*Hmm...dah lama aku tak update kan? Mungkin dah setahun. Jadi, bermula pada hari Khamis, 14 Mac 2019 ini aku akan mula update semula. Aku akan cuba siapkan manuskrip ni. : )
"Petang ni kelas cancel kan? Jadi, apa kata kalau kau keluar dengan aku?"
Aku mengerutkan dahi membaca mesej dari Hakimi. Nak ajak aku pergi mana pula? Aku kalau sudah duduk memandang laptop, buat kerja memang tak mahu ke mana sampailah semuanya selesai.
"Nak ke mana, Kimi? Aku tengah buat assignment Madam Radhia. Malas nak keluar."
"Tapi hari ni penting. Kau kena ikut aku, Tia. Urgent!"
"Nak pergi mana?" Aku ulang semula pertanyaan tadi yang masih tidak berjawab.
"Ada lah. Kau siap-siap, lagi setengah jam aku jemput kau bawah blok. Pakai cantik-cantik sikit tau."
"Okey." Aku menaip jawapan balas itu dengan dahi yang berkerut dan rasa tertanya-tanya. Entah apa yang penting sangat, aku pun tak tahu.
****
Hakimi menghentikan pemanduannya di hadapan sebuah rumah banglo dua tingkat bercat kuning cair. Dahiku berkerut. Entah ke rumah siapa dia bawa aku. Aku kalih ke kiri, pandang Hakimi. Hakimi mengangkat keningnya, seraya mempamer senyum.
"Kita dah sampai," katanya.
"Sampai ke mana? Rumah siapa ni?"
"Rumah mama. Jom, Fatia. Mama dah tunggu kat dalam."
Baru aku teringat. Sebelum ini Hakimi pernah kata nak bawa aku jumpa mama dia. Tapi tak sangka pula secepat ini. Mengenangkan itu, aku jadi sedikit gugup. Perlahan-lahan, aku membuntuti Hakimi yang sudah agak jauh melangkah ke hadapan, memasuki halaman kediaman mewah itu.
Aku terpegun saat mata tertancap pada halaman rumah yang luas. Tanahnya menghijau dilitupi rumput segar yang kelihatannya seperti permaidani. Di sebelah kiri halaman, terdapat kolam ikan dengan air yang mengalir, menerbitkan bunyi aliran air yang menenangkan. Berdekatan dengan kolam ikan, adanya kerusi-kerusi dan meja berwarna putih dilengkapi kanopi kecil yang juga berwarna putih. Di suatu sudut tepi pagar rumah ini, kelihatan pokok-pokok renek dan bunga-bungaan yang tumbuh subur, tentunya dipelihara dengan rapi. Subhanallah, indahnya! Di sudut kanan halaman pula terparkir dua buah kereta mewah yang aku tidak pasti jenamanya.
"Fatia!" Spontan, aku menoleh ke arah punca suara. "Kenapa tercegat dekat situ? Sini la, kita masuk." Sebelah tangan Hakimi menggamit, mengajakku datang kepadanya.
Perlahan-lahan, aku atur semula langkah. Debar tadi kembali datang. Melihat senyuman Hakimi buat aku terasa lebih tenang. Aku juga ikut tersenyum. Nafas yang tidak tentu sebentar tadi, cuba kuatur supaya selari dengan langkahan. Sebaik aku sampai di depan pintu, terlihat seorang wanita sedang tersenyum, bersedia menyambut kami. Aku menyua kedua-dua tangan, menyalami tangannya dan mencium pipi kiri dan kanan, tanda mesra.
"Apa khabar?"
Aku gerakkan bibir mengucap 'Alhamdulillah' kemudian 'bercakap' guna tangan. "Baik, mak cik."
Senyumannya tiba-tiba mati melihat perbuatan aku menggerakkan tangan. Sekejap cuma, dia kembali menayang senyum dan mempelawa aku masuk. Mungkin dia terkejut atau tak menyangka aku sebenarnya tidak dapat berbicara pakai suara. Dan mungkin, Hakimi belum bercerita lebih lanjut tentang aku kepada mamanya.
