Aku menggeliat sebelum bangun. Selesai juga assignment untuk dihantar Isnin nanti. Aku keluar dari bilik menuju ke bilik air. Olivia masih duduk atas lantai di ruang depan rumah sambil memeluk lutut, dengan pandangannya yang menekur ke lantai. Waktu aku baru balik dari kafe sejam yang lepas pun dia sudah ada dekat situ. Dia mengangguk saja waktu aku tegur dia tadi, tak menjawab dengan ceria seperti selalu. Olivia ni dah kenapa? Housemates yang lain pun nampaknya macam tak pedulikan dia. Atau mungkin diorang dah datang bertanya tapi Olivia tak melayan? Entahlah. Apa-apa pun biar aku selesaikan hajat aku dulu.
Keluar dari bilik air, aku lap tangan kering-kering pada tuala yang aku sangkut di belakang pintu. Aku keluar semula dari bilik dan berjalan ke depan, ke arah duduknya Olivia. Olivia seakan-akan tidak menyedari aku yang menghampiri dia. Aku cuit sedikit lengan dia. Dia mendongak, kemudian menunduk semula. Aku cuba meraih kedua-dua belah tangan Olivia. Dia tidak membantah. Perlahan-lahan, aku tarik dia supaya bangun. Aku bawa dia masuk ke bilik. Sampai di katil, aku dudukkan dia. Dia mengikut saja, seperti anak kecil yang menurut kata. Aku tutup pintu kemudian capai pensel dan buku nota di atas meja. Aku menulis di atas kertas buku itu dan menunjukkan pada dia.
Kenapa ni?
Soalan aku tak berjawab. Aku dapat lihat mata Olivia semakin membasah. Pelan-pelan, air mata dia mengalir. Aku terus peluk kemudian usap-usap belakang badan dia. Terhinggut-hinggut bahu dia dengan tangisan yang sepertinya ditahan. Mungkin dia tak nak housemates yang lain dengar. Lama juga Olivia menangis, sampailah dia melepaskan pelukan.
"Michael tak nak anak ni, Tia.." Olivia meluahkan dengan tangisan yang masih bersisa. "Dia suruh aku gugurkan.."
Dahi aku berkerut. Aku menggeleng perlahan. Tergamaknya seorang lelaki melayan seorang perempuan sebegini. Anak dalam rahim Olivia, dia ingat itu anak tikus ke boleh diberi pilihan nak dibela atau tidak? Astaghfirullahal adzim. Aku menulis lagi di buku nota.
Kenapa dia sanggup buat kau macam ni? Habis tu macam mana dengan study? Kau kena berpantang nanti kan?Paling kurang pun dua minggu.
"Aku dah bincang dengan dia. Aku nak anak ni, Tia..tapi dia cakap dia tak sedia. Mungkin aku akan minta cuti khas atau aku ponteng saja kelas selama dua minggu. Michael akan jaga aku." Olivia mengelap air mata guna lengan baju.
Aku tak tau nak cakap apa, Oli. Kalau nak ikut, aku tak setuju kau nak gugurkan kandungan tu. Tapi..aku pun tak tau nak tolong kau macam mana.
"Takpe, Tia. Kau tolong tenangkan aku macam ni pun dah cukup. Aku hargai sangat tau." Suara Olivia serak.
Aku kesian tengok Olivia. Air mata dia masih mengalir. Aku pandang tepat mata dia, aku lapkan air mata guna ibu jari. Esakan dia masih sama macam tadi. Aku tak tahu macam mana nak pujuk. Aku kembali mencapai pensel dan buku.
Oli, jangan la menangis dah. Nanti badan kau lemah. Malam ni kau tidur bilik ni je la. Sarah tak ada.
"Sarah pergi mana?"
Duduk rumah kawan. Kat Fasa 2.
"Tia..." Aku pandang wajah Olivia, memberi respon pada panggilan dia. "Kita rapatkan katil boleh?"
Aku mengangguk kemudian tersenyum. Lega hati aku apabila dapat lihat Olivia membalas senyuman walaupun dia masih teresak-esak. Sayunya aku lihat dia. Aku pun rasa sebak, rasa nak menangis tapi aku tahankan saja. Aku tak nak dia lebih sedih. Tidak dapat dibayangkan sekiranya aku yang berada di tempat dia. Adakah aku akan berbuat perkara yang sama? Astaghfirullahal adzim. Minta simpang, Ya Allah.
Aku pinjamkan sebiji bantal kepada Olivia. Kemudian kami mula merapatkan katil.
Malam itu aku lambat lelap. Aku asyik terfikirkan fasal Fazreena. Aku harap dia baik-baik saja. Janganlah dia buat perangai degil dia selalu. Aku kesian dekat ibu. Olivia masih memeluk pinggang aku walaupun dia sudah terlelap. Aku tahu Olivia ni jenis yang manja. Pasti dia rindukan ibunya yang jauh di Sarawak. Sudah setahun dia tak balik ke sana.
Tak semena-mena aku teringat akan Sarah. Sampai bila kami nak bergaduh, nak bermasam muka? Perlukah aku berjumpa Sarah dan meminta maaf? Tapi salah aku ke? Esoklah fikir. Aku kena tidur sekarang ni. Dah tengah pagi.
YOU ARE READING
Dengarkan Aku
RomanceTemani aku, setia denganku. Tetapkan pendirianmu, percayalah aku. Walau ia payah untukmu, dengarkan aku. Ini hanya sebuah kisah yang jarang-jarang diceritakan, berlatarkan kehidupan orang kebanyakan, yang juga mengenal apa ertinya cinta.