Malam itu aku dan Muhammad tak dapat makan malam bersama. Dia kena serang gastric lagi. Aku nak pergi tengok dia dekat rumah sebab risau tapi dia tak benarkan. Dia tak bagi aku keluar malam. Aku cuba lapangkan hati.
"Iman... Jangan risau sangat, boleh tak? Adik diakan ada. Boleh jaga dia dekat sana. Esok kau jumpalah dia." Aku pujuk diri sendiri.
Jam baru menunjukkan pukul sepuluh malam. Aku nak masak tapi tak ada selera makan. Karang membazir aje. Nak tidur tapi mata segar-bugar lagi. Takkan lelap punya. Lagi-lagi hati tengah risau. Aku ambil keputusan nak tengok DVD filem hindustan. DVD yang banyak kali aku ulang tayang.
Nak beli DVD baru, memang boleh tapi kena fikir banyak kali. Baik kumpul duit. Boleh beli rumah. Tak adalah asyik nak menyusahkan Muhammad aje. Dalam pukul sebelas malam, aku tutup television dan bangun dari sofa. Nak tidur.
Baru kaki ingin melangkah meninggalkan ruang tamu, aku terdengar satu suara yang pelik. Bulu roma terus mencacak naik. Terasa seram semacam. Bunyi itu makin lama makin jelas di telinga aku. Kalau ikutkan hati, memang dah lama aku lari masuk ke bilik. Menyorok bawah selimut. Nak minta tolong Muhammad, memang sah tak boleh. Dia tengah sakit.
Bunyi seperti suara budak menangis. Aku cuba cari mana datang suara itu. Dekat luar rumah! Dengan debaran yang menggila, aku beranikan diri mendekati pintu. Perlahan-lahan tombol pintu, aku pulas.
Kaki aku terus menapak ke belakang. Terkejut! Depan aku sekarang, seorang bayi yang hanya dibaluti kain batik lusuh, yang diletakkan dalam kotak. Bayi itu menangis sampai merah muka. Aku terus berlari ke luar. Mencari orang yang meletakkan bayi itu depan rumah aku. Takut anak bunian aje.
Kosong. Tak ada sesiapa pun malah kereta pun tak kelihatan. Aku mendekati bayi itu semula. Perlahan-lahan aku mengangkatnya dari kotak dan cuma memujuknya supaya berhenti menangis.
"Shh... Sayang sayang sayang..." Aku menepuk perlahan belakang badannya.
Karang sia-sia kena maki dengan jiran-jiran. Tak pasal-pasal dituduh tak pandai jaga anak.
Aku selongkar kotak tersebut. Tak ada sebarang nota pun. Tangan aku berhenti menggeladah. Kotak sabun pencuci baju keluaran syarikat Muhammad. Aku telan air liur. Satu kebetulan ke?
Logo Chuchi tertera dengan jelas. Dalam kepala dah fikir yang bukan-bukan. Takkan anak Muhammad pula? Tang masa bila dia kahwin? Boleh gila aku kalau betul budak ni anak Muhammad.
Aku berniat nak telefon Muhammad tapi terus aku batalkan niat tu. Muhammad tengah sakit, tak pasal-pasal tekanan darah tinggi mendadak, lain penyakit pula yang mendapat. Aku sabarkan hati. Aku pandang bayi itu lama. Hati sedikit bersyukur sebab langsung tak ada iras muka Muhammad. Aku terkedu. Bukan iras muka Muhammad tapi iras muka aku waktu bayi.
Alah! Semua muka budak kecil, semua lebih kurang sama aje. Apa nak pelik! Tak sampai lima minit, budak kecil itu sudah tidur. Aku tak tahu nak buat apa. Aku bawa dia masuk bilik dan letak atas katil. Aku buka kain batik lusuh itu. Nasib baik dia pakai pampers. Kalau tak, parah juga aku nak keluar cari lampin. Aku buka lampin bayi itu.
Jantina lelaki.
Hailaa...
Anak siapa pula ni? Kenapa letak dekat depan rumah aku? Aku garu kepala yang tak gatal. Tak tahu nak minta tolong siapa.
"Bawa bertenang Iman... Tarik nafas... Hembus nafas. Sekarang memang tak tahu nak buat apa. Kita tunggu aje esok. Biar Muhammad yang selesaikan. Sekarang tidur dulu..."
Aku pandang budak tu. Comel! Itu aje yang mampu aku kata. Putih kemerah-merahan dengan matanya yang membulat besar. Mulutnya yang kecil, sangat comel pada mata aku. Dah lama tak pegang bayi. Dulu aku pernah tolong jaga budak sebab ibu ambil upah jaga budak. Aku anggarkan bayi ini berumur dalam lingkungan tiga bulan.
YOU ARE READING
Dia Setajam Kaktus (SUDAH TERBIT)
RomanceTajuk : Dia Setajam Kaktus Penerbit : Kaseh Aries Publication ISBN : 978-967-2035-30-5 Jumlah Mukasurat : 339 Harga : RM26 (Semenanjung) / RM29 (Sabah & Sarawak) Terbitan : April 2018