumah dah ada. Nak buat apa sampai 5 ribu? Nak pasang aircond? Pasang kipas dahla."
"Nak cat balik. Betulkan rumah. Ni ha... Kena masukkan TV. TV mesti yang flat. Kalau tak jangan haraplah orang nak mmenyewa. TV sahaja dah RM 1000. Perabot baru. Nak buat marketing lagi."
"Ada ke orang nak menginap kat homestay kamu tu. Kampung kita ni apa yang ada? Pokok getah? Kelapa sawit? Jangan kamu hangat taik ayam sudahlah. Homestay dah kemana. Kamu ntah kemana."
"Mak... Homestay ni kalau kenduri kendara, yang datang tu jauh... Diorang sewa homestay. Mat Salleh suka homestay ni. Kalau susah sangat saya sewa je. Sebulan RM 500. Habis cerita. Dapat juga duit belanja dapur."
"Nanti aku bagilah RM 2 ribu. Kamu jangan ganggu Siti lagi. Dia baru nak mulakan hidup baru. Dah, kamu pergi ambil kunci dia. Nanti takut mat pit yang jumpa kunci. Melepas kamu."
"Maghrib ni mak."
"Pergilah. Nak tunggu bila lagi? Lepas tu balik rumah kamu. Anak bini kamu menunggu tu."
"Yelah. Mak bagi saya 2 ribu tau."
"Yelah. Pergilah."
"Ok. Sayang mak ketat ketat."
"Kalau pasal duit barulah nak sayang ketat ketat."
Along menunggang motorsikal ke rumah Siti yang terletak kira kira 300 meter dari rumah emaknya. Dia terlalu suka hati lalu menyanyi nyanyi kecil dan bersiul.
"Lepas ni kayalah aku. Kalau sehari aku caj rm 150. Sebulan sudah RM 4500. Perghhh. Terus aku tukar kereta buruk aku tu. Nak ambil Honda City. Baru nampak OKB. Baru awek kampung ni pandang aku. Ni kacau budak kilang naik motor cabuk. Mana nak pandang. Hahaha," kata Along berangan.
Dia semakin hampir dengan rumah peninggalan adiknya. Dari jauh rumah nampak gelap tidak berpenghuni.
"Perghhh! Gelap gila rumah. Tak pasang lampu ke? Pasanglah lampu kat luar rumah. Dalam rumah ke. Ini tinggal macam tu je. Adik ipar aku ni memang nak kenakan aku kot. Dahla aku ni lemah semangat. Pui!"
Dia membonceng motorsikalnya masuk ke laman rumah. Hanya lampu motor menyinari. Apabila sampai di depan pintu rumah, motorsikal ditumpang. Enjin motorsikal tidak dimatikan. Memang jelas bunyi semput dari enjin motorsikal menandakan sudah lama tidak diservis. Mata Along melilau sekitar kawasan pasu untuk mencari kunci yang diletakkan oleh Siti.
"Mana pulak kunci ni dia letak? Berapa banyak pasu da. Takkan aku nak jenguk semua pasu," omel Along.
Dia menunduk dan mengangkat pasu yang pertama. Tidak ada kunci. Dia mengangkat pasu kedua dan ketiga. Nyata tidak ada.
"Mana pulak si Siti ni letak kunci. Nak main main dengan aku ke?" marah Along.
Dia mengangkat pasu yang keempat... Juga tidak ada.
"Jilake," marahnya
Tiba tiba satu tangan menghulurkan segugus kunci. Along mengambilnya.
"Ha. Nipun kunci. Terima kasih ya," katanya lalu bangun tanpa memandang tangan yang memberi kunci.
Dia terus bangun menuju ke motornya. Lalu dia menaiki dan membonceng motornya berpatah balik ke pintu pagar. Baru sampai pintu pagar di berhenti.
"Sekejap. Siapa yang bagi aku kunci tadi?" tanyanya.
Jantungnya mula berdebar debar. Pelbagai cerita mistik di kampungnya mula berlegar legar di fikiran. Peluh di dahinya mula merencik. Along menelan air liurnya. Perlahan lahan dia memusingkan kepalanya ke belakang untuk melihat ke arah rumah peninggalan adiknya.
Dia terkedu apabila melihat lampu di dalam rumah terpasang. Dalam samar samar ada kelibat berwarna putih berdiri di salah satu tingkap yang tidak berlangsir. Tanpa berlengah dia menoleh ke hadapan semula. Seorang wanita yang berwajah menyeramkan kini di hadapan motornya.
"Bang... Abang tinggal kunci motor," katanya lalu menghulurkan kunci motor milik Along.
Along memandang tempat kunci motor dipulas. Ternyata kunci itu tiada!
"Be be be be... Ja... Ja.. Ja. Hu hu.. Hantu!!!!" jerit Along lalu melompat dari motornya dan mengambil langkah seribu.

ANDA SEDANG MEMBACA
Akak Kemboja
HorrorSiti adalah seorang ibu tunggal telah dihalau oleh emak mertua dan abang iparnya dari rumah peninggalan suaminya. Bersama anaknya Johari yang berusia 7 tahun, mereka terpaksa berpindah ke sebuah flat di Bandar Baru Bangi kerana dia bekerja di salah...