Prolog
Nuren
Aku tahu perkara ini akan terjadi. Aku sedar suatu hari, rahsia sulit aku akan terpecah. Benda busuk, bukan? Tentu aje susah aku nak simpan. Tapi aku tak menyangka aku gementar juga berhadapan saat perpisahan itu. Seluruh alam terasa mengejek aku. Langit gelap seakan mahu menelan diri ini.
"Keluar kau! Pergi jahanam kau!" Suara dia memetir. Amarahnya seperti mencakar-cakar jiwa aku.
"Abang!" Aku cuba berpaut pada kakinya.
"Dasar perempuan jalang! Kau berambus dari sini!"
"Abanggg..." Aku cuba merayu sehingga serak-serak suara.
"Aku kata pergi, pergi... Jangan jejak sini lagi!" jerkah Wanzir.
Ada dua beg plastik sampah yang berikat di tepi jenang pintu. Dengan tenaga jantannya, sekali humban saja dua buah beg itu sampai ke tanah.
Mujur aku sempat mengelak. Bunyi tangis anak-anak menambah bingit suasana. Jiran di seberang jalan sudah mengintai-intai di balik langsir. Orang yang sedang lalu-lalang di jalan hadapan rumah turut sama tertoleh-toleh. Tapi tiada siapa berani campur. Tak ada siapa berani berhenti bertanya.
"Betul ke semua ni anak-anak aku? Ke kau pun tak ingat ni siapa bapak budak-budak ni?"
Aku tergamam. Terasa langit runtuh di kepala. Menggeletar seluruh tubuh.
"Orang kata aku ni kaki judi, malas! Tapi orang tak tahu aku setengah mati cari duit. Kau ingat aku duduk berkubang berlumur dengan minyak dekat bengkel kereta tu saja suka-suka?! Kau dekat rumah tahu nak melawa, nak cantik, nak pasang badan aje. Aku balik aje kau menyalak mintak duit. Kau keluar sekarang! Aku tak mahu simpan perempuan jalang yang kebulur laki orang!"
"Sampai hati abang fitnah Nuren!"
"Fitnah kau kata?"
"Abang... Kalau Nuren salah, Nuren mintak ampun dunia akhirat dengan abang." Aku rasa suara aku sudah cukup serak menahan tangis.
"Sia-sia kau ni muka cantik, badan lawa. Perangai menjalang. Konon berhabuk cakap orang putih. Tapi kau guna buat pikat jantan kaya. Kau ingat aku tak tahu, dulu kau ni melayan tauke kedai dobi. Lepas tu kau layan Hatta. Tapi tak ke mana. Tak ada lelaki masa tu nak ambil kau buat bini. Memang perangai tak semenggah! Selama ni orang cakap fasal kau, aku tak percaya!" Memetir suara Wanzir. Pasu bunga di tepinya, dilemparkan ke dinding. Berdentum membuat aku dan anak-anak terkejut.
Aku cuba berpaut pada kakinya. Tapi Wanzir lebih pantas merentap tangan aku. Sekali lagi badan aku tersungkur.
"Fitnah apa? Aku perhati kau dah lama! Aku tengok dengan mata kepala sendiri. Kau kata kau kerja dekat rumah jutawan tu! Kerja gosok baju, kerja gosok cermin rumah, tapi dengan dia sekali kau gosok! Perempuan apa kau ni? Dasar bangsat!"
"Abang, ampunkan Nuren!"
"Kau ingat aku bodoh? Kau dah biasa kena bela dengan jantan tu, bukan? Kau gilakan duit dia, bukan? Kau memang siang malam agaknya berdoa, biar dia bercerai laki bini!"
"Abang, saya janji tak buat lagi!" Aku merayu bersungguh-sungguh.
"Aku tak percaya lagi dah cakap kau! Kau mengaku aje dengan aku, sejak belum bernikah, kau memang dah biasa jadi perempuan simpanan jantan tu, bukan? Aku aje lelaki bodoh yang kutip kau. Diam aje biarpun malam pertama, dara kau tu dah longgar! Jantan tu nak duit, mintak pada bini dia yang tua tu. Nak rasa kenyang dekat tempat tidur, dia cari kau. Jangan buat muka terperanjat. Kau ingat aku tak tahu!"
Mahu meraung aku mendengar Wanzir melahar aku waktu itu. Longlai segala sendi. Aku menangis semahunya. Aku cuba merangkak dan mencium kaki Wanzir.
"Kau pergi berambus! Aku ni agaknya dah berapa banyak kau bagi makan nasi kangkang?"
YOU ARE READING
MAHARANI
General FictionTajuk: Maharani Penulis: Lily Haslina Nasir Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-073-1 Muka Surat : 768 Harga: RM30.00 (Semenanjung) // RM33.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Mac 2018