Dua orang wanita berpakaian dress yang sama warnanya, datang meletak kasut-kasut rumah sebelum kami masuk. Mungkin itu antara orang gaji di rumah ini. Sukar untuk aku mengawal mata dari meliar saat aku masuk ke dalam rumah. Subhanallah, mewahnya hiasan-hiasan yang tersusun dalam rumah ini. Semuanya bersih berkilat seperti baru. Ruang rumah yang luas, dilengkapi dengan lampu-lampu hiasan yang tergantung di siling. Perabot-perabot di dalam rumah yang bertemakan warna merah, kelabu dan putih menyerikan lagi suasana rumah ini. Aku tahu Hakimi datang dari keluarga yang berduit. Tapi aku tak sangka bahawa dia sekaya ini. Inilah rumah paling besar yang aku pernah lihat dengan mata kepala sendiri. Jauh berbeza dengan rumah keluarga aku di kampung. Agaknya, apa rasanya tinggal dalam rumah yang sebesar ini ya?
"Mama ada buat daging masak hitam kegemaran Kimi. Lauk-lauk lain pun ada tu, semua Mak Tijah yang siapkan. Jomlah kita makan dulu," katanya waktu kami menghampiri meja. Beberapa orang wanita di dapur berpakaian dress sedang sibuk menghidang lauk dan mencedok nasi ke dalam pinggan. Lauk-pauk memenuhi meja. Macam hidangan untuk lima orang makan!
"Duduklah, Tia. Sila, sila. Jangan malu-malu." Hakimi mempelawa aku duduk di sebelahnya. Tapi aku segan. Jadi aku memilih untuk duduk di sebelah kiri mamanya saja.
"Papa tak balik makan tengah hari ke?" Hakimi kembali bersuara.
"Tak. Tak sempat katanya. Busy sangat kat office, tengah sibuk dapatkan tender untuk projek baru." Sambil bercakap, tangannya mencedok lauk daging masak hitam ke pinggan Hakimi. Manjanya Hakimi. Dah besar pun, mamanya masih lagi mahu mencedokkan lauk ke pinggan. Tersenyum aku mendengar perbualan mesra mereka berdua. Kelihatan sangat rapat. Mungkin kerana Hakimi tidak ramai adik-beradik. Cuma ada dia dan abang dia. Hakimi pernah beritahu bahawa abangnya lebih rapat dengan papa.
"Kamu berdua ni dah lama kenal?"
Soalan yang terpantul dari bibir mama Hakimi itu membuat aku sedikit tersentak. Terhenti suapan. Aku memandang Hakimi, Hakimi juga memandang aku.
"Sejak sem satu, ma. Kami sama kelas. Tia ni orang Perak tau, ma."
Aku mengangguk sebagai mengiyakan semua yang Hakimi bicarakan.
"Kat kampung dia ada sawah padi. Waktu kelas photography, Tia ada tunjuk gambar pemandangan kampung dia. Dia tangkap gambar pemandangan tu untuk assignment. Siap ada gambar kawan dia naik bot dekat laut, ada pokok bakau, ada orang cari kerang, tangkap ketam... Macam-macam tau, ma."
"Mama tanya sikit je. Bukan main lagi kamu jawab iye."
"Hahahaha! Takpe la, ma. Apa salahnya. Kenal-kenal sikit dengan bakal menantu mama ni."
Hampir tercekik aku mendengar ayat akhir dari Hakimi. Beraninya dia. Takut-takut aku memandang mamanya. Mamanya tersenyum. Namun senyumnya seperti tidak ikhlas. Tidak begitu ceria nampaknya. Atau itu semua cuma perasaan aku saja.
YOU ARE READING
Dengarkan Aku
RomanceTemani aku, setia denganku. Tetapkan pendirianmu, percayalah aku. Walau ia payah untukmu, dengarkan aku. Ini hanya sebuah kisah yang jarang-jarang diceritakan, berlatarkan kehidupan orang kebanyakan, yang juga mengenal apa ertinya cinta.