BISU

63 9 6
                                    

Aku masih menanti giliran di bank ini dengan kesabaran yang hampir tipis. Well, typical malay man! Aku bukannya penyabar sangat.

Kalau diikutkan kesabaranku yang senipis tisu ini sudah lama gamaknya pekerja di kaunter itu aku lempang sorang-sorang. Siapa suruh buat kerja selambat binatang bernama 'sloth' macam dalam disney movie Zootopia tu?!

Aku tengok nombor giliran di tangan. Nombor 207. Dan sekarang sudah setakat nombor 150. Ya Allah, bila nak habis ni? Kenapa nombor tu hampir dekat? Sebab dah dua jam aku duk bertapa dalam ni. Hesy!!!

Rasa jemu kian bertamu dalam dadaku. Menanti urusan di bank sememangnya lamakah? Aku nak update Amanah Saham Bumiputera (ASB) je pun. Hampeh! Aku duduk dengan wajah yang resah dan terburu-buru.

Menanti dan terus menanti sehingga aku perasan bahawa terdapat seseorang yang melabuhkan punggungnya di kerusi belakangku. Aku tidak mengendahkannya sehinggalah sepasang telingaku menangkap bunyi telefon bimbit berdering dari arah belakang. Deringan jelas menunjukkan bahawa itu merupakan telefon bimbit keluaran tahun 2004 ataupun 2005.

Terlalu ketinggalan zaman. Hesy, kunonya orang belakang aku ni! Sempat hatiku berdesis. Namun, tatkala aku mendengar suaranya menyahut panggilan tersebut, aku terus membisu. Ternyata suara itu empunya seorang gadis yang lemah lembut budi pekertinya.

"Ya, ibu. Ibu jangan risau, Naura dah ada di bank sekarang. Nanti Naura masukkan wang ke dalam akaun adik,"

Naura? Cantik sungguh namanya. Seindah suaranya juga. Suara itu, suara gadis yang taat. Ingin sahaja aku berpaling ke belakang untuk melihat pemilik suara bernama Naura itu. Namun, aku kukuhkan hatiku kerana khuatir aku terlihat sebagai jejaka yang dikatakan, "Amboi, mata bukan main lagi! Cucuk dengan garpu karang, baru tau!" Ya, sangat khuatir. Ah, tak payahlah toleh-toleh segala!

"Ibu tak perlu masukkan wang ibu ke dalam akaun adik. Ibu simpan wang ibu. Jangan risaukan adik-adik, Naura akan menjaga mereka semua,"

Pada kali kedua mendengar suara gadis itu, datang anggapan keduaku bahawa dia ialah gadis yang bertanggungjawab. Aku semakin menguatkan sandaran pada kerusi agar telingaku dapat menangkap jelas kata-katanya.

"Naura baik, ibu. Ibu jaga diri. Nanti Naura masukkan wang ke dalam akaun ibu juga,"

Aku tahu curi-curi mendengar perbualan orang lain bukanlah sesuatu perbuatan yang terpuji, namun entah mengapa nada suara gadis di belakangku itu, yang belum kutatap wajahnya itu terlalu baik. Terasa menimbulkan sesuatu kepada hati. Kenapa 'sesuatu' sangat ni?
Wahai hati, bertabahlah! Pada kali ketiga aku mendengar suaranya itu, aku beranggapan bahawa dia seorang gadis yang cukup berdikari penuh dengan harga diri.

"Ibukan bercita-cita mahu pergi ke Makkah. Setakat jualan tudung-tudung ibu, mana cukup. Lagipun, Naura kan dah janji dengan ibu, mahu menghantar ibu ke Makkah,"

Pada kali keempat aku mendengar suara gadis itu, aku tahu bahawa dia merupakan gadis yang menjaga agamanya. Hatiku ketika itu sudah lupa akan masalah menanti lama di bank itu. Terdetik di hatiku, biar lebih lama begini dan aku suka. Suka terhadap sesuatu perkara yang aku sendiri tidak tahu puncanya.

"Ibu, minggu hadapan Naura balik. Naura rindu sangat kat ibu. Naura nak ibu tinggal dengan Naura, ibu tak nak. Tengok sekarang, hari-hari Naura asyik teringat kat ibu,"

Pada kali kelima, aku terus beranggapan bahawa gadis inj merupakan keturunan yan baik-baik, yang dijaga dan dididik oleh ibunya dengan penuh kasih sayang umpama menatang minyak yang penuh sehinggakan setiap bait kata-katanya kedengaran begitu tulus dan tidak kepura-puraan.

"Ya, ibu. Naura tahu ibu sayangkan Naura. Naura juga sayang sangat dengan ibu. Namun, demi adik-adik, Naura sanggup berkorban. Doakan sahaja supaya semua ini hanya sementara. Ibu jagalah diri baik-baik dan jangan risaukan pasal jodoh Naura. Naura akan mempunyai keluarga juga setelah ibu tidak lagi risau mengenai masa hadapan adik-adik. Namun, pada masa yang sama, biarlah Naura yang tanggung semua kerisauan ibu. Sekiranya tidak semua, biarlah Naura berkongsi kerisauan yang ibu lalui kerana ibu sudah risau sejak hari pertama ibu mengandungkan Naura,"

Pada kali keenam mendengar suaranya, aku mula beranggapan tetapi bukan lagi terhadap gadis itu. Sebaliknya, beranggapan terhadap diriku sendiri. Timbul satu perasaan yang sukar ditafsirkan. Perasaan apakah ini? Jatuh hati? Ya, ternyata aku sudah jatuh hati terhadap gadis itu hanya untuk perbualan yang tidak sampai tiga minit itu. Sah, aku dah mereng!

Lalu, sewaktu aku nekad mahu berpaling ke belakang.

"2-0-7, sila ke kaunter 2 sekarang juga,"

Alamak, saat-saat genting macam ni jugaklah nombor giliranku diseru! Lantas aku membatalkan hasratku untuk berpaling seraya bergegas ke kaunter sambil otak ligat mencari akal atas alasan apa mahu berpaling ke belakang. Mahu berpaling dengan aksi leher lenguh? Itu sudah terlalu basi. Aku memerlukan sesuatu aksi yang lebih daripada sekadar itu bagi melontarkan pandangan pertama yang terbaik. Pandangan pertama? Cewah!

Tatkala urusan di kauter selesai, aku segera berpaling ke arah kerusi di mana gadis itu duduk. Namun, harapan hanya tinggal harapan. Harapanku sudah meleset! Gadis itu sudah tiada di situ. Sudah beredar barangkali. Sangkaku.

Sepasang mataku meliar ke sana sini bagi mencari gerangan gadis yang telah membuka pintu hatiku ini. Namun, hampa! Sayang, aku cuma kenal namanya, suaranya, peribadinya, kisahnya namun tidak pada wajahnya. Pasti wajahnya cantik sekali. Aduh, sayangnya! Di mana aku nak cari dia ni? Cuba dari tadi lagi aku terus berpaling kan senang!

Naura...bukannya hanya seorang gadis di dunia ini yang bernama Naura. Tetapi, berjuta-juta gadis di dunia ini bernama Naura. Namun, Nauraku ini lain! Istimewa orangnya.

Huh!!!

Satu keluhan berat aku helakan. Harris Naufal! Kenapalah hidup kau sadis sangat?! Hidup aku memang selalu macam ni, terbaik sering datang tatkala kita malu berpaling ke belakang. Pada saat kita sudah berani ke belakang, terbaik itu hilang dan hanya digantikan dengan masalah yang meninggalkan impak yang besar kepada otak. Namun, tidak kulupa untuk berdoa kepada Allah SWT agar dipertemukan dengan gadis yang berjaya memetik tangkai hatiku tadi.

*  *  *
#harrisnaufal+naura
#since_10/06/2015
#siapakah_gerangan_si_dia?

Cerpen: Tatkala Idea TertimbusWhere stories live. Discover now