Prolog

1.1K 42 2
                                    

"Meen.."

Nur Ameenah menoleh saat namanya diseru oleh satu suara yang tidak asing lagi baginya.

"Abang.. Bila sampai?" Tegur Nur Ameenah seraya membetulkan kedudukan tudung di kepala. Nasib baik dia masih teringat mahu menyarungkan tudung selepas tersedar tadi.

"Baru je sampai. Meen tu syok sangat termenung sampai tak dengar abang bagi salam." Tengku Akhbar mampir mendekati katil yang dihuni Nur Ameenah. Sejambak bunga ros merah ditangannya dihulurkan kepada Nur Ameenah.

Teragak-agak Nur Ameenah menyambut. Bunga bertukar tangan. Dan Nur Ameenah membawa jambangan bunga itu ke hidungnya sebelum dihidu. Wangi. Spontan, bibir mengukir senyuman.

"Maaf, Meen tak perasan abang masuk tadi."

Tengku Akhbar hanya tersenyum. Duduk dilabuhkan pada kerusi kosong di sisi katil.

"Mana si kecik? Teringin jugak nak tengok hero Meen." Mata diliarkan ke sekeliling bilik. Mencari hero baru dalam hidup wanita di hadapannya sekarang.

"Tadi Meen tak sedar jadi jururawat yang tolong jagakan. Mungkin kejap lagi diorang datang hantar."

Tengku Akhbar mengangguk. Wajah pucat didepannya ditatap tanpa jemu. Walaupun pucat dan tanpa secalit solekan, wajah itu tetap menarik di matanya.

"Abang, kenapa tengok Meen macam tu?" Nur Ameenah meraba-raba setiap inci wajahnya. 

Buatnya ada air liur basi ke tahi mata, tak ke malu. Desis hati kecil Nur Ameenah.

Terletus ketawa Tengku Akhbar dengan reaksi kalut Nur Ameenah.

"Abang tengok sebab Meen ni baru lepas bersalin pun nampak cantik." Bersahaja Tengku Akhbar menjawab.

"Hisyy.. sweet talker betullah daddy Armel ni." Merona pipi Nur Ameenah dengan pujian duda di depannya.

Makin galak Tengku Akhbar ketawa. Reda ketawa, matanya kembali terpasak pada wajah bujur sireh Nur Ameenah.

"Armel ada kat luar dengan mak. Kebetulan tadi terserempak dengan mak kat kafe bawah."

Nur Ameenah hanya diam. Dia belum pun tanyakan pasal Armel.

"Abang beritahu siap-siap sebelum Meen tanya." Ujar Tengku Akhbar lagi seakan tahu apa yang berlegar di benak Nur Ameenah.

Nur Ameenah gelengkan kepalanya dengan senyuman yang bergayut di bibir.

"Abang ada perkara penting nak cakap dengan Meen." Tiba-tiba nada Tengku Akhbar berubah serius.

"Perkara apa?" Berkerut kening Nur Ameenah bertanya. Jantung pula mula memainkan peranannya. Dup dap dup dap..

"Pasal kita."

Mendengar jawapan Tengku Akhbar, makin kuat degupan jantung Nur Ameenah bekerja keras.

"Meen dah selamat bersalin. So, how about us? Meen dah fikirkan?"

"Meen.. Meen.." Nur Ameenah kematian kata. Sudah dapat diagak Tengku Akhbar akan menuntut janjinya.

"Sebelum ni Meen jawab nak tunggu Meen selamat bersalin baru nak bagi jawapan. Sekarang Meen dah selamat bersalin pun. Atau abang terpaksa menunggu lagi?" Duga Tengku Akhbar. Dia pernah melamar Nur Ameenah beberapa bulan lepas tetapi Nur Ameenah menolak dengan alasan tak nak fikirkan lagi pasal tu selagi dia belum selamat bersalin.

"Abang bukan nak kita kahwin terus, cuma abang nak kepastian tentang hubungan kita. Abang masih tahu hukum, Meen. Halal dan haram serta batasnya." Nafas dihela dalam sebelum menyambung kembali bicaranya.

"Kalau Meen setuju tiga bulan dari sekarang, kita boleh nikah. Masa tu Meen pun dah habis pantang kan?"

Nur Ameenah masih membisu. Akalnya ligat berfikir. Bukan dia tidak mahu tetapi masanya tidak sesuai. Ada ke orang melamar di hospital dengan keadaan dia yang baru je sudah bersalin? 

"Abang.. Meen rasa.."

"Will you marry me? Please stay beside me and I promise there's no safer place in the world than right here with me." Laju Tengku Akhbar memintas. Risau jika lamarannya kali ini juga ditolak.

Perlahan-lahan Nur Ameenah mengangguk.

Anggukan Nur Ameenah membawa senyum mekar pada wajah Tengku Akhbar.

"Serius? Meen tak main-mainkan?"

Nur Ameenah mengangguk lagi. Melihat senyuman Tengku Akhbar dia juga merasa bahagia.

"Tapi selepas 3 bulan usia Aryan." Ujar Nur Ameenah turut tersenyum.

"Who's Aryan?" Soal Tengku Akhbar dengan kerutan di wajah.

 Belum sempat Nur Ameenah menjawab, pintu biliknya sudah ditolak dari luar. Seorang jururawat melangkah masuk dengan menolak bayi di atas katil kecil.

"Maaf ganggu. Ni baby puan. Mungkin puan boleh susukan sebelum dia meragam." Ujar si jururawat dengan senyum manis.

Nur Ameenah turut tersenyum saat matanya jatuh pada bayi lelaki yang sedang menggeliat kecil.

"Terima kasih, nurse." Ucap Nur Ameenah sebelum jururawat itu berlalu keluar.

Hilang sahaja kelibat jururawat itu, Nur Ameenah memandang Tengku Akhbar yang sedang berura-ura mahu mengangkat anaknya.

"Inilah Aryan. Naufal Aryan." Beritahu Nur Ameenah dengan senyuman tidak lekang dari wajahnya.

Tengku Akhbar juga tersenyum. Aryan diangkat dan dipangku.

"Biar abang tolong azan dan iqamatkan yer."

Nur Ameenah mengangguk laju. Tatkala telinganya mendengar alunan suara Tengku Akhbar yang azankan Aryan, air matanya menitis. Terharu, sedih, gembira dan semuanya bercampur baur.

"Meen jangan sedih-sedih lagi. Abang akan sentiasa ada untuk Meen, susah dan senang. Insya Allah, tiga bulan dari sekarang kita akan saling melengkapi antara satu sama lain dan abang tak nak Meen menangis kesedihan lagi. Bahu abang ada untuk Meen bersandar dan berpaut."

Nur Ameenah menundukkan wajahnya. Kata-kata Tengku Akhbar begitu menusuk ke hatinya. Doanya, semoga perancangan mereka mendapat keredhaan dari Allah s.w.t dan semoga semuanya dipermudahkan.

Hati Berbunga Cinta (sudah terbit) Where stories live. Discover now