"Tia, kau okey?" Hakimi bertanya waktu kami baru saja masuk ke dalam kereta. Mamanya yang menghantar kami sampai ke halaman, sudah kembali masuk ke rumah. Lambat-lambat, aku mengangguk. Hakimi tersenyum melihat aku.
"Kau gementar eh?"
Belum sempat aku menjawab soalan Hakimi, fon di dalam beg berbunyi nyaring. Segera aku seluk tangan ke dalam beg, menggagau-gagau fon. Di skrin terpapar nama 'Elias'. Sudah lama nama itu tidak muncul di atas skrin. Aku leretkan jari ke kanan dan lekapkan fon pada telinga.
"Assalamualaikum Tia." Suara serak basahnya menyapa telinga. Aku mengetuk skrin fon sebanyak dua kali seraya menjawab salamnya di dalam hati.
"Elias harap Tia tenang dengan berita yang bakal Elias sampaikan ni." Lambat-lambat Elias bersuara. Di hujung talian, aku seperti mendengar suara-suara yang sepertinya sedang cemas. Tak semena-mena aku mendengar suara seseorang yang sedang meraung memanggil nama 'Ibu' berkali-kali. Serta-merta jantung berdegup laju apabila aku sedar itu suara Fazreena. Seakan tersekat nafas di kerongkong.
"Tia... Tia baliklah ya. Ibu Tia... Dah tak ada."
Serentak, tangan aku terkulai, terasa langsung lemah. Fon jatuh entah ke mana. Bibir bergetar menahan hiba. Hakimi memandang ke arah aku dengan penuh tanda tanya. Tanpa dapat ditahan, air mata mengalir laju. Terasa bagai pecah tangkai jantung waktu aku dengar ayat akhir dari Elias. Terasa bagai direnggut seluruh jiwa, dihempas pecah ke lantai.
"Tia, kenapa ni? Kenapa tiba-tiba kau nangis? Cakap dengan aku."
Aku cuma dapat memandang tepat ke matanya. Pandangan jadi berbalam-balam dikacau air mata. Sekali lagi dia panggil nama aku, perlahan. Jelas riak risau di wajahnya.
"Ibu aku..." Aku tertunduk. Terasa tidak sanggup. Semuanya seperti suatu mimpi yang buruk. "Ibu aku dah tak ada..." Terhambur tangis di hadapan Hakimi.
Hakimi tercengang. Dia juga sepertinya tidak tahu mahu buat apa.
"Macam ni, Tia. Kita balik kolej kejap, kau ambil barang-barang kau. Aku hantar kau balik kampung." Suara dia membuat aku terus memandang mata dia. Namun tiada kata yang mampu keluar dari ulas bibir aku.
"Boleh?" Dia bersuara lagi. Kali ini dia memegang kedua-dua bahu aku. Perlahan-lahan, aku mengangguk.
Perjalanan yang mengambil masa selama lima jam dirasakan bagai bertahun. Sepanjang itu, tidak langsung aku berbicara apa-apa. Minda aku yang sebelum ini sarat dengan pelbagai perkara, terasa kosong. Seperti tercurah semuanya keluar dari telinga, langsung tidak tinggal apa-apa. Bukan aku tidak perasankan Hakimi yang asyik menoleh mencuri pandang. Mungkin dia sedang risau melihat aku yang tidak henti-henti menangis. Aku cuba untuk tidak menjadi terlalu cengeng. Tapi tidak mampu. Jiwa aku tidak kuat kala ini. Berita yang aku dapat sebentar tadi tidak langsung terduga akan terjadi. Ibu yang kuat serba-serbi, pergi dulu berbanding ayah yang terlantar bertahun-tahun.
"You have arrived at your destination."
Suara dari fon Hakimi menyedarkan aku. Aku angkat pandangan yang menunduk sejak tadi. Pemandangan halaman rumah yang sangat aku rindui terpampang di hadapan mata. Bezanya, halaman rumah yang selalunya kosong kini sudah dipenuhi orang. Tanpa sedar, Hakimi sudah membukakan pintu kereta untuk aku.
"Jom, Tia."
Perlahan-lahan, aku bangun dan atur langkah keluar dari kereta. Orang kampung terjenguk-jenguk melihat kami yang baru sampai. Dalam kalangan mereka, aku lihat Elias. Dia datang, terus bersalaman dengan Hakimi tanpa bersuara apa-apa.
"Apa yang dah jadi sebenarnya?" Hakimi bertanya separuh berbisik. Mungkin rasa tertanya-tanya sejak tadi sudah tidak dapat dibendung lagi.
Elias mengeluh. "Menurut doktor, Ibu Tia kena serangan jantung. Lagipun Ibu memang ada hypertension. Mungkin sejak pagi dia sudah rebah seorang diri. Jiran sebelah rumah ni datang waktu tengah hari, nak bersedekah barang makan. Dialah yang jumpa Ibu dekat dapur. Tak sedar dah masa tu. Nadi pun dah tak ada."
"Tia... Masuk ya, jenguk Ibu," sambung Elias sambil mengisyaratkan aku untuk naik ke rumah. Dia seperti melarikan pandangan anak matanya. Mungkin tidak sanggup merenung terus pada aku.
Mata-mata di kiri dan kanan mengiringi aku dari halaman sampailah aku naik ke tangga. Saat aku sampai di pintu, jelas sekujur tubuh sedang terbaring ditutupi kain putih, di ruang tamu yang sudah diubah kedudukan kerusi dan mejanya ke tepi. Bacaan Yaasin bergema di telinga. Aku tercegat di pintu. Cikgu Munirah, ibu kepada Elias bangun dari duduknya, segera memimpin tangan aku untuk datang lebih dekat pada tubuh kaku itu. Aku membiar saja, menurut bagai anak kecil. Di sudut ruang tamu, aku lihat Fazreena duduk sambil memeluk lututnya. Kawan-kawan di sebelahnya kelihatan cuba menenangkan dia yang masih lagi menangis.
Aku bersimpuh di sebelah jasad itu. Aku capai kain yang menutupi wajahnya. Baru aku buka sedikit, kepala terasa ringan yang amat waktu aku pandang wajah Ibu yang sudah pucat dan putih. Cikgu Munirah segera menampung belakang badan, mengelak aku dari rebah. Sekali lagi mata ini basah.
"Sabar, Tia. Sabar banyak-banyak. Jom, Cikgu teman kamu ambil wuduk. Tenangkan diri lepas tu kita baca Yaasin sama-sama ya." Tangannya mengusap lembut belakang badan aku.
"Lempeng kelapa! AKU NAK LEMPENG KELAPA!!"
Serta-merta semua yang berada di ruang tamu mengalih pandang pada punca suara dari pintu bilik yang terbuka.
YOU ARE READING
Dengarkan Aku
RomanceTemani aku, setia denganku. Tetapkan pendirianmu, percayalah aku. Walau ia payah untukmu, dengarkan aku. Ini hanya sebuah kisah yang jarang-jarang diceritakan, berlatarkan kehidupan orang kebanyakan, yang juga mengenal apa ertinya cinta.