Dida Sandra
Gosip bertiup kencang. Berita yang menyebut Cahya bakal dapat satu projek besar dengan Armada Holdings sampai ke pengetahuan aku. Selalunya di Malaysia ni, kalau yang orang katakan gosip, yang itu yang betul! Takkan jadi gosip, kalau bendanya tak berlaku. Dengar cerita Cahya bakal jadi wajah Armada Holding.
Phewww... Can't imagine kalau aku masuk aje shopping complex tu, merata-rata ada iklan muka dia. Kalau benda itu betul jadi, memang aku tak jejak tempat itu seumur hidup!
Serius aku jadi resah. Kenapa ya, semua job yang bagus dapat pada dia? Macam senang sangat dia sign jadi jurucakap itu, jadi duta ini. Beratur orang nak dia buat endorsement produk.
"Ni kenapa muka ketat aje dua tiga hari ni?" Mama menegur aku waktu dia temankan aku jumpa Dr. Koh untuk suntik vitamin C. Hari itu memang aku lapangkan masa untuk ke Aesthetic Clinic.
"Mana ada. Biasa aje."
"Fikir apa ni? Jangan nak soroklah dengan mama."
"Alah, biasa. Fasal kerja."
"Ada isu apa?"
"Kenapa ya, ada orang senang aje dapat job?" Aku terasa macam bodoh bebal lagi dungu soalan aku pada mama.
"Kenalah kerah Lisa tu proaktif sikit. Jaga artis macam mana kalau tak reti nak sambar peluang? Dida tu kenalah pandai jaga fans. Kalau branding tak kuat, macam mana nak pergi jauh?"
Aku terus tercebik. Sempat dalam beberapa saat itu mama melahar.
"Itu biasalah, mama. Semua kami buat, semua kami jaga. Tapi hairanlah kenapa Cahya aje yang dapat semua attention, ya? Semua job masuk poket dia. Dia tu kalau apa aje dia buat, orang lain terus macam kena kuis... Semua kena ke tepi bagi laluan pada dia. Bosanlah!" Spontan aku meluahkan segala rasa terbuku pada mama.
"Kalau dah usaha cara tu tak jalan, cuba cara lain."
Aku menoleh ke arah mama. Cuba cara lain?
Errr... Lain macam betul nada mama.
"Tak boleh main kasar, kita main halus." Mama berdekah-dekah ketawa sehingga menyebabkan beberapa pelanggan Dr. Koh menoleh ke arah kami.
"Mama, biar betul ni? Tak beranilah Dida."
"Apa yang tak betulnya? Tak cuba mana nak tahu. Yang penting Dida dah cuba. Taklah terkilan sangat."
Aku hanya mampu berdesit. Ah, mama memang lagi daring, lagi berani berbanding aku.
"Dari kecik dulu, emak Si Cahya tu memang suka busybody hal mama. Ni anak masing-masing dah anak dara, tetap nak jadi rival."
"Anak kawan mamalah ni. Menyusahkan Dida aje!"
"Mama tak pernah pun mengaku dia kawan baik mama," bidas mama sambil terangkat kening sebelah kanannya. Aku diam sebab memang mama pernah cerita. Sejak dari mama muda, ibu Cahya selalu ambil kesempatan mahu himpit mama. Mahu menggoda daddy kata mama.
"Nanti mama ajarkan. Kita buat cara halus. Tapi Dida jangan berkelahi pula. Buat biasa-biasa aje. Tenang-tenang aje."
Senyum sinis mama dengan nasihat yang diberi memang cukup sinonim di mata aku. Berkerut aku dengar cadangan mama. Nampaknya mama bersungguh-sungguh ni!
"Dah pakai minyak yang mama bagi tu cukuplah." Aku sengaja mengelak sebab malas mahu keluar ke mana-mana. Selalu kalau Lisa bercuti, aku pun ambil peluang bercuti.
"Takat pakai minyak bunga kenanga dekat atas kening tu tak ke mana. Tu orang pandang kau, orang suka aje."
"Nanti jadi isulah, mama. Alih-alih kantoi, sia-sia aje!"
YOU ARE READING
MAHARANI
General FictionTajuk: Maharani Penulis: Lily Haslina Nasir Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-073-1 Muka Surat : 768 Harga: RM30.00 (Semenanjung) // RM33.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Mac 2018