1 || Are You Alright?

3.9K 433 88
                                    

Hari yang memenatkan.

Setelah menjalani hampir suku hari ini, barulah Arabella menyedari bahawa percubaan dirinya untuk melarikan diri ke negara asalnya itu hanyalah sia-sia. Dia fikir, setelah melarikan diri, dia dapat melepaskan diri daripada cengkaman bapa kandungnya itu. Namun semua itu salah, SALAH SAMA SEKALI.

"Cik Ahreum, tolong pandang ke arah kamera." Ujar salah seorang wartawan di situ memperingatinya. Dengan senyuman yang nyatanya palsu, dia berusaha tersenyum kepada kamera sambil menggosok ubun-ubun kepala bayi di dalam dukungan wanita di sebelahnya.

Sekarang dirinya berada di rumah penjagaan anak-anak kurang upaya di Odesse, Ukraine. Mengapa dia berada di sini? Oh, dia cuba melarikan diri, memandangkan bapa kandungnya sudah hilang akal kerana berencana mahu menjodohkan dirinya dengan lelaki yang langsung tidak dikenalinya. Bukan itu sahaja masalahnya, lelaki itu juga berada di paras umur yang jauh lebih tinggi daripadanya.

"Apa? 31 tahun?!"

Mujur kali itu Arabella masih tidak mengunyah makanannya. Baru sahaja tadi dia terpaksa menghadapi seksaan untuk menelan makanannya akibat daripada perkhabaran merapu yang meluncur laju dari mulut bapa kandungnya. Dia hanya berkata mahu mengahwinkan Arabella, namun kesannya jelas berakibat besar kepada Arabella yang sedang mengunyah makanannya.

Dan sekarang, perkhabaran itu menjadi lebih merapu apabila bapa kandungnya itu menyatakan angka umur bakal lelaki yang berkemungkinan besar akan menjadi suaminya itu.

"Tapi abang, Bella masih muda. Dia baru sahaja tujuh belas tahun dan-" Ibu tirinya yang sedari tadi hanya mendiamkan diri mencelah namun dipotong oleh bapanya. Hal itu aneh bagi Arabella, kerana setahunya ibu tirinya itu merupakan seorang yang tenang. Malah dia juga biasanya tidak akan mencampuri urusan Arabella dek kerana hubungan kekeluargaan antara dirinya dan Arabella tidak kukuh. Atau lebih tepatnya, Arabella sendiri yang menolak untuk menganggapnya sebagai ibu tirinya. Baginya tiada sesiapapun wanita dapat menandingi ibunya, apatah lagi menggantikan tempat ibunya.

Namun melihatkan ibu tirinya yang mula bersuara membantah keputusan bapanya itu, dia dapat merasakan bahawa kata-kata bapanya tadi benar-benar merapu sehinggakan wanita setenang itu berani untuk mencelah.

Nightingale's Dream : For A Better TomorrowWhere stories live. Discover